Showing posts with label Tony Pua. Show all posts
Showing posts with label Tony Pua. Show all posts

Saturday, June 24, 2023

Tony Pua tak pegang jawatan dalam DAP, kenyataan tak wakili parti: Loke

agendaily.com
24/06/2023
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Kenyataan dikeluarkan oleh Tony Pua yang mengundang kontroversi tidak mewakili pendirian parti, kata Anthony Loke.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, bekas Ahli Parlimen Damansara yang melabel UMNO sebagai “pakatan korup” semalam tidak memegang sebarang jawatan dalam parti dan ia bukan pendirian parti tersebut.

“Saya merujuk kepada laporan media yang memetik ucapan oleh Tony Pua dalam satu majlis yang dianjurkan oleh DAP Petaling Jaya.

“Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP. Justeru itu, beliau bercakap di atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti.

“Ucapan tersebut yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan (uncalled for),” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, Pua tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan yang menyerang rakan parti lain dalam kerajaan campuran dan menggesa supaya semua menjaga keharmonian dengan UMNO.

“Kepimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.

“Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini.

“Saya ingin mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran,” katanya lagi.

Pua semalam dilaporkan berkata kerajaan campuran yang dibentuk bersama UMNO-Barisan Nasional (BN) boleh berpecah pada bila-bila masa dan memberi gambaran tidak yakin ia sukar kekal bertahan.

Pua yang juga bekas Setiausaha Publisiti DAP itu dalam laporan portal BH berkata perlu diingat kerajaan campuran ini tidak kukuh dan boleh retak bila-bila masa, sambil menggesa Perdana Menteri perlu membuktikan sesuatu kepada rakyat berbilang kaum di negara ini bahawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) jauh lebih baik dan tidak korup seperti BN.

“Kena ingat Kerajaan Perpaduan sekarang ini mudah retak bila-bila masa. Jadi penting untuk Perdana Menteri dan keseluruhan kerajaan untuk terus berkhidmat.

“Perdana Menteri yang popular bukan untuk Petaling Jaya, tetapi untuk Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah, Sabah dan Johor,” kata Pua.

DAP punca ekonomi ‘gelap’, ketua Pemuda jawab Pua kritik ‘Umno korup’

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar 
24 Jun 2023,

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata Pua seharusnya sedar ekonomi negara melalui zaman gelap sepanjang 22 bulan pentadbiran PH dan DAP.
Dr Akmal Saleh minta DAP ambil tindakan terhadap Tony Pua manakala Isham Jalil cadang PH pisah dengan Umno sekiranya parti itu “kotor”.

PETALING JAYA: Pemimpin Umno membidas kritikan “pakatan korup” dilabelkan bekas setiausaha publisiti DAP Tony Pua terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN) yang boleh merobek keharmonian dalam kerajaan perpaduan.

Bercakap kepada FMT, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata Pua seharusnya sedar ekonomi negara melalui zaman gelap sepanjang Pakatan Harapan (PH) dan DAP mentadbir dalam tempoh 22 bulan selepas PRU14.

Menurutnya, Pua yang menjadi penasihat di atas kapasitinya sebagai setiausaha politik menteri kewangan Lim Guan Eng ketika itu, tidak mampu membantu memacu ekonomi menyebabkan kejatuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta nilai ringgit.

Kata Akmal, sebaliknya di bawah BN yang didakwa “korup”, ekonomi Malaysia pada kedudukan ke-23 paling kompetitif diiktiraf badan antarabangsa manakala KDNK naik sehingga RM1.4 trilion, pendapatan Khazanah Nasional Berhad menokok RM116 bilion dan rizab tunai Petronas meningkat dari RM30 bilion kepada RM174 bilion.

Malah kelancaran pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim kini disebabkan kemampuan dan pengalaman menteri dari BN, katanya.

“(Pua) Cermin dulu diri sendiri, beliau hanya tin kosong dan tidak beri manfaat kepada pembangunan negara,” katanya yang sebelum ini menggesa DAP memohon maaf secara terbuka di atas segala tohmahannya terhadap Umno sehingga mengguris hati ahlinya.

Akmal mengulas kenyataan Pua pada malam tadi yang melabel BN dan Umno sebagai “pakatan korup” selain Bersatu, beliau turut berharap PH dapat membentuk kerajaan sendiri selepas PRU16.

Pada 14 Mei lalu, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata pihaknya akan menyokong kerajaan pimpinan Anwar selepas PRU16.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil pula mengingatkan Pua pemimpin kanan DAP seperti Lim juga berdepan pertuduhan berkaitan rasuah, justeru tidak layak baginya melabel Umno sebagai “parti korup”.

