Saiful Haizan Hasam dan Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my
- Jun 9, 2021 @ 12:13pm

Kenderaan membawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar dari Istana Negara pada jam 11.54 pagi. - Foto NSTP
KUALA LUMPUR: Kenderaan membawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Istana Negara, selepas lebih sejam menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, hari ini.
Kenderaan jenis Jaguar berwarna hitam dinaiki Ahli Parlimen Port Dickson itu keluar dari Istana Negara pada jam 11.54 pagi.
Beliau kemudian keluar daripada kenderaan dan mengadakan sidang media ringkas bersama lebih 40 petugas media yang menunggu di luar Pintu Dua Istana Negara.
Terdahulu, kenderaan membawa Anwar dilihat memasuki kawasan Istana Negara melalui Pintu Dua pada jam 10.35 pagi.
Anwar menjadi pemimpin politik kedua masuk ke Istana Negara menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi.
Beliau antara empat pemimpin politik yang dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Muhyiddin dilaporkan tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 7.50 pagi tadi sebelum kenderaan membawanya dilihat beredar pada jam 8.56 pagi.
Anwar dan Muhyiddin antara tujuh pemimpin politik termasuk pembangkang yang dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong bermula hari ini hingga Jumaat ini.
Empat pemimpin politik dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, manakala tiga lagi esok dan seorang lagi pada Jumaat.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.