Wednesday, August 11, 2021

MP UMNO kem Zahid kunci mulut isu tawar diri jadi PM, tapi tak nafikan

agendadaily.com
11/8/2021

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beberapa Ahli Parlimen (MP) UMNO yang bersama dalam kem Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengunci mulut berhubung isu tawaran menjadi calon Perdana Menteri (PM) bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin, bagaimanapun tidak menafikan berhubung pendedahan tersebut.

Agenda Daily menghubungi hampir tiga MP UMNO yang berada dalam kem Zahid mengakui terdapat pertemuan tertutup dengan Presiden UMNO itu tetapi enggan menjawab persoalan berhubung tawaran menjadi PM yang didedahkan.

“Ya, ada pertemuan tetapi ia sekadar pertemuan biasa bagi membincangkan strategi politik dengan Presiden… setakat itu sahaja, tidak ada perbincangan lain,” kata salah seorang MP yang enggan mendedahkan namanya.

Apabila ditanya berhubung tawaran tersebut, MP tersebut menjawab “Perkara itu perlu ditanya kepada Presiden sendiri, mungkin lebih elok dan molek Presiden membuat pengakuan tersebut sendiri daripada kami yang menjawabnya.”

Seorang lagi MP yang dihubungi mengesahkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berkata Zahid sudah bersumpah dengan nama Allah tidak akan menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, ia sekaligus menambah kepercayaan mereka terhadap Zahid.

“Ya, Presiden ada bersumpah depan kami Ahli-ahli Parlimen UMNO berhubung perkara tersebut seperti didedahkan Ahmad Maslan.

“Tindakan tersebut berjaya meredakan ketegangan dan keraguan terhadap tindakan seterusnya yang akan diambil Presiden selepas ini, ia juga membuktikan Presiden tidak berkomplot dengan Anwar untuk menjadikannya PM ke-9 seperti yang diwar-warkan sebelum ini,” kata MP tersebut.

MP UMNO yang ketiga dihubungi Agenda Daily pula tidak menafikan dan menjawab pendedahan berhubung tawaran Zahid sebagai PM ke-9, bagaimanapun berkata secara tradisinya Presiden adalah yang paling layak untuk menjadi PM seperti kebiasaan sebelum ini.

“Tradisi sebelum ini, Presiden yang akan menjadi PM apabila kerajaan dibentuk… saya tidak mahu mengakui Zahid ada menawarkan dirinya menjadi PM atau tidak, tetapi secara tradisinya memang Presiden lah yang akan menjadi PM seperti sebelum ini.

“Kalau untuk kepastian dan pengesahan, mungkin apabila tiba masanya nanti Presiden boleh membuat pengakuan beliau sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, Agenda Daily mendedahkan punca nama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dinamakan dalam surat akuan diutus UMNO kepada Yang di-Pertuan Agong kerana Zahid sudah menawarkan diri untuk menjadi PM baharu.

Sumber dalaman UMNO mendedahkan Zahid membuat tawaran tersebut semasa pertemuan rahsia dengan kem MP menyokongnya, ia juga selari dengan pengakuan Ahmad Maslan yang Zahid sudah bersumpah tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

Malah, susulan tawaran sebagai PM itu juga berjaya menyakinkan dua menteri untuk meletak jawatan, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Noraini Ahmad baru-baru ini yang pada awalnya keberatan untuk mengikut keputusan parti.

Zahid sengaja dilihat senada dengan blok parti pembangkang khususnya dengan Anwar untuk menimbulkan retorik kerajaan gagal dan menderhaka, sebaliknya niat utamanya adalah bagi mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan dan dirinya ditabalkan sebagai PM baharu.

Gerakan menjatuhkan kerajaan PN dilihat semakin giat dijalankan mutakhir ini kerana Zahid bakal berhadapan perbicaraan di mahkamah pada 24 Ogos nanti.

Pada masa ini UMNO hanya mempunyai 38 kerusi Parlimen. Beliau memerlukan sokongan daripada parti-parti lain dalam PN untuk menubuhkan kerajaan baharu yang akan dipayungi UMNO.

Menurut sumber dalaman UMNO, kem Zahid sedang giat memujuk MP Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong beliau sebagai PM menjelang Parlimen dibuka pada September ini.

Walau bagaimanapun, perancangan Zahid untuk mendapatkan sokongan majoriti dengan sokongan daripada MP PN dilihat sukar dicapai.

Muhyiddin difahamkan dikatakan bertegas dengan pendirian Bersatu untuk tidak bersekongkol dengan ‘kluster mahkamah’.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-