Friday, November 5, 2021

Di mana keadilan, soal pakar ekonomi mengenai peruntukan bajet Bumiputera, bukan Bumiputera

freemalaysiatoday.com
Robin Augustin
-November 5, 2021 9:35 AM

Jumlah keseluruhan peruntukan untuk Bumiputera dalam bajet sejak tiga tahun lalu adalah kira-kira RM30 bilion, menurut Muhammed Abdul Khalid.
(Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi mempersoalkan sikap adil kerajaan dalam Bajet 2020 sambil menyatakan terdapat perbezaan besar dalam pengagihan antara komuniti Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Muhammed Abdul Khalid yang pernah menjadi Penasihat Ekonomi bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, berkata komuniti Bumiputera mendapat peruntukan berjumlah RM11.4 bilion berbanding komuniti Cina dan India yang hanya mendapat kira-kira RM345 juta.

“Ini hanya 3% daripada apa yang Bumiputera dapat.

“Yang penting bagi saya, Bumiputera ramai orang Islam dan ini adalah konsep keadilan. Di mana keadilannya?

“Ya memang benar bahawa ramai Cina kaya tetapi ramai juga yang miskin. Adilkah kita?,” katanya dalam rancangan bual bicara bertajuk “Bajet 2022: Mampukah Rawat Ekonomi Melayu” anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), malam tadi.

Khalid juga berkata, jumlah keseluruhan peruntukan untuk Bumiputera dalam bajet sejak tiga tahun lalu adalah kira-kira RM30 bilion.

“Apa hasilnya, kita pun tidak tahu. RM30 bilion pergi mana? Bumiputera yang mana yang dibantu?”

Sebelum ini, bekas menteri Zaid Ibrahim berkata “senang” untuk menjadi Bumiputera apabila berbilion wang telah diperuntukkan untuk komuniti itu.

“Ini mesti menjadi satu-satunya negara yang mempunyai bajet mengikut kaum,” katanya dalam hantaran di Twitter selepas pembentangan Bajet 2022 pada 29 Okt.

Selain itu, Khalid turut membidas cadangan pelaksanaan Cukai Makmur yang mana pendapatan korporat melebihi RM100 juta akan dikenakan cukai pada kadar 33% berbanding 24% sebelum ini.

Reaksi terhadap cukai itu berlaku dengan begitu cepat di Bursa Malaysia apabila jumlah permodalan pasaran syarikat tersenarai mencatatkan penurunan sebanyak RM33.8 bilion, manakala Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa mengakui pada Selasa lalu, ia mungkin disebabkan kebimbangan terhadap cukai berkenaan.

“Kita tidak pernah dengar (tentang cukai ini). Tiba-tiba (cukai) naik ke 33%. Kita mahu kutip RM3 bilion, pasaran jatuh RM33 bilion,” kata Khalid sambil menjelaskan penurunan itu turut menjejaskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Idea keseluruhannya ialah untuk mengutip cukai lebih besar daripada pengeluar sarung tangan yang menjana keuntungan empat hingga lima kali ganda berbanding sebelum ini (Covid-19) tetapi anda ingin sasarkan kepada semua.”

Katanya, masalah besar dengan cukai itu ialah pelaksanaan dasar yang mengejutkan dan ia menjejaskan keyakinan pasaran.

Beliau menegaskan ketelusan dalam pelaksanaan dasar dan sikap konsisten amat penting.

“Pasaran akan bertolak ansur dengan beberapa bentuk cukai tetapi bukan seperti ini. Konsepnya ialah cukai secara adil,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-