Faiz Zainudin
-June 9, 2021 9:39 AM

Tumpuan hari ini terarah ke Istana Negara berikutan tersebar desas-desus berlangsungnya beberapa siri pertemuan melibatkan wakil pemimpin setiap parti politik bersama Agong.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi pemimpin pertama mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara hari ini.
Beliau dilihat memasuki pintu utama Istana Negara diiringi polis pengiring sekitar 7.50 pagi tadi sebelum keluar melalui pintu sama pada 8.55 pagi.
Difahamkan pengerusi Bersatu itu akan mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri pada setiap Rabu seperti kelazimannya.
Tumpuan hari ini terarah ke Istana Negara berikutan tersebar desas-desus berlangsungnya beberapa siri pertemuan melibatkan wakil pemimpin parti politik bersama Sultan Abdullah.
Antara pemimpin parti lain yang dijangka bertemu baginda hari ini, termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Sementara itu, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dijangka mengadap esok.
Pada Isnin, ahli Jawatankuasa Tamat Darurat Khairuddin Abu Hassan dilaporkan berkata, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima semua ketua parti politik, termasuk pembangkang, untuk mengadap.
Beberapa wakil parti politik turut mengesahkan menerima surat jemputan ke pertemuan berkenaan.
Kelmarin, The Straits Times Singapura melaporkan Majlis Raja-raja akan mengadakan mesyuarat tergempar pada 16 Jun untuk membincangkan situasi Covid-19 di Malaysia.
Memetik sumber, akhbar itu melaporkan pertemuan sembilan ketua keluarga diraja itu akan diadakan di Istana Negara, selepas Agong bertemu dengan pemimpin politik dalam tempoh terdekat.
Difahamkan, pertemuan itu diatur beberapa hari lalu berikutan krisis berterusan Covid-19, program vaksinasi yang perlahan, ditambah desakan agar darurat ditamatkan dan Parlimen bersidang semula.
Pada Januari, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos atau lebih awal jika angka kes Covid-19 dapat dikawal dan dikurangkan dengan berkesan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.