Katanya, Pua juga boleh mencadangkan kepada PH untuk berpisah dengan Umno dalam kerajaan perpaduan sekiranya merasakan parti itu “kotor”.

“Jika Umno ini korup dan kotor sangat, tidak perlu tunggu PRU16, sekarang pun boleh cadang kepada pemimpin parti kamu untuk tinggalkan Umno daripada kerajaan perpaduan.

“Saya tiada masalah jadi pembangkang dan jika tidak kerana titah Agong dahulu, Umno dan BN memang bersedia jadi pembangkang selepas PRU15 tempoh hari. Kamu sedia jadi pembangkang?,” kata Isham.

Friday, August 20, 2021

Umno kembali berkuasa: Pua salahkan pembangkang

malaysiakini.com
Diterbitkan 20 Aug 2021, 7:47 pm
Dikemaskini 7:50 pm

Pengumuman bahawa Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri kesembilan mendapat reaksi berbeza di kalangan dari ahli politik pembangkang.

Paling ketara adalah dari Setiausaha Publisiti Nasional DAP Tony Pua, yang mempersalahkan pembangkang yang menyaksikan Umno kembali berkuasa.

"Ditendang keluar dari kerajaan pada Februari 2020 adalah cukup buruk.

"Tetapi berperanan utama yang membolehkan Umno kembali berkuasa? Satu tamparan,” katanya dalam satu catatan Facebooknya malam ini.

Pua merujuk kepada kejatuhan Pakatan Harapan tahun lalu, dan peranan yang dimainkan oleh pembangkang untuk mengasak pentadbiran Perikatan Nasional sehingga menyebabkan pengunduran diri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan.

Ahli Parlimen Damansara itu sebelum ini lantang membidas idea menjatuhkan Muhyiddin, kerana bimbangan bahawa tindakan berkenaan akan menyebabkan Umno kembali berkuasa setelah dikalahkan oleh PH pada pilihan raya umum 2018.

Sebagai rekod, PH berjaya membentuk kerajaan persekutuan pada Mei 2018 setelah bertahun-tahun memerangi gabungan pemerintahan Barisan Nasional yang diterajui oleh Umno.

Ketika Muhyiddin menawarkan semua parti politik untuk bekerjasama, dalam apa yang dilihat sebagai usaha terakhir untuk menyelamatkan kedudukannya, Pua adalah antara beberapa pemimpin pembangkang yang menyarankan agar pembangkang mempertimbangkannya.

Perdana Menteri ketika itu, antara lain telah menawarkan untuk melaksanakan reformasi politik yang diperjuangkan PH termasuk untuk membatasi tempoh jawatan perdana menteri dan Undi18.

Muhyiddin juga menawarkan untuk memberikan peruntukan parlimen yang sama kepada semua anggota parlimen pembangkang dan melantik ketua pembangkang setaraf sebagai menteri kanan kabinet, sebagai pertukaran untuk sokongan mereka.

Namun, cadangan Pua untuk menerima tawaran yang dihulurkan oleh Muhyiddin tidak disambut baik dan gagal. Seorang lagi pemimpin DAP lain yang berkongsi peandangan yang sama adalah Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, yang juga dikritik hebat.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Chan Foong Hin, dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini menyoal apakah kerajaan baru Ismail sabri akan menawarkan tawaran serupa kepada pembangkang.

“Adakah kerajaan akan masih meneruskan tujuh tawaran Kerjasama Rentas Parti yang dibentang oleh bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, termasuk penggubalan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti, peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti, dan pelaksanaan Undi 18 tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik?"

Saturday, August 14, 2021

Anwar juga tiada majoriti, Pua cadang pertimbang cadangan PM

agendadaily.com
14/8/2021

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.

Cadangan kerjasama bipartisan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dipertimbangkan, ia memandangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tiada majoriti, kata seorang Ahli Parlimen (MP) DAP Tony Pua.

MP Damansara itu berkata pembangkang boleh meraikan sekiranya Muhyiddin meletak jawatan, tetapi persoalan yang timbul apakah langkah seterusnya kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga sudah bersumpah tidak akan menyokong Anwar sebagai calon PM.

“Kemungkinan penyelesaian terbaik adalah jika calon PM dari Pakatan Harapan tampil mengumumkan dia mempunyai majoriti yang kuat, hebat dan meyakinkan.

“Kemudian cadangan Muhyiddin boleh dibahaskan dan kita boleh menyuruhnya kemas begnya dan berundur secepat mungkin.

“Tetapi saya pasti semua orang tahu jawapannya. Terutama Ahmad Maslan mengatakan Zahid bersumpah tidak akan menyokong Anwar sebagai PM,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebooknya.

