Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Tuesday, October 19, 2021

Jika di bawah berpecah, di Pusat boleh juga berpecah, tegas Hamzah

agendaily.com
20/11/2021

Perikatan Nasional (PN) melancarkan gerakan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka, hari ini.
Gambar FB Mas Ermieyati Samsudin

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sependapat dengan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai hubungan kedua-dua parti pada peringkat Kerajaan Pusat yang boleh menjadi asas kepada kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bercakap pada sidang media selepas pelancaran ‘Gempur PN Melaka’ hari ini, beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata, kerjasama politik yang berlaku di peringkat Pusat boleh dipraktikkan pada PRN nanti.

“Kerajaan Pusat telah membuktikan bahawa kita boleh bekerjasama. Jadi bukan (setakat) hanya di Melaka, semua negeri boleh adakan kerjasama itu dan tidak timbul soal perpecahan.

“Bukan bersedia (kerjasama), tetapi matlamat kita adalah tidak ada perpecahan (kerana) apabila ada perpecahan semua boleh berpecah-belah bukan hanya di peringkat atasan tetapi bawahan dan kita tidak lagi mahu lihat rakyat berpecah,” katanya.

Sebelum ini, Shahidan memberi formula mudah dan lebih realistik berhubung PRN Melaka, sekali gus menyanggah pendapat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang mahu parti itu dan Barisan Nasional (BN) bertanding sendirian.

Menurut Ahli Parlimen Arau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu, UMNO perlu mengambil kira realiti politik semasa berhubung kerjasama dengan PAS dan Bersatu pada PRN Melaka.

Ini kerana Kerajaan Pusat sekarang ini yang diterajui Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri turut mendapat sokongan PAS dan Bersatu, katanya.

“Kalau kita bergaduh dalam PRN Melaka, tetapi apabila balik ke Putrajaya kita kembali berkawan, ini boleh menyebabkan rakyat tak gembira, silap-silap rakyat makin benci.

“Maka, pandangan UMNO Arau mesti ada kerjasama parti politik Bumiputera terutama dengan PAS dan Bersatu. Jangan ambil prinsip yang merugikan,” kata Shahidan.

Shahidan adalah antara pemimpin kanan UMNO, selain Ismail Sabri, Ahli Parlimen (MP) Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; dan MP Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz, yang menolak tindakan Zahid dan 14 MP UMNO lain menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan PN sebelum ini.

Zahid dalam satu wawancara dalam talian Isnin lalu berkata, UMNO dan BN akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS.

Zahid dengan angkuhnya berkata ‘no way’ terhadap sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu sama ada dalam PRN Melaka mahupun pilihan raya umum (PRU).

Bagaimanapun, hari ini Zahid membuat pusingan-U apabila mengumumkan setakat ini masih tiada keputusan muktamad diputuskan berhubung sebarang bentuk kerjasama dengan parti-parti lain bagi menghadapi PRN Melaka. Berita berkaitan

“Bahawa keputusan muktamad untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan mana-mana pihak belum diputuskan,” kata Zahid pada sidang media sejurus perasmian jentera parti itu di Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata PN akan mengumumkan bentuk kerjasama bersama rakan politik termasuk UMNO dan BN bagi menghadapi PRN itu dalam masa terdekat.

Katanya, pemimpin parti komponen PN termasuk Bersatu, Gerakan dan PAS akan mengadakan perbincangan dengan rakan politik lain untuk membentuk kerjasama berkenaan.

“Kita akan mula berbincang, yang mana PAS juga akan mengadakan perbincangan… dan wakil-wakil pimpinan PN juga akan berbincang dengan pemimpin BN yang lain,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN Melaka akan diadakan dengan penamaan calon akan dilakukan 8 November, manakala pengundian awal ditetapkan 16 November dan hari mengundi pada 20 November.

Kerajaan Melaka pimpinan UMNO dibawah Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali jatuh selepas tindakan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terdiri daripada dua wakil UMNO, satu Bersatu dan satu Bebas menarik sokongan terhadapnya sehingga hilang majoriti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-