Thursday, August 5, 2021

Zahid naik angin, UMNO akan keluarkan surat amaran desak letak jawatan

agendadaily.com
5/8/2021

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perutusan khas hari ini, 4 Ogos 2021.

Selepas desakan supaya Menteri dan Timbalan Menteri UMNO meletak jawatan tidak diendahkan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi difahamkan sudah mengarahkan supaya surat amaran dikeluarkan kepada kumpulan tersebut yang berdegil.

Agenda Daily menerima maklumat dalaman UMNO surat amaran tersebut akan dihantar dalam masa terdekat kepada semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada parti tersebut yang masih tidak meletak jawatan sejak keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) pada Selasa yang memutuskan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sumber parti berkata Zahid sudah naik angin dan tidak dapat lagi menahan kemarahannya susulan keengganan mereka yang tidak menuruti perintahnya yang dibuat menerusi ketetapan dalam Mesyuarat MT baru-baru ini.

“Presiden sudah hilang sabar apabila perintahnya tidak diikuti selepas MT membuat ketetapan pada Selasa lalu, kemungkinan tindakan lebih keras untuk memaksa kumpulan Menteri dan Timbalan Menteri ini keluar dari kerajaan terpaksa dilakukan.

“Daripada maklumat dalaman, surat amaran akan dihantar kepada mereka sekiranya tidak mengikut keputusan parti… mungkin sehingga ke peringkat diheret ke Lembaga Disiplin dan tindakan tegas akan menanti mereka,” kata sumber itu.

Lebih mengecewakan Zahid apabila hanya seorang menteri sahaja meletak jawatan, iaitu Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, kata sumber.

“Presiden mengharapkan akan ada satu gelombang lebih besar, secara beramai-ramai meletak jawatan bagaimanapun hanya Ahli Parlimen Lenggong sahaja yang bertindak mengosongkan jawatan menterinya.

“Zahid mahu memastikan kerajaan PN tumbang dengan segera, kalau boleh minggu ini juga. Itu antara janji beliau dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau sudah kesuntukan masa.

“Anwar beri tekanan kepada Zahid dan Zahid pula memberi tekanan kepada Menteri dan Timbalan Menteri UMNO,” katanya lagi.

Untuk rekod, Shamsul Anuar sahaja daripada kalangan menteri yang meletak jawatan dan terdapat beberapa pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sudah meletak jawatan.

Antara pemimpin yang sudah meletak jawatan dalam GLC adalah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin dan Ahli MT, Datuk Razlan Muhammad Rafii.

Bagaimanapun, tindakan Shamsul Anuar tidak memberi kesan kepada kerajaan PN yang dilihat masih berfungsi dan masih boleh menjalankan urusan pentadbiran seperti biasa.

Menurut sumber, lebih menyebabkan Zahid semakin terguris hati apabila melihat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berada bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sidang media semalam sebaik selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Dia (Zahid) tidak dapat menerima tindakan yang dilakukan Tok Mail (Ismail Sabri) yang bersama-sama dengan Muhyiddin semasa sidang media… hatinya terguris walhal Ismail Sabri antara yang turut berada dalam Mesyuarat MT pada Selasa lalu.

“Zahid melihat perkara tersebut sebagai satu pengkhianatan kepada parti walaupun dia sendiri tidak memberitahu hala tuju yang ingin dibawanya,” kata sumber.

Terdahulu UMNO menerusi kenyataan Zahid baru-baru ini mengisytiharkan parti itu menarik semula sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Bagaimanapun Muhyiddin dalam kenyataannya semalam mendakwa masih mempunyai majoriti sokongan dan akan dibuktikan keabsahan dalam sidang Dewan Rakyat pada September depan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-