Selain itu, Pua berkata terdapat tiga pilihan lain yang boleh difikirkan tetapi ianya akan membawa lebih bencana kepada rakyat dan negara kerana akhirnya kleptokrat akan bebas dan kembali menguasai pentadbiran kerajaan.

“Apa pilihan yang ada pada kaca mata rakyat? i) Meneruskan kemelut politik selama beberapa minggu (atau lebih lama) kerana tidak ada yang mendapat majoriti di tengah-tengah wabak ini. ii) kleptokrat bebas dan badut sama berada dalam kabinet dan iii) Pilihan Raya Umum, kerana tidak ada sesiapa memiliki majoriti. Pada ketika krisis pandemik. Cukup-cukuplah,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Pua tidak sanggup menerima tiga pilihan diatas kerana ia bakal mengundang lebih banyak kehancuran kepada negara.

Secara jujurnya, Pua menyifatkan cadangan kerjasama bipartisan tersebut adalah sesuatu yang diperlukan buat negara ketika ini, khususnya rakyat yang sudah muak dengan krisis politik sekali lagi.

“Mari berterus terang. Muhyiddin tidak menawarkan kacang yang monyet pun akan tolak.

“Dia menawarkan beberapa (secara mengejutkan) pembaharuan bipartisan yang nyata yang sangat diperlukan oleh negara ini,” katanya.

Antara cadangan tersebut menurut Pua yang realistik untuk dilihat adalah berhubung cadangan menghadkan tempoh seseorang PM selama dua penggal dan akta anti lompat parti.

“Pandangan saya adalah jika kita tidak dapat memperoleh majoriti untuk Ketua Pembangkang kita, kita mesti memberikan pertimbangan sepenuhnya cadangan Muhyiddin.

“Dia telah meminta untuk bertemu dengan semua parti pembangkang untuk membincangkan perkara di atas. Dan sekurang-kurangnya kita mesti bersetuju untuk menghadiri mesyuarat tersebut.
“Lagipun, segalanya untuk rakyat dan tidak ada yang rugi,” ujarnya lagi.

Thursday, August 5, 2021

Tony Pua: Bagaimana jika lepas Muhyiddin jatuh, Umno ambil alih?

malaysiakini.com
Diterbitkan 5 Aug 2021, 8:35 am
Dikemaskini 9:10 am

Seorang ahli parlimen DAP menimbulkan persoalan kemungkinan Umno dapat mengambil alih kerajaan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam catatan Facebook malam tadi, Tony Pua mengajak orang ramai mempertimbangkan perkara itu dengan mengakui bahawa ketika ini mereka mempunyai peluang terbaik menjatuhkan Muhyiddin, yang mengkhianati pengundi yang mengundi Pakatan Harapan pada 2018.

Namun, katanya, sekarang juga saatnya untuk mempertimbangkan secara serius akibat dalam beberapa minggu mendatang.

"Bukankah kelihatan seperti bila dia (Muhyiddin) mengundurkan diri, Umno telah memposisikan dirinya untuk menggantikan jawatan perdana menteri?

"Dan ketika pemimpin Umno menjadi PM, tidakkah semua kleptokrat akan dibebaskan atau mungkin juga berkuasa semula?

"Apabila Umno menjadi pemimpin utama dalam kerajaan lagi, ia akan mengukuhkan kekuatan politiknya untuk muncul lebih kuat lagi selepas pilihan raya akan datang," tulis Pua.

Pada masa ini, Umno menguasai 38 kerusi di Dewan Rakyat, tetapi parti itu dilihat terbahagi kepada dua kubu - satu menyokong Muhyiddin, dan satu lagi tidak.

Dengan penarikan sokongan daripada 11 Ahli Parlimen Umno, majoriti Muhyiddin nampaknya goyah.

Alternatif untuk Umno mengambil alih kerajaan, kata Pua, adalah "bertolak ansur" dengan pentadbiran Muhyiddin sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Haruskah kita memikirkan langkah ke depan untuk menghentikan kleptokrat agar tidak terlepas, atau lebih buruk lagi, mendapatkan kembali kawalan dan kekuasaan politik, walaupun itu bermaksud bertolak ansur dengan pentadbiran Perikatan Nasional yang tidak kompeten dan khianat dalam sedikit tempoh lagi?

"Ini (akan) membuat Umno waspada, sementara Pakatan Harapan dan rakyat boleh menyingkirkan Muhyiddin dan Azmin Ali dalam pilihan raya berikutnya.

"Apa pendapat anda? Bincangkan," tambah Pua dalam catatan Facebooknya.

Wednesday, August 4, 2021

Jika pemimpin UMNO jadi PM, semua kleptokrat akan dibebaskan? soal Pua

agendadaily.com
4/8/2021

DAP mesti bekerjasama dengan UMNO untuk menang PRU15 nanti.

