ismaweb.net
Ainul IlliaBudaya terlalu agungkan ‘orang lama’ perlu dihapus kerana punca sikap mendabik dada
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 3 Muharram 1443H, Khamis – Hala tuju UMNO yang dibawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ini amat mengelirukan, demikian tegas pemerhati politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Isa Hamzah.
Rata-rata rakyat meragui perjuangan sebenar Presiden UMNO itu sama ada benar-benar mahu membangunkan parti ataupun semata-mata untuk kepentingan peribadi, selepas memutuskan menarik sokongan daripada Perikatan Nasional (PN).
UMNO yang kini berpecah-pecah juga menimbulkan tanda tanya mengenai perancangannya dalam arena politik negara, apatah lagi Barisan Nasional (BN) hanya memiliki 42 kerusi dalam Parlimen.
“Sekarang ini, mereka ada beberapa pilihan iaitu yang pertamanya bekerjasama dengan Perikatan Nasional. Tapi mereka tolak kerana tidak mahu bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kedua, bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang memiliki 91 kerusi. Namun, itu pun sudah dia tolak kerana tidak mahu bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun DAP. Adakah mereka nak stand alone? Jadi apakah sebenarnya perjuangannya?
“Daripada hati kita sendiri, keliru dengan langkahnya. Betulkah perjuangan dia untuk kembalikan UMNO atau hanya untuk kepentingan peribadi?
“UMNO ini diibaratkan bagai berada di Stage 5 penyakit COVID-19, sudah kritikal dan nazak, dah jatuh daripada kerajaan, tapi tiada hala tuju,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Dr Isa berkata, dahulu UMNO adalah sebuah parti Melayu dan Islam paling kuat dalam negara, tetapi kini ia terbelenggu oleh ‘bagasi’ pemimpin lama yang bermasalah.
“Sistem dalam UMNO itu sendiri patut ditukar, UMNO takkan boleh move forward kerana berat liabilitinya.
“UMNO sebenarnya satu parti orang lama yang mencengkam sehingga tiada ruang orang baru naik, itu budaya yang perlu diperbaiki,” katanya.
Beliau berkata, budaya yang terlalu mengagungkan ‘orang lama’ perlu dihapuskan kerana ia hanya akan menyebabkan sikap mendabik dada bermaharajalela.
“Budaya jangan lawan orang lama, orang veteran akan menyebabkan tak banyak pemimpin muda yang dapat dihasilkan.
“Orang muda yang menyuarakan pendapat, kalau yang educated sikit akan dibuang. Orang muda cakap lebih sikit takkan boleh naik. Ia menyebabkan rakyat melihat parti ini tak friendly kepada orang muda. Sistem yang silap. Akui kesilapan itu.
“Walhal, ada sahaja muka bersih dalam UMNO. Mungkin orang yang boleh kembalikan kepercayaan terhadap parti itu. Banyak parti politik seluruh dunia pun tukar kepimpinan mereka lepas ditolak. Pemimpin mereka dengan sendirinya letak jawatan, baru orang percaya,” katanya lagi.
Dr Isa menegaskan, penting untuk UMNO kembali pada landasannya yang sebenar dengan perjuangannya untuk bangsa Melayu dan Islam.
“Kalau dulu, yang ikut perjuangan dia adalah idealis, guru-guru yang tiada kepentingan apa-apa. Mereka adalah grassroots (akar umbi) parti.
“UMNO pernah menjadi kuasa penting dalam politik orang Melayu. Kita harapkan dia bangunlah. Jika UMNO boleh menyatukan orang Islam, orang boleh percayakannya semula,” katanya.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.