Thursday, August 5, 2021

Lebih baik bersama kerajaan sekarang daripada Anwar, kata MP UMNO

agendaily.com
5/8/2021

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi senada dengan cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang Ahli Parlimen (MP) UMNO membidas Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masih berusaha keras mengheret parti bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tindakan tersebut akan menyebabkan lebih banyak mudarat.

MP Besut, Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan tindakan menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tidak wajar, ia juga jelas menunjukkan Zahid lebih mementingkan cikgunya, Anwar daripada parti.

“PAU (Perhimpunan Agung UMNO) tolak Anwar, tapi Presiden berkata Anwar adalah cikgu dia. Presiden juga secara diam-diam telah tandatangani SD (Surat Akuan) menyokong Anwar. Oleh itulah maka kita perlu lebih berhati-hati di dalam membuat keputusan demi kelangsungan masa depan UMNO.

“Saya berpandangan, masa depan UMNO akan menjadi lebih baik jika kita bersama-sama dengan kerajaan sekarang di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin. Kerajaan ini tidak maksum, namun bagi mengelak mudarat yang lebih besar, ia menjadi pilihan yang terbaik ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zahid juga tidak memiliki perancangan yang jelas malahtindakan beliau lebih bercelaru, kata Idris yang tidak mahu UMNO kembali menjadi parti pembangkang sekiranya bertindak keluar daripada kerajaan PN.

“Sayangnya saya tidak nampak ‘game plan’ di mana Presiden UMNO hendak membawa kita pada ketika kesihatan rakyat masih diancam.

“Kita diarah menolak kerajaan sedia ada dan menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin. Selepas itu ke mana kita? Adakah kita hendak kembali menjadi pembangkang? Membiarkan pemimpin bukan Melayu mentadbir Agama Islam? Atau adakah kita hendah menyokong Anwar sebagaimana kita maklum akan hubungan akrab kedua-duanya?” soal Idris lagi.

Beliau turut membidas Zahid yang sentiasa berubah pendirian dan mengambil kesempatan demi semata-mata memastikan cikgunya, Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Berkaitan situasi UMNO sekarang, Presiden UMNOpernah berkata, Ahli-ahli Parlimen UMNO bebas membuat pilihan untuk menyokong siapa di parlimen.

“Sekarang beliau mengarahkan pula kita perlu tarik sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri. Keputusan beliau sentiasa berubah,” katanya lagi.

Terdahulu UMNO menerusi kenyataan Zahid baru-baru ini mengisytiharkan parti itu menarik semula sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Bagaimanapun Muhyiddin dalam kenyataannya semalam mendakwa masih mempunyai majoriti sokongan dan akan dibuktikan keabsahan dalam sidang Dewan Rakyat pada September depan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-