Monday, October 18, 2021

Ahli UMNO jangan jadi 'ketam dalam kotak'

bharian,com
Rafiqah Dahali 
bhnews@bh.com.my
- Oktober 18, 2021 @ 7:05pm

Mahdzir berucap merasmikan Persidangan Cawangan UMNO Berkelompok DUN Bengkoka dan Pitas di Pejabat UMNO Bahagian Kudat, hari ini. 
FOTO IHSAN PEMBACA

PITAS: UMNO mengingatkan ahlinya supaya terus membantu menguatkan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tunjang kekuatan UMNO adalah ahli di peringkat akar umbi yang tidak mengalah walaupun diuji dengan situasi kehilangan beberapa pemimpinnya.

Justeru, beliau tidak mahu ahli UMNO menjadi seperti 'ketam di dalam kotak' yang menjatuhkan sesama sendiri untuk 'keluar kotak'.

"Ahli UMNO jangan jadi seperti 'ketam dalam kotak', satu nak naik, yang lain tarik sampai jatuh. Sampai tidak ada yang boleh keluar.

"Elakkan sikap seumpama itu di dalam UMNO. Marilah kita sama-sama bersolidariti untuk meneruskan agenda perjuangan parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Cawangan UMNO Berkelompok Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka dan Pitas di Pejabat UMNO Bahagian Kudat, hari ini.

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, sejarah menunjukkan kekuatan UMNO terletak kepada kekuatan ahli akar umbi yang membantu parti memenangi pilihan raya.

Atas faktor itu, UMNO katanya amat menghargai semua ahlinya yang masih setia serta kekal bersama perjuangan parti itu, terutama selepas PRU-14.

"Pada tahun 2018 apabila sebahagian daripada rakan kita dalam UMNO di peringkat kepemimpinan keluar daripada parti ini, ahli akar umbi tetap setia.

"Saya tidak kisah ke mana mereka pergi tetapi kita hendak menyatakan semangat ahli di semua peringkat di cawangan, Wanita, Pemuda, Puteri dan bahagian akan terus berjuang walaupun sudah tahu kita kalah.

"Ahli yang setia kepada parti inilah yang membantu meneruskan kelangsungan perjuangan UMNO di seluruh negara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-