Seorang pemimpin DAP, Tony Pua bimbang sekiranya kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bakal membawa semua kleptokrat dalam UMNO yang terpalit dengan kes rasuah kembali berkuasa, ia selepas blok pembangkang seakan mahu bekerjasama dengan mereka.

Ahli Parlimen Damansara itu berkata sekiranya kerajaan PN jatuh dan pemimpin UMNO dilantik menjadi Perdana Menteri (PM) ia kemungkinan semua pemimpin parti itu yang terpalit dengan kes rasuah akan dibebaskan dan pastinya akan menjadi kuat selepas itu.

“Dan jika pemimpin UMNO jadi PM, bukankah semua kleptokrat akan dibebaskan (atau mungkin kembali berkuasa)?” soal Pua.

Untuk rekod, UMNO kini sedang berusaha menumbangkan kerajaan PN yang dipimpin PM Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi pakatan sulit yang dirancang bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada April lalu, pendedahan pakatan sulit terbongkar antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Anwar menerusi satu klip audio tular.

Tahun lalu, terbongkar juga sepucuk surat dihantar Zahid dan Najib yang menyokong Anwar sebagai calon PM baharu.

Pua juga melontarkan pandangan sekiranya perlu blok pembangkang mengambil selangkah ke depan untuk mengelak perasuah dalam UMNO daripada bebas daripada perbuatan mereka.

“Atau adakah kita memikirkan selangkah ke depan untuk menghentikan kleptokrat daripada melepaskan diri, atau lebih buruk lagi mereka dapat kembali mengawal dan menguasai politik, walaupun terpaksa bertoleransi dengan pemerintahan Perikatan Nasional yang tidak cekap dan khianat untuk sementara waktu lagi,” soalnya.

Semalam, Zahid mengumumkan beliau dan beberapa Ahli Parlimen UMNO sudah hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin dan kerajaan PN, ia mencetuskan polemik mengenai kejatuhan kerajaan.

Susulan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong hari ini, Muhyiddin berkata masih memiliki sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, di samping berkata akan mengemukakan usul undi percaya dalam sidang Dewan Rakyat pada September depan.

Thursday, July 4, 2019

Anthony Loke, Pua saman Tajuddin

Hidir Reduan Abdul Rashid 
Diterbitkan Hari ini 8:17 malam


Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Anggota Parlimen Damansara Tony Pua memfailkan saman terhadap Anggota Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman kerana mendakwa DAP cuba menghapuskan sistem raja-raja di Malaysia.

Menurut dokumen mahkamah yang diperoleh Malaysiakini, surat saman mereka difailkan oleh firma guaman Tetuan Ezzah & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Mac lalu.

Loke yang juga setiausaha penganjur kebangsaan DAP dan Pua yang merupakan setiausaha publisiti kebangsaan DAP, menyaman ahli majlis tertinggi Umno itu berhubung ucapannya di Kampung Jawa pada malam sebelum pilihan raya kecil parlimen Sungai Kandis pada 3 Ogos tahun lepas.

Calon Pakatan Harapan, Mohd Zawawi Ahmad Mughni memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 5,842 undi, menewaskan calon BN, Lokman Noor Adam dalam pilihan raya kecil itu yang diadakan pada 4 Ogos 2018.

Loke dan Pua berkata Tajuddin dalam ucapannya mendakwa mereka merupakan penganut Kristian yang bersama rakan mereka dalam DAP berusaha untuk bukan sahaja menyebarkan agama itu tetapi juga menghapuskan raja-raja Melayu.

Tajuddin juga didakwa mengatakan mereka berusaha menubuhkan sistem pemerintahan seperti di Singapura yang mana tidak memiliki raja atau sultan.

Selain itu Tajuddin dalam ucapannya juga didakwa mengatakan mereka mahu mendirikan sebuah negara republik.

Kenyataan defendan disiarkan oleh Malaysiakini bertajuk ‘Christian DAP’ salvo to close BN’s Sg Kandis campaign’ yang dimuat naik oleh portal berita itu pada malam yang sama dia berucap.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, Loke dan Pua menafikan mereka adalah orang Kristian dan mengatakan kenyataan Tajuddin menggambarkan mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai menteri dan ahli parlimen dan sebaliknya menggunakan kedudukan mereka untuk memperjuangkan agenda politik peribadi.

[Baca berita penuh]

Saturday, July 21, 2018

Najib 'tak sepenuhnya bohong' tentang LRT3, kata Tony Pua

Koh Jun Lin
Diterbitkan 21 Jul 2018, 10:58 malam


Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tidak sepenuhnya berbohong apabila beliau mempersoalkan angka yang dikeluarkan kerajaan Pakatan Harapan mengenai kos projek LRT3, dakwa Anggota Parlimen Damansara, Tony Pua.

