Pasukan Malaysiakini
Diterbitkan 19 Aug 2021, 9:56 am
Dikemaskini 10:26 am
LANGSUNG | Yang di-Pertuan Agong dijadual menerima menghadap 114 ahli parlimen hari ini , yang sebelum ini sebahagian atau menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam sesi hari ini, Agong dijangka mengesahkan sokongan mereka terhadap Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob untuk dilantik sebagai perdana menteri.
Malaysiakini melaporkan perkembangan ini secara langsung.
10.10 pagi: Setakat ini tiada pergerakan ahli parlimen memasuki Istana Negara, menandakan sesi menghadap wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak berkemungkinan besar dibuat menerusi telesidang.
Antara tokoh yang tiba di Istana Negara sebentar tadi adalah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Peguam Negara Idrus Harun.
Sementara itu, pembangkang menyatakan mereka tidak menerima jemputan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Sesi menghadap dimulakan dengan MP Sabah dan Sarawak
9.30 pagi: Kumpulan pertama ahli parlimen - seramai 24 orang - yang dijadual menghadap Agong adalah daripada Sabah dan Sarawak.
Ia termasuk 18 orang dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lima orang dari Bersatu Sabah.
Tidak dapat dipastikan sama ada mereka mengadap Agong di Istana Negara atau melalui telesidang.
Semalam, terdapat keraguan sama ada GPS akan menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri, selepas gabungan itu enggan mendedahkan nama yang dihantar mereka kepada Agong.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.