Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Friday, October 15, 2021

PRN Melaka: MT tiada keputusan, UMNO akan mesyuarat lagi

agendaily.com
15/10/2021

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

UMNO tidak mencapai pendirian mengenai sama ada akan bekerjasama dengan PAS atau Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika diadakan, sebagai kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelmarin.

Beberapa pemimpin tertinggi UMNO mengesahkan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu malam tadi tidak membuat apa-apa keputusan mengenai PRN itu.

Sebaliknya parti itu akan menunggu pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perkara itu dan satu lagi mesyuarat akan diadakan kemudian, kata dua pemimpin UMNO malam ini.

Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin, berkata parti itu menunggu pengumuman rasmi daripada SPR berhubung PRN Melaka.

MT memang berbincang mengenai PRN Melaka. Tetapi kena tunggu keputusan SPR,” katanya selepas mesyuarat itu.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata UMNO akan mengadakan satu lagi mesyuarat dalam tempoh terdekat berhubung PRN Melaka.

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri sementara Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali turut hadir pada mesyuarat malam tadi.

Difahamkan, Sulaiman turut memberi maklumat berkaitan krisis politik yang berlaku di Melaka, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua daripada UMNO menarik sokongan terhadapnya hingga kerajaan UMNO hilang majoriti.

Ab Rauf yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka juga memberi taklimat mengenai pembubaran DUN Melaka yang dikatakan dipersetujui Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Kelmarin Zahid berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) ataupun Bersatu.

Dalam kenyataan di Facebooknya semalam, Zahid mengulangi penjelasan berhubung isu pengkhianatan yang merujuk kepada PAS kononnya tidak ikhlas menjalinkan kerjasama dengan parti itu.

“Kemudian saya menjawab soalan adakah saya kecewa dengan MN yang pernah dimeterai pada 2019. Saya cakap tidak pernah kecewa sebagai ahli politik. Tetapi kita harus tahu apabila kita berkongsi hidup harus saling percaya mempercayai dan jangan khianat mengkhianati.

“Cukuplah pengkhianatan dilakukan sekali, tetapi kalau telah berulang kali, bukan kepada UMNO tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir itu harus dinilai semula,” ujarnya lagi.

Terdahulu, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengingatkan bahawa apa juga pendirian yang diambil UMNO ianya tidak boleh melihat kepada kepentingan parti sahaja, sebaliknya perlu melihat kepada kedudukan parti sebagai pihak yang memimpin kerajaan dan memerlukan kerjasama banyak pihak.

“Politik muafakat, perbincangan dan inklusiviti ini perlu diberi perhatian serius oleh UMNO,” katanya.

Annuar berkata beliau berpandangan UMNO tidak harus melupakan betapa pentingnya kerjasama diberikan banyak pihak kepada Ismail Sabri untuk menjadi Perdana Menteri.

“Perdana Menteri memerlukan sokongan dan hubungan baik dengan banyak pihak dan tidak seharusnya satu PRN atau Pilihan Raya Kecil boleh menggugat konsep Keluarga Malaysia dan inklusiviti yang dianjurkan beliau,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-