-October 5, 2021 6:00 PM
![](https://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2019/09/YB-Mohd-Rafiq-Naizamohideen-Masjid-Cina-Krubong-09082019-2.jpg)
Pengerusi PN Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata perundingan antara Bersatu, Umno dan PAS penting bagi mengelakkan pertandingan tiga atau empat penjuru ketika berhadapan calon Pakatan Harapan (PH).
PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) Melaka mempelawa Umno berunding demi memastikan tiada pertembungan kerusi yang bakal ditandingi dalam pilihan raya negeri (PRN), susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Pengerusi PN Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata perundingan antara Bersatu, Umno dan PAS penting bagi mengelakkan pertandingan tiga atau empat penjuru ketika berhadapan calon Pakatan Harapan (PH).
Katanya, hanya selepas Umno menyatakan pendirian sama ada bersedia membuka pintu perundingan atau sebaliknya, PN akan membuat ketetapan jumlah kerusi yang akan ditandingi.
“Yang pasti ialah Bersatu tidak akan bertembung dengan PAS kerana kami sudah bersepakat untuk mengelak pertembungan sesama sendiri,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Hari ini, DUN Melaka dibubarkan dan PRN bakal diadakan selepas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu.
Pembubaran itu diumumkan Yang Dipertua DUN Ab Rauf Yusoh, sehari selepas empat ADUN Melaka termasuk bekas Ketua Menteri Idris Haron, menarik balik sokongan terhadap Sulaiman.
Pembubaran itu dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Mohd Ali Rustam, dilihat sebagai jalan keluar untuk mengatasi kemelut politik berkenaan dan membentuk kerajaan negeri baharu menerusi pilihan raya.
Jumaat lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengulangi keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), termasuk PN.
Katanya, keputusan itu adalah muktamad.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.