Tuesday, October 19, 2021

Penjawat awam gagal lengkapkan vaksinasi boleh kena tatatertib, ditamatkan perkhidmatan

freemalaysiatoday.com
Bernama
-October 19, 2021 12:05 AM

Pekeliling yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Khairul Adib Abd Rahman itu menyebut pegawai boleh diarah untuk mendapatkan dos lengkap mulai 1 Nov 2021.

KUALA LUMPUR: Pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang gagal melengkapkan imunisasi Covid-19 boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan apabila dasar baharu berhubung imunisasi melibatkan penjawat awam dilaksanakan mulai 1 Nov ini.

Perkara itu dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 mengenai Dasar Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Pekeliling yang ditandatangan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Khairul Adib Abd Rahman itu menyebut pegawai boleh diarah untuk mendapatkan dos lengkap mulai tarikh itu.

“Pada atau selepas 1 Nov 2021, mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan ketua jabatan boleh menyebabkan pegawai dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan,” menurut pekeliling itu yang dimuat naik di laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam hari ini.

Sementara itu, sekiranya pegawai tidak dapat melengkapkan dos imunisasi Covid-19 atas faktor kesihatan, mereka boleh diarahkan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dengan pengamal perubatan berdaftar.

Mereka juga boleh diarahkan oleh ketua jabatan untuk membuat ujian pengesanan Covid-19 jika telah disahkan tidak layak menerima vaksinasi itu atas sebab kesihatan.

“Pegawai adalah bertanggungjawab untuk mendapatkan dos imunisasi Covid-19 yang lengkap sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan. Ini bertujuan untuk memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti perkhidmatan awam berada pada tahap yang optimum,” menurut pekeliling itu.

Pekeliling itu menyatakan ketua jabatan juga boleh pada bila-bila masa mengarahkan mana-mana pegawai yang belum mendapatkan dos lengkap untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi menentukan status kesihatan mereka.

Ketua jabatan juga boleh mempertimbangkan apa-apa kaedah sesuai untuk memastikan pelaksanaan dasar itu dalam menguruskan pegawai yang tidak mendapatkan vaksinasi lengkap termasuk mengarahkan mereka menjalani ujian pengesanan Covid-19 dengan kos ditanggung pegawai terbabit.

Bagaimanapun, kos ujian pengesanan untuk mereka yang tidak layak menerima imunisasi atas faktor kesihatan akan ditanggung kerajaan.

Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan selaras dengan Fasal (2) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan selain terikat dengan Surat Aku Janji yang ditandatangani oleh pegawai di bawah subperaturan 20 (3) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U. (A) 1/2012].

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan 30 Sept lepas memaklumkan semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin Covid-19 dan dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi mereka sebelum 1 Nov 2021.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-