Tuesday, October 26, 2021

PAS, Bersatu sudah capai kesepakatan pembahagian kerusi di Melaka

agendaily.com
26/10/2021


Perikatan Nasional kekal memberi sokongan kepada Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mentadbir negara.

Kesepakatan sudah berjaya dicapai antara PAS dengan Bersatu berhubung pembahagian kerusi yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata perbincangan tersebut juga mencapai persetujuan untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan ia hasil persefahaman bagi mengukuhkan perpaduan bangsa Melayu dan Islam.

“Alhamdulillah, hari ini kami sudah mencapai kesepakatan yang dicari selama ini dan kami berjaya kerana niat kami sama, iaitu untuk menyatukan bangsa Melayu dan Islam,” katanya dipetik dalam laporan BH.

Namun, Kamarudin menjelaskan masih menunggu keputusan muktamad UMNO yang bakal diputuskan pada Khamis ini sama ada mahu bekerjasama atau bertegas untuk bertanding secara solo, tidak menolak sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Namun demikian, segala keputusan itu masih di awang-awangan kerana kami terpaksa menunggu kata putus UMNO sama ada ingin bekerjasama dengan PN atau sebaliknya walaupun sebelum ini Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sudah menyatakan tidak akan ada kerjasama dengan BERSATU,” katanya ketika dihubungi.

“Sabarlah, kita perlu tunggu hingga Khamis ini tetapi dalam masa yang sama kerja awal kempen sudah dibuat dan insya-Allah jentera akan bergerak sepenuhnya apabila tiba waktunya,” katanya lagi.

Untuk rekod, UMNO akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertingginya pada Khamis untuk memuktamadkan keputusan sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan PAS dan Bersatu atau sebaliknya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, PAS Melaka bertanding di 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tetapi kalah semua.

BERSATU PULA yang ketika itu sebahagian daripada sekutu Pakatan Harapan (PH) bertanding di enam kerusi, iaitu Ayer Limau, Lendu, Asahan, Paya Rumput, Telok Mas dan Sungai Rambai.

Bagaimanapun Bersatu hanya menang di Paya Rumput yang diwakili oleh Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Telok Mas (Datuk Noor Effandi Ahmad).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-