Friday, October 15, 2021

Apa berlaku jika senario politik Melaka berulang terhadap PM?

agendaily.com
15/10/2021

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jika senario politik Melaka berulang sama terhadap Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adakah UMNO bersedia mengambil tindakan tegas sama dengan memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali?

Di Melaka punca kejatuhan kerajaan diterajui UMNO berlaku akibat tindakan wakil rakyat parti sendiri, mustahil insiden sama tidak boleh berlaku di peringkat kerajaan pusat.

Kejatuhan kerajaan Melaka diterajui UMNO bukan satu tauladan yang baik untuk dijadikan contoh, bahkan rakyat akan menilai UMNO sebagai sebuah parti yang hanya tahu berebut kuasa dan tidak mempunyai integriti.

Dua ADUN UMNO dipecat parti akibat pengkhianatan mereka sehingga jatuhnya kerajaan negeri iaitu Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor).

UMNO begitu cepat mengambil tindakan terhadap kedua-dua ADUN tersebut, diharapkan tindakan sama juga boleh diambil jika terdapat Ahli Parlimen (MP) UMNO di peringkat kerajaan Pusat yang menarik sokongan sama seperti itu dan menjadi punca kejatuhan seorang PM dari UMNO.

Untuk rekod, sebelum ini terdapat 15 MP yang menarik sokongan terhadap mantan PM Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga terjatuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terdapat kemungkinan segelintir dalam kumpulan 15 MP UMNO sebelum ini boleh mengulangi tindakan sama jika tidak puas hati terhadap Ismail atau pun kehendak mereka tidak dituruti, bagaimanapun persoalannya adakah UMNO berani memecat individu tersebut?

Jika Idris, seorang pemimpin lama dalam UMNO pun boleh dikenakan tindakan tegas, UMNO tidak boleh “double standard” atau pilih kasih sekiranya ia berlaku terhadap Ismail.

Namun, Ismail perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya berdepan tentangan dan jangan sampai membubarkan Dewan Rakyat sehingga memberi laluan kepada pilihan raya umum (PRU) terpaksa diadakan.

Jika PRU diadakan ia akan mendatangkan masalah besar kepada parti, ketika itu pasti berlakunya ketegangan dan krisis dalaman yang akan boleh memberi implikasi buruk kepada UMNO.

Di Melaka, Speaker Dewan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh membuat keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga menyebabkan terdapat kemungkinan besar pilihan raya negeri (PRN) terpaksa diadakan pada ketika krisis Covid-19 masih melanda negara.

Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih sedang berbincang dan belum mengeluarkan keputusan setakat ini, namun mengesahkan sudah menerima notis pembubaran DUN.

Keputusan terburu-buru dibuat itu berbeza dengan tindakan Muhyiddin di peringkat pusat sebelum ini, ia tidak sampai ke peringkat sehingga PRU terpaksa diadakan selepas peletakan jawatannya sebaliknya Ismail dipilih sebagai pengganti selepas mendapat majoriti dikalangan MP di Dewan Rakyat.

Persoalannya, mengapa Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam tidak mengambil tindakan sama di peringkat pusat, mengapa sehingga membubarkan DUN?

Bagaimanapun, krisis politik Melaka boleh dijadikan iktibar dan pengajaran kepada PM untuk sentiasa berhati-hati supaya ia tidak berulang terhadap dirinya. Ismail perlu bersedia dan mempersiapkan strateginya awal-awal supaya tidak terperangkap dalam serangan hendap.

Jika di Melaka dua ADUN UMNO menjadi punca kejatuhan kerajaan negeri, di peringkat kerajaan pusat pula terdapat sekurang-kurangnya tiga MP yang mungkin boleh menarik sokongan dan salah seorangnya adalah Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) yang secara terang-terangan berlawan arus ketika ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-