Menurut Tony Pua, hal ini kerana MP Pekan itu mungkin tidak sedar kos projek itu telah meningkat walaupun Najib menandatangani Kontrak Pakej Kerja (WPC) untuk projek itu.

Pegawai khas kepada menteri kewangan juga berkata perkara tersebut menunjukkan kerajaan terdahulu kurang kawalan terhadap projek-projeknya yang mengakibatkan kos meningkat tinggi daripada apa yang dirancang sebelumnya.

"Najib tidak sepenuhnya berbohong apabila beliau berkata, 'Bukan, (kos) bukan RM30.5 bilion'. Beliau mengatakan separuh daripada fakta. Kenapa? Sebab mungkin beliau tidak pernah menelitinya.

"Jadi, beliau membiarkan projek itu menjadi tidak terkawal (kos). Beliau hanya nampak RM10 bilion, beliau tidak melihat (kos) tambahan, tambah itu, tambah ini... Akhirnya beliau menandatangani Kontrak Pakej Kerja (WPC) untuk RM15.8 bilion.

"Beliau (Najib) duduk dalam jawatankuasa yang dipengerusikan dirinya itu dan beliau menandatanganinya (kontrak).

"Tetapi terdapat banyak pakej. Beliau (Najib) tidak mencampurkan kesemuanya untuk mendapatkan angka RM15.8 bilion.... jadi beliau mungkin menyampaikan separuh sahaja daripada faktanya," kata bekas anggota Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang menyiasat 1MDB itu pada suatu forum di Petaling Jaya, malam tadi.

Pentadbiran BN berkata projek LRT3 memakan belanja RM9 bilion untuk pembinaan dan kos tambahan RM 1 bilion untuk pengambilan tanah.

Bagaimanapun, pentadbiran Pakatan Harapan mengumumkan kos landasan keretapi sepanjang 37 kilometer itu telah meningkat menjadi RM31.65 bilion.

[Baca berita penuh]

Monday, June 25, 2018

Pua bidas dakwaan Najib tiada dana diseleweng 1MDB dari TRX


Anggota Parlimen Damansara Tony Pua membidas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa tiada dana untuk projek Tun Razak Exchange (TRX) yang telah diselewengkan oleh 1MDB selaku syarikat induk TRX City Sdn Bhd.

"Dia (Najib) tidak boleh dari satu segi, berpura-pura tidak tahu dan menyalahkan pengarah atau pengurusan syarikat, tetapi pada masa yang sama menunjukkan kefahaman mengenai urusniaga yang berlaku dalam 1MDB, meskipun mengelirukan dan melakukan penipuan," kata Pua.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng minggu lalu mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menyuntik RM2.8 bilion bagi projek TRX kerana sekiranya ia diabaikan akan menyebabkan kerajaan membayar pampasan sebanyak RM3.51 bilion.

Najib kemudian menuduh Lim menyebarkan maklumat "separuh benar dan pembohongan" berhubung projek TRX.

Antara lain, Najib dalam catatan di Facebook berkata dana yang didakwa disalahgunakan merupakan pinjaman antara syarikat dan telah dibayar balik oleh 1MDB berkuat kuasa 31 Mac tahun lepas melalui pembayaran tunai dan dividen yang dibayar oleh TRXC kepada 1MDB.

Pua bagaimanapun berkata Najib yang pernah mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB sepatutnya tidak berdolak dalik, sebaliknya menjelaskan penemuan terkini Kementerian Kewangan bahawa RM3.067 juta disalahgunakan bagi tujuan lain.

"Sekiranya wang dalam TRXC pernah digunakan untuk projek-projeknya dengan cara telus dan bertanggungjawab, syarikat itu tidak akan memerlukan RM2.8 bilion pembiayaan tambahan dari Kementerian Kewangan," katanya.

TRXC adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh 1MDB.

TRXC merupakan pemilik dan pemaju induk dua projek hartanah yang sebelum ini diletakkan di bawah kawalan 1MDB iaitu TRX dan Bandar Malaysia.

[Baca berita penuh]

Monday, May 28, 2018

Najib tarik balik saman terhadap Tony Pua, pemilik portal berhubung 1MDB

Bernama 
May 28, 2018

Peguam wakili Najib beritahu pemberita, anak guamnya mengarahkan beliau menarik balik saman itu dan Najib bersetuju gugurkan tindakan undang-undang.
Hakim juga membenarkan permohonan untuk menarik balik saman itu dan membatalkan tindakan undang-undang.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong berhubung isu 1MDB.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib memberitahu pemberita, anak guamnya mengarahkan beliau menarik balik saman itu dan Najib bersetuju menggugurkan tindakan undang-undang dengan syarat yang tidak didedahkan.

