14/8/2021
Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.
Cadangan kerjasama bipartisan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dipertimbangkan, ia memandangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tiada majoriti, kata seorang Ahli Parlimen (MP) DAP Tony Pua.
MP Damansara itu berkata pembangkang boleh meraikan sekiranya Muhyiddin meletak jawatan, tetapi persoalan yang timbul apakah langkah seterusnya kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga sudah bersumpah tidak akan menyokong Anwar sebagai calon PM.
“Kemungkinan penyelesaian terbaik adalah jika calon PM dari Pakatan Harapan tampil mengumumkan dia mempunyai majoriti yang kuat, hebat dan meyakinkan.
“Kemudian cadangan Muhyiddin boleh dibahaskan dan kita boleh menyuruhnya kemas begnya dan berundur secepat mungkin.
“Tetapi saya pasti semua orang tahu jawapannya. Terutama Ahmad Maslan mengatakan Zahid bersumpah tidak akan menyokong Anwar sebagai PM,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebooknya.
Selain itu, Pua berkata terdapat tiga pilihan lain yang boleh difikirkan tetapi ianya akan membawa lebih bencana kepada rakyat dan negara kerana akhirnya kleptokrat akan bebas dan kembali menguasai pentadbiran kerajaan.
“Apa pilihan yang ada pada kaca mata rakyat? i) Meneruskan kemelut politik selama beberapa minggu (atau lebih lama) kerana tidak ada yang mendapat majoriti di tengah-tengah wabak ini. ii) kleptokrat bebas dan badut sama berada dalam kabinet dan iii) Pilihan Raya Umum, kerana tidak ada sesiapa memiliki majoriti. Pada ketika krisis pandemik. Cukup-cukuplah,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Pua tidak sanggup menerima tiga pilihan diatas kerana ia bakal mengundang lebih banyak kehancuran kepada negara.
Secara jujurnya, Pua menyifatkan cadangan kerjasama bipartisan tersebut adalah sesuatu yang diperlukan buat negara ketika ini, khususnya rakyat yang sudah muak dengan krisis politik sekali lagi.
“Mari berterus terang. Muhyiddin tidak menawarkan kacang yang monyet pun akan tolak.
“Dia menawarkan beberapa (secara mengejutkan) pembaharuan bipartisan yang nyata yang sangat diperlukan oleh negara ini,” katanya.
Antara cadangan tersebut menurut Pua yang realistik untuk dilihat adalah berhubung cadangan menghadkan tempoh seseorang PM selama dua penggal dan akta anti lompat parti.
“Pandangan saya adalah jika kita tidak dapat memperoleh majoriti untuk Ketua Pembangkang kita, kita mesti memberikan pertimbangan sepenuhnya cadangan Muhyiddin.
“Dia telah meminta untuk bertemu dengan semua parti pembangkang untuk membincangkan perkara di atas. Dan sekurang-kurangnya kita mesti bersetuju untuk menghadiri mesyuarat tersebut.
“Lagipun, segalanya untuk rakyat dan tidak ada yang rugi,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.