Predeep Nambiar
-August 16, 2021 8:13 PM
Seorang pemimpin PH berkata, pemimpin PKR, DAP dan Amanah hari ini dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong memanggil mereka untuk menghadap.
GEORGE TOWN: Yang di-Pertuan Agong sudah memanggil pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk mendengar pandangan mereka berhubung siapa yang patut menerajui kerajaan baharu selepas kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional hari ini.
Seorang daripada pemimpin pembangkang yang enggan dinamakan berkata, pemimpin PH dari PKR, DAP dan Amanah hari ini dimaklumkan mengenai pertemuan itu.
Pemimpin itu berkata, ia mungkin sama dengan temubual yang dilakukan Agong ketika Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan perdana menteri pada Februari 2020.
Pemimpin itu bagaimanapun enggan memberitahu bila mereka dijadualkan menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan perdana menteri dengan Kabinetnya hari ini seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, selepas mendapati beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Mahathir mengejutkan negara dengan meletak jawatan nombor satu itu pada Februari 2020, susulan spekulasi perebutan kuasa membabitkan Bersatu yang diasaskannya, puak PKR yang diketuai Azmin Ali dan beberapa parti pembangkang.
Selepas peletakan jawatan Mahathir, Agong menemubual semua Ahli Parlimen mengenai siapa yang mereka mahu sebagai perdana menteri dan kemudiannya memilih Muhyiddin.
Seorang penganalisis politik meramalkan Timbalan Muhyiddin dalam Kabinet, iaitu Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, mempunyai peluang untuk mengambil alih jawatan itu, manakala veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah turut dikatakan mempunyai peluang.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim juga dikatakan berpeluang, tetapi perlu menjalin kerjasama dengan Mahathir dan Presiden Warisan, Shafie Apdal untuk berbuat demikian.
Seorang lagi penganalisis berkata, perdana menteri berikutnya perlu diuji apabila Parlimen bersidang semula bulan depan melalui undi percaya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.