“Peguam defendan juga bersetuju dengan permohonan penarikan balik saman ini tanpa kebebasan untuk memfailkan semula,” katanya selepas sebutan kes itu di kamar Hakim Mahkamah Tinggi Zaidi Ibrahim.

Mohd Hafarizam berkata hakim juga membenarkan permohonan untuk menarik balik saman itu dan membatalkan tindakan undang-undang.

Peguam Michelle Ng yang mewakili Pua dan peguam Shahid Adli Kamarudin yang mewakili Chan mengesahkan perkara itu. Sebelum ini Mahkamah Tinggi menetapkan 18 hingga 20 September untuk mendengar saman tersebut.

Pada 21 April 2017, Najib atas kapasiti peribadinya, menyaman Pua pada 5 Mac 2015, menamakan Pua sebagai defendan pertama dan Chan defendan ke-2, berhubung isu 1MDB.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib sebagai plaintif menyatakan pada 13 November 2014, Pua selaku penceramah utama dalam majlis makan malam kutipan dana DAP membuat kenyataan fitnah terhadap 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa rakaman ucapan itu dimuat naik oleh Chan sendiri dan/atau ejennya di You Tube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.

Katanya rakaman ucapan itu mengandungi perkataan-perkataan merujuk dan berkaitan dengannya yang memfitnahnya dan individu yang dikenali sebagai “Prime Minister” dalam perkataan-perkataan fitnah itu semestinya merujuk secara spesifik kepadanya (Najib).

Beliau berkata penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu merosakkan reputasinya yang akan berterusan selama bertahun-tahun lamanya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula.

Ini adalah penarikan ke-2 oleh Najib, selepas beliau pada 22 Mei lepas menarik balik samannya terhadap bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik berhubung penerbitan artikel dalam portal berita yang mendakwa bekas perdana menteri itu menyalahgunakan dana milik 1MDB.

Monday, November 16, 2015

Tugas Tony Pua tidak lagi dibenar serang 1MDB, kini ditugaskan serang PAS pula

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menyeru ahli-ahli PAS keluar daripada parti itu dan menyertai Parti Amanah Negara. Ini kerana Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP mendakwa PAS kini telah sesat dalam perjuangan partinya.

“Masanya dah tiba untuk ahli-ahli PAS untuk meninggalkan parti yang telah sesat dalam perjuangannya dan masuk Amanah bersama Pakatan Harapan.

“Suka tak suka, Pakatan Harapan merupakan gabungan politik yang paling bersatu-padu dan berpeluang menumbangkan BN pada pilihanraya yang akan datang,”katanya dalam Facebooksemalam.

Pua berkata demikian sebagai mengulas artikel The Malaysia Indiser bertajuk “Where do you stand, question mark over conflicting statements from PAS.”
Kenyataan Pua itu disokong oleh Facebook Parti Amanah Negara yang menulis “Sudah sampai masanya…”

Saturday, March 7, 2015

Pua akan cabar saman Najib di mahkamah

Menurut Tony, saman Najib bakal catat sejarah kerana buat pertama kalinya seorang Perdana Menteri menyaman Ahli Parlimen di negara ini.- Foto roketkini.com

KUALA LUMPUR, 7 Mac:

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berkata beliau tidak berasa terganggu dengan saman fitnah yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadapnya.

Tony melalui akaun Facebooknya berkata, beliau tidak akan terbelenggu dengan saman Najib itu kerana jutaan rakyat Malaysia mahukan tadbir urus negara yang baik, ketelusan dan akauntabiliti daripada seorang Perdana Menteri.

“Peguam saya, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh telah menerima writ saman yang disampaikan oleh peguam Najib pada jam 4.30 petang semalam,” ujarnya.

Tony disaman berikutan ucapannya pada satu majlis makan malam DAP Petaling Jaya pada 3 November lalu mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang antara lain menyebut Najib merompak wang rakyat.

Turut disaman pemilik portal online Mediarakyat.net, Chan Chee Kong.

Tony selanjutnya berkata, saman Najib itu juga bakal mencatat sejarah kerana mendakwa buat pertama kalinya seorang Perdana Menteri menyaman Ahli Parlimen di negara ini.

“Saman itu untuk menutup mulut saya supaya tidak mengeluarkan kenyataan mengkritik kerajaan pada masa akan datang.

“Jika benar itu rancangan Najib untuk menutup mulut saya, ingin saya maklumkan bahawa rancangan itu gagal, sebaliknya, ia akan memperkuatkan motivasi saya untuk mendedahkan rasuah, salah guna kuasa dan ketidakcekapan dalam kerajaan,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama berterima kasih kepada ramai peguam yang telah menghubunginya untuk menawarkan perkhidmatan mereka dalam kes saman fitnah itu.

