Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Thursday, July 29, 2021

Sidang ditangguh ke 5.15 petang pula lepas dua kes positif Covid-19 dikesan

malaysiakini.com
Kow Gah Chie
Diterbitkan 29 Jul 2021, 3:01 pm
Dikemaskini 3:52 pm

PARLIMEN | Sidang Dewan Rakyat akhirnya ditangguhkan ke jam 5.15 petang ini apabila timbalan speaker mengejutkan ramai dengan mengumumkan ada dua kes positif Covid-19 dikesan di parlimen.

Mohd Rashid Hasnon berkata, kes pertama membabitkan seorang petugas parlimen yang berada di bangunan tersebut pada 26 hingga 28 Julai, manakala kes kedua dikesan positif pada hari ini.

Katanya maklumat itu dimaklumkan kepada parlimen melalui surat Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Terdahulu sidang Dewan Rakyat ditangguhkan dua kali ketika keadaan sebenar masih tidak dapat dipastikan ekoran kenyataan dikeluarkan Istana Negara tengah hari tadi.

Ketika orang ramai menanti perkembangan terbaru di parlimen kesan daripada kenyataan dibuat Istana Negara, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said berkata, sidang hanya akan disambung pada jam 3.30 petang.

Lazimnya Dewan Rakyat bersidang semula pada jam 2.30 petang selepas tamat waktu rehat dan makan tengah hari.

"Ahli-ahli yang berhormat, perbincangan masih diadakan berkenaan aturan urusan mesyuarat hari ni.

"Sehubungan tu selaras dengan Peraturan Mesyuarat 12 (2), sekarang saya menangguhkan mesyuarat ini sehingga jam 3.30 petang," katanya.

Mengikut perkara 12 (1), setiap sidang Dewan Rakyat hendaklah dimulakan pada jam 10 pagi hingga 1 tengah hari, dan disambung semula pada jam 2.30 petang sehingga 5.30 petang, atau lebih awal.

Pun begitu mengikut peruntukan perkara 12 (2) speaker pada bila-bila masa boleh menangguhkan sidang berkenaan selama tempoh tertentu yang ditetapkan.

Penangguhan itu dibuat ketika media melaporkan anggota kabinet dan peguam negara bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Pertemuan itu diadakan ekoran kenyataan dikeluarkan Istana Negara yang menzahirkan rasa amat dukacita Yang di-Pertuan Agong terhadap cara kerajaan menangani sidang Dewan Rakyat serta pembatalan ordinan darurat.

Istana Negara juga amat dukacita apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan mengelirukan Dewan Rakyat dengan isu pembatalan berkenaan.

Mendengar pengumuman Azalina itu, RSN Reyer (PH-Jelutong bangkit untuk bertanya mengapa penangguhan dibuat, manakala Cha Kee Chin (PH-Rasah) bertanya: "Ada berita besarkah?"

Teo Nie Ching (PH-Kulai) kemudian menyambung: "Letak jawatanlah, bincang apa lagi."

Terdahulu seorang lagi timbalan speaker, Mohd Rashid Hasnon, yang mempengerusikan sidang menangguhkan mesyuarat tersebut selama 15 minit bagi membolehkan isu tersebut dibincangkan.

Ia dibuat selepas ramai ahli parlimen mendesak Mohd Rashid berbuat demikian.

Beberapa ahli parlimen pembangkang juga mendesak agar Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) hadir untuk menjawab isu berkaitan kenyataan dikeluarkan Istana Negara.

Selepas 15 minit Mohd Rashid muncul dan dia menangguhkan sidang sehingga jam 2.30 petang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-