Sunday, June 20, 2021

Adun PKR gelar Mahathir ‘unta tua’ yang menipu PH

inforakyat.net
20/06/2021 6:15 PM


Selepas menghadiahkan Kamus Dewan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad hari ini menyifatkan Dr Mahathir Mohamad sebagai “unta tua” yang menipu Pakatan Harapan.

Tampil di pentas maya Kongres Nasional PKR hari ini, perwakilan Perak itu turut mengingatkan pimpinan parti supaya tidak mengulangi kesilapan sebelum ini dengan menerima “unta tua” dalam khemah pakatan itu sehingga menyebabkan kerajaan PH yang dibina atas mandat rakyat kehilangan kuasa di Putrajaya.

“Ambillah pengajaran pada PRU14 bahawa ketika itu datangnya ‘unta tua’ dalam khemah PH, minta kebenaran masuk dengan muka kesian.

“PH pun rasa kesian dan beri kebenaran untuk ‘unta tua’ ini masuk dalam khemah sehingga PH keluar dari khemah sendiri iaitu Putrajaya. Ambil pengajaran ini supaya jangan tertipu dengan ‘unta tua’ ini untuk kali kedua,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Kongres Nasional Tahunan PKR secara maya hari ini.

Ketika dihubungi FMT, Arafat yang juga Ketua Penerangan PKR Perak menjelaskan “unta tua” yang dimaksudkan adalah bekas Perdana Menteri itu.

“Ya, dia (Mahathir) yang saya maksudnya, siapa lagi ‘unta tua’ kalau bukan dia,” katanya.

Dalam video dikongsikan di Facebook Pusat Khidmat Rakyat ADUN Hulu Kinta semalam, Arafat berkata kenyataan dikeluarkan Takiyuddin selepas titah pandangan Agong mengenai persidangan Parlimen adalah tindakan yang biadab dan angkuh.

Katanya, kamus itu dihadiahkan kepada Takiyuddin supaya beliau memahami dengan lebih jelas maksud “secepat mungkin” seperti dititahkan Agong.

Sebelum itu, Takiyuddin dilaporkan berkata, Agong tidak menetapkan bila sidang Parlimen harus diadakan namun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah mengumumkan bahawa sidang Dewan Rakyat boleh diadakan paling awal September ini.

Dalam perbahasan itu, Arafat turut menggelarkan kerajaan PN sebagai “pembunuh” kerana tidak cekap dan lemah dalam menguruskan pemberian vaksin khususnya kepada warga emas.

Oleh itu, beliau menggesa waris mangsa yang kematian akibat Covid-19, menuntut ganti rugi kepada kerajaan.

“Jika kerajaan cepatkan vaksin kepada golongan warga emas, sudah tentu angka yang dirawat dalam ICU ketika ini tidak tinggi.

“Saya lihat ini adalah kesilapan nyata kerajaan dan waris mangsa Covid-19 perlu segera menuntut ganti rugi kerana tindakan lemah kerajaan ini,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/20/semalam-hadiah-kamus-kepada-takiyuddin-hari-ini-adun-pkr-gelar-dr-m-unta-tua-kerajaan-pn-pembunuh/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-