Sunday, October 31, 2021

PN akan tewas jika PAS guna logo sendiri, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Robin Augustin
-October 31, 2021 8:30 AM

PN memerlukan PAS untuk bertanding menggunakan logonya sendiri bagi memberikannya kredibiliti, menurut penganalisis.

PETALING JAYA: Parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya Bersatu dan Gerakan akan tewas sekiranya sekutu gabungan mereka, PAS memutuskan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka menggunakan logonya sendiri, kata seorang penganalisis.
Oh Ei Sun.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata PAS lebih kuat dengan logonya sendiri kerana ia mempunyai kaitan dengan perjuangannya selama ini manakala PN pula tidak mempunyai ramai penyokong.

Seorang lagi penganalisis Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata beliau percaya PAS akan menggunakan logonya untuk menonjolkan jenamanya sendiri dan bukannya tenggelam di sebalik lambang PN.

Oh berkata PN memerlukan PAS untuk bertanding menggunakan logonya sendiri bagi memberikannya kredibiliti dan sekiranya ia berlaku, PN tidak dapat “menumpang” kekuatan akar umbi dan jentera parti itu.

Katanya, ia sukar memberi kelebihan kepada Bersatu dan Gerakan memandangkan jentera pilihanraya dua parti itu tidak kuat berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, Umno juga lebih rela PAS menggunakan logo sendiri bagi menggambarkan bahawa parti itu bukanlah sebahagian daripada PN.

Oh berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai rasa tidak senang hati di kalangan segelintir ahli PAS terhadap keputusan pemimpin parti itu membenarkan penggunaan lambang PN oleh calon mereka dalam PRN Melaka.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid.
Ahmad Fauzi berkata, usia PN yang baru setahun jagung tidak dapat dibandingkan dengan kekuatan jenama PAS yang mempunyai sejarah panjang selama 60 tahun dan mempunyai pengikut setia.

“Malah, kekalahan dalam pilihan raya juga gagal menghakis sokongan terhadap parti itu,” katanya yang menjelaskan ia berbanding dengan PN “yang hanyalah gabungan sementara terdiri daripada bekas ahli Umno dan PKR”.

Beliau mempersoalkan apa alasan yang membentuk gabungan itu.

“Apa prinsip yang mengikat mereka bersama, selain tanggapan yang kurang jelas mengenai ketuanan Melayu dan pragmatisme dalam menghalang sebuah lagi kerajaan PH mengambil alih?” katanya.

Fauzi berkata PN harus membenarkan PAS menggunakan logo mereka kerana keputusan itu akan mencerminkan sikap toleransi gabungan terbabit dalam pimpinan mereka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-