Dalam pernyataan tuntutan samannnya Najib mendakwa pada 13 November 2014, Pua sebagai seorang penceramah utama pada majlis makan malam Kutipan Dana DAP memberi ucapan berhubung isu 1MDB.

Rakaman ucapan itu kemudiannya dimuat naik di laman YouTube dan laman web Mediarakyat di bawah tajuk “Tony Pua: Najib is Creating the Biggest Scandal Ever in the History of Malaysia“.

Perdana Menteri mendakwa rakaman itu kemudiannya dikongsi Facebook Pua dan juga laman Facebook Mediarakyat.

Setakat 2 Mac sebanyak 194,979 kali rakaman itu ditonton di laman YouTube Mediarakyat.

Manakala 200,709 pengguna Facebook mengikuti rakaman itu di laman Facebook Pua dan 165,293 lagi pengguna Facebook Mediarakyat mengikuti rakaman itu.

Najib berkata berdasarkan fakta itu, sejumlah besar pengguna Internet menonton rakaman itu dan mendengar perkataan fitnah dinyatakan Pua.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/07/pua-akan-cabar-saman-najib-di-mahkamah/#ixzz3TgEGGVca

1MDB - saman: Apa motif Najib?

SHAHBUDIN HUSIN 
BERIKUTAN Saman Terhadap Tony Pua, Apakah Jeritan "Hidup Najib" Akan Lebih Bergema Pada 8 Mac Nanti?

Sesiapa pun dapat merasakan kedudukan Najib Razak sebagai Perdana Menteri sudah mulai "goyang" ketika ini. Serangan dan penolakan terhadapnya bukan lagi sekadar mainan media atau cakap-cakap di kedai kopi saja, malah sudah menular menjadi denyut nadi dan kehendak majoriti rakyat.

Semua kelompok masyarakat sudah semakin terbuka memperkatakan mengenai nasib dan masa depannya serta mulai bertanya, berapa lama lagikah Najib mampu bertahan?

Ada yang berkata Najib akan "pergi" sebaik majlis perkahwinan anak perempuannya selesai pada 29 Mac ini dan ada juga berani bertaruh pengundurannya akan berlaku sebelum Jun ini.

Isu-isu yang mengelilingi Najib secara umumnya sudah terlalu sarat dan tidak boleh diperbaiki lagi. Ia lebih mungkin menjadikannya tertolak atau tersingkir lebih awal daripada jawatannya, berbanding ditemui jalan penyelesaiannya.

Daripada kesemua isu yang ada sekarang ini, skandal berkaitan 1MDB nampaknya menjadi semakin berat hari demi hari dan dengan pelbagai pihak tidak henti-henti membangkitkannya, ia pastilah juga menjadikan tidur Najib tidak lagi senyenyak dulu.

Meskipun demikian dan walaupun semakin digegak-gempitakan bahawa isu-isu yang semakin sarat kebelakangan ini, disertakan dengan kepimpinannya yang lemah, lebih mungkin menyebabkan BN kalah dalam pilihan raya akan datang, Najib masih belum menampakkan tanda-tanda ingin berundur.

Najib tergambar ingin terus bertahan selagi terdaya walaupun kerisauan turut tergambar melalui beberapa perubahan dan tindakannya kebelakangan ini. Di samping mulai menukar gaya kepimpinannya kepada lebih Melayu dengan berjanji mempertahan agenda Melayu selagi ada bulan dan bintang, Najib juga sedia secara terbuka menunjukkan sokongan yang dimilikinya.

Selain menghadiri Himpunan Kebangkitan Melayu di Stadium Bukit Jalil minggu lalu, Najib dijangka sekali lagi mempamerkan sokongan yang dimilikinya dalam Perhimpunan Solidariti Ketua-Ketua Umno Bahagian pada Ahad, 8 Mac ini di PWTC.

Daripada 191 Ketua Umno Bahagian seluruh negara, sehingga ini dilaporkan seramai 173 daripadanya sudah menyatakan kesediaan hadir untuk mengangkat tangan sambil menjerit-jerit menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Himpunan Solidariti 8 Mac ini, selain bertujuan untuk menyatakan Najib masih memiliki sokongan daripada Umno, ia juga secara tidak langsung mengesahkan kerusi yang didudukinya sudah tidak sekukuh dulu lagi.

Adalah dijangka, lebih banyak lagi perhimpunan menyatakan sokongan akan diadakan selepas ini. Najib juga dijangka akan meluangkan lebih banyak masa menghadiri perhimpunan seperti ini untuk menunjukkan sokongan yang dimilikinya. Seperti biasa, umpama pokok yang hampir tumbang atau kerusi yang mulai bergoyang, Najib akan menerima apa saja bentuk kayu yang sanggup menjadi penahannya.

