Saturday, November 6, 2021

PN letak 28 calon, PAS bakal mencabar Umno di 7 kerusi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 6, 2021 6:29 PM

PRN MELAKA | Pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru hampir menjadi pasti dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada 20 Nov ini apabila Perikatan Nasional (PN) pula meletakkan calon di semua 28 kerusi yang ada.

Mengumumkan calon gabungan itu di Shah Alam petang ini Pengerusi PN Muhyiddin Yasin menyenaraikan semua calon bagi kerusi berkenaan membabitkan 15 dari Bersatu, lapan dari PAS dan lima mewakili Gerakan.

Jika pencalonan itu diterima sepenuhnya Isnin ini PAS bukan saja akan berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH), malah terpaksa menghadapi cabaran daripada parti yang memeterai Muafakat Nasional dengan mereka iaitu Umno.

Untuk rekod sejak sekian lama PAS bertegas mahu menjadi pendamai kepada Umno dan Bersatu.

PAS akan bertanding di Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam, Kelebang dan Merlimau.

Hanya kawasan Kelebang saja PAS dijangka tidak akan berdepan dengan cabaran Umno kerana BN menyerahkan kerusi tersebut kepada MCA.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamarudin Sidek, diletakkan bertanding di kerusi Duyong, iaitu kawasan yang sama dicalonkan oleh partinya pada 2018.

Kamarudin akan mencabar penyandang Damian Yeo Shen Li dari PH.

Sementara itu Bersatu pula akan berdepan cabaran Umno di 12 kerusi.

Pengerusi Bersatu Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, pula diletakkan di kerusi Telok Mas berbanding Paya Rumput yang ditandinginya pada 2018. Dia memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,259 undi.

Pada PRU ke-14 lalu Bersatu - ketika itu menjadi sebahagian daripada PH - memenangi kerusi Telok Mas melalui calonnya Noor Effandi Ahmad dengan kelebihan 1,288 undi.
Noor Effandi sudah dipecat daripada Bersatu selepas terlibat menarik balik sokongannya kepada kerajaan BN-PN Melaka bersama tiga Adun lain baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mas Ermieyati Samsudin yang juga ahli parlimen Masjid Tanah pula dipertaruhkan di Tanjong Bidara.

Mengikut senarai yang ada Umno meletakkan Ab Rauf Yusoh di situ. Dia merupakan pengerusi Umno Melaka. PH pula menamakan Zainal Hassan sebagai pencabar.

[Laporan lanjut menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-