Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Sunday, August 1, 2021

Nazri dedah hanya 2 ahli Parlimen BN tak sokong PN

perakinsights.com
August 1, 2021
Nazri dedah hanya 2 ahli Parlimen BN tak sokong PN

Pertemuan melibatkan 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di bangunan Parlimen pada Khamis lepas memang berlaku dan semuanya memberikan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Dalam satu temu bual bersama Sinar Harian, Nazri menjelaskan hanya Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang mengambil sikap berbeza.

Malah, beliau mendedahkan Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Januari lalu juga memberikan sokongan kepada PN.

“Saya mengesahkan pertemuan 40 ahli Parlimen BN itu adalah benar-benar berlaku. 40 ahli Parlimen BN yang menyokong keputusan mengekalkan kerajaan PN termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

“Najib sememangnya menyokong kerajaan PN, bagaimanapun beliau meminta Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) meletakkan jawatan Perdana Menteri.

“Itu sahaja nada berbeza beliau sewaktu mengadakan sidang media di Parlimen selepas itu,” dakwanya.

Nazri juga menyanggah kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz bahawa kenyataan sokongan yang dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis adalah tidak benar.

“Mohamad Sahfri ini siapa? Beliau ahli Parlimenkah? Bagaimana beliau boleh bercakap bagi pihak Ahli-ahli Parlimen BN?

“Semua ahli Parlimen BN bersetuju melantik Ismail Sabri sebagai ketua whip kita di Parlimen. Jadi beliau berhak untuk menggunakan lambang BN bagi menyatakan perkara sebenar yang telah berlaku.

“Memandangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi positif COVID-19 dan terpaksa kuarantin di rumah, maka Ismail Sabri merupakan wakil ahli Parlimen BN bagi membuat keputusan penting sebegini.

“Takkan kerana Zahid tiada, maka keputusan tidak boleh dibuat? Jadi Mohd Sahfri tidak ada hak bagi menafikan sokongan kami.

“Saya berada dalam mesyuarat yang diadakan di Tingkat 3, Bangunan Parlimen baharu dan ada tiga, empat orang ahli Parlimen BN yang tidak hadir tetapi menyatakan sokongan terhadap sebarang keputusan yang dibuat,” katanya lagi.

Khamis lalu, Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata seramai 40 Ahli Parlimen BN kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau memaklumkan perkara itu selepas mempengerusikan satu perjumpaan bersama 40 Ahli Parlimen BN di bangunan Parlimen.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan Yang di-Pertuan Agong pada Khamis menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen kerana perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Susulan titah Yang di-Pertuan Agong itu, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan meminta semua Ahli-Ahli Parlimen UMNO menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Untuk rekod, BN mempunyai 42 Ahli Parlimen yang terdiri 38 UMNO, dua daripada MCA, masing-masing seorang daripada MIC dan PBRS.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-politik/40-ahli-parlimen-bn-kekal-sokong-pn-itu-benar-hanya-zahid-dan-ku-li-tidak-sokong-nazri-311569

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-