Dalam masa yang sama, bagi menunjukkan beliau masih pemimpin yang tegas dan kononnya berwibawa, semalam juga Najib mengumumkan untuk meneruskan tindakan saman yang diambilnya terhadap Tony Pua, Setiausaha Publisiti DAP berkaitan 1MDB yang sebenarnya sudah lama diancamnya sebelum ini.

Beberapa bulan lalu, Najib telah mengumumkan mahu mengambil tindakan saman terhadap Tony Pua jika enggan meminta maaf atau menarik balik kenyataan yang dibuatnya berhubung 1MDB. Selain itu, Najib juga menghantar ancaman yang sama kepada Rafizi Ramli, Harakahdaily dan Pengarah Urusannya, Dr. Rosli Yaakob.

Meskipun Tony Pua sejak awal mengatakan tidak akan meminta maaf atau menarik balik kenyataannya, persoalannya kenapa baru semalam tindakan saman itu diteruskan? Kenapa tidak sebelum ini?

Apakah tindakan saman ini untuk menunjuk-nunjuk kepada Ketua Umno Bahagian yang bakal berhimpun pada 8 Mac ini mengenai ketegasan kepimpinannya dan tindakannya yang tidak mengalah dalam isu 1MDB yang menjadi perbualan hangat itu?

Adakah tindakan saman ini akan menjadi "point" penting untuk memperoleh lebih sokongan dan menjadikan jeritan "Hidup Najib" akan lebih bergema daripada Ketua-Ketua Bahagian nanti?

Selain urusan ke mahkamah boleh dilewat-lewatkan, perlu diingatkan bahawa Umno juga mempunyai sejarah pernah menarik balik tindakan saman terhadap Tian Chua dalam isu Lahad Datu dan Mustafa Ali, Setiausaha Agung Pas berkaitan isu penyebaran video lucah sebelum ini.

Mungkinkah saman Najib terhadap Tony Pua ini juga hanya acah-acah dan untuk menjaga hati Ketua-Ketua Umno Bahagian sebelum 8 Mac ini saja? -shahbudindotcom.blogspot.com/

Monday, November 24, 2014

Tindakan undang-undang tak gugat DAP bongkar isu 1MDB?


KOTA KINABALU, 23 NOV: Notis tuntutan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Uata Tony Pua tidak menggugat DAP untuk terus membongkar kepincangan dan salahurus pentadbiran 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Agung Lim Guan Eng berkata, DAP akan terus memberi tekanan kepada kerajaan terutamanya mengenai penggunaan berpuluh-puluh bilion ringgit bagi penyelesaian hutang dan pembiayaan operasi 1MDB, demi kepentingan awam.

“Cadangan saman Perdana Menteri tidak menjejaskan kecekalan kami dalam mempersoal dan terus mendedahkan 1MDB,” kata Guan Eng dalam ucapannya sempena konvensyen tahunan DAP Sabah di Kota Kinabalu senalam.

Ujarnya, tindakan Najib adalah kes bersejarah kerana pertama kalinya pertama seorang Perdana Menteri memfailkan saman terhadap ahli parlimen pembangkang.

“Jelas sekali ini bukannya tindakan fitnah biasa berhubung dengan kedudukan peribadi Perdana Menteri, tetapi mempunyai kesan meluas bagi implikasi politik,” kata Guan Eng.

Beliau turut memalkumkan, Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan yang juga Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo akan bertindak sebagai peguam untuk mempertahankan Pua.

Dalam pada itu kata Guan Eng, meskipun notis undang-undang terhadap Pua dibuat secara peribadi, sebarang keputusan dibuat 1MDB dan Kementerian Kewangan melibatkan kepentingan awam

“Ia tidak akan menyekat perbincangan awam atau memadamkan sebarang liputan media mengenai 1MDB, lebih-lebih lagi apabila melibatkan hutang RM42 bilion dan RM 49 bilion liabiliti.

“Ini hanya menyebabkan kerugian kepada 30 juta rakyat Malaysia dan bertentangan dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” ujarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengemukakan notis tuntutan terhadap Pua atas satu ucapan yang didakwa menggambarkannya sebagai pemimpin korup.

Notis tuntutan menyebut, ucapan Pua dibuat pada satu majlis anjuran DAP Petaling Jaya pada 3 November menunjukkan Najib tidak layak mengetuai pentadbiran negara.

Notis berkenaan menuntut Pua memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang mendakwa “Najib mencipta skandal terbesar dalam sejarah Malaysia.

Ia turut menuntut agar rakaman ucapan berkenaan, yang disiarkan oleh media pro-Pakatan Rakyat, Media Rakyat, dikeluarkan dari dalam talian Youtube. – Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-