Monday, August 9, 2021

Konspirasi Zahid-Anwar sejak 1998, rancang gulingkan Dr M dan kini mahu singkir Muhyiddin

agendadaily.com
9/8/2021


Memandangkan suhu politik negara kini kembali panas gara-gara tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mahu memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, Agenda Daily ingin membawa pembaca menelusuri kisah romantik cikgu dengan anak muridnya ini.

Karier Zahid dalam politik bermula sekitar 1982 sebagai pemimpin peringkat akar umbi di Bagan Datok.

Nama beliau dalam kancah politik tanahair mencanak naik selepas memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 1996 dan bermula waktu ini kisah romantik Zahid dan Anwar bertaut.

Sebelum Zahid memenangi pemilihan parti tahun itu, jawatan tersebut dipangku oleh Datuk Seri Nazri Aziz selepas Ketua Pemuda waktu itu, Tan Sri Rahim Tamby Chik dipaksa melepaskan jawatannya ekoran isu peribadi serta dakwaan yang dilemparkan ke atasnya.

Nazri memangku jawatan tersebut selama 14 bulan dan kemudiaannya membuat kejutan dengan mengumumkan yang beliau berhasrat untuk menyerahkan kembali jawatan tersebut kepada Rahim selepas Jabatan Peguam Negara menegaskan tiada kes ke atas Rahim.

Bagaimanapun, pemilihan UMNO diadakan tahun tersebut dan Zahid masuk gelanggang melawan Rahim sehingga berjaya memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Ketika itu era pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar adalah Timbalannya, Zahid waktu itu berkiblatkan Anwar dan menurut seorang rakan politiknya, Mohd Sayuti Omar mendedahkan Zahid adalah ‘khadam Pak Sheikh’ atau dalam erti kata lain macai Anwar.

“Datuk, orang sudah tahu yang Datuk adalah budak kepada Pak Sheikh (Anwar). Datuk adalah khadam kepadanya. Dalam suasana hari ini, bagi saya terbaik Datuk lakukan, Datuk perlu tenggelam timbul bersama Pak Sheikh. Datuk tidak boleh melarikan diri.

“Kalau Datuk lari meninggalkannya, Datuk akan dilihat pengecut dan seorang yang mementingkan diri. Sebaliknya kalau Datuk setia dan pertahankan Pak Sheikh, Datuk akan dilihat sebagai seorang pejuang dan sahabat yang setia, yang sanggup melakukan apa saja demi seorang sahabat, Datuk akan dihormati sepanjang masa,” tulis Sayuti dalam blognya.

Ketika itu, Zahid hilang pertimbangan sama ada bersama Anwar yang dipecat atau bersama Dr Mahathir. Zahid meminta pandangan Sayuti berhubung hala tuju politiknya.

Pada 2 September 1998, Anwar dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada hari berikutnya beliau turut disingkir daripada jawatan Timbalan Presiden dan ahli UMNO.

Pemecatan Anwar telah membawa UMNO ke dalam krisis yang besar pada dekad 1990-an.

Pemecatan Anwar telah mengubah lanskap politik negara dan kesannya tidak hanya diterima oleh UMNO tetapi melebar ke atas semua parti politik di Malaysia sehingga tertubuhnya parti PKR.

Zahid hanya bersama Anwar pada awal gerakan reformasi sebelum ditangkap bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kota Kinabalu.

Selepas ditahan ISA, Zahid tidak lagi bersama Anwar dalam meneruskan agenda reformasi dan kekal bersama UMNO sehingga lah hari ini.

Senario politik ketika era reformasi dengan sekarang berbeza sama sekali, Anwar yang berkonspirasi dengan Zahid pada 1998 masih gagal untuk menjatuhkan Dr Mahathir daripada singgahsana takhta dan sehingga sekarang pun masih gagal.

Bagaimanapun, sejarah sama berulang cuma bezanya Zahid kini sedang merancang pakatan sulit yang lebih jitu iaitu mengheret Ahli-ahli Parlimen UMNO bersama-sama dengan blok pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jika pada 1998 Zahid berjuang separuh jalan, kali ini ia berbeza kerana beliau tiada lagi pilihan selain memastikan Anwar naik sebagai Perdana Menteri dan tidak berundur seperti yang dilakukannya selepas ditahan bawah ISA.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-