Tuesday, October 5, 2021

UMNO sokong DUN Melaka bubar, yakin menang: Zahid

agendaily.com
5/10/2021

Dewan Undangan Negeri Melaka.

Keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mendapat sokongan UMNO dan yakin akan dapat menyapu bersih semua kerusi sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, kata Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata pembubaran DUN tersebut tidak dapat dielakkan dan UMNO sudah mengarahkan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh supaya menghantar notis kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan langkah pembubaran tersebut.

“UMNO berpendirian bahawa DUN tidak dapat dielakkan untuk dibubarkan. Sebagaimana rakan media maklum bahawa pengumuman rasmi telah dibuat, mengenai persetujuan TYT Melaka terhadap pembubaran DUN Melaka ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Mohd Rustam menerima cadangan agar DUN Melaka dibubarkan hari ini.

Bagaimanapun, Zahid berkata terpulang kepada SPR untuk menentukan sama ada PRN boleh diadakan atau tidak mengambil kira keadaan semasa pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.

“Namun saya mengharapkan agar SPR setelah menerima perutusan rasmi dari DUN Melaka untuk adakan perbincangan dengan MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan Kementerian Kesihatan bagi tentukan perkara sebenar.

“Apakah PRN akan diadakan mengikut jadual waktu atau tempoh bagaimana yang terdapat dalam Akta Pilihan Raya,” katanya lagi.

Melaka dilanda kemelut politik selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan diketuai bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, mengumumkan pendirian mereka untuk menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan Barisan Nasional-Perikatan Nasional (BN-PN) yang dipimpin Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Idris merupakan ADUN UMNO di Sungai Udang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-