Friday, November 19, 2021

Tak mustahil PRU selepas ini jika BN menang PRN Melaka

agendaily.com
19/11/2021

Kumpulan 15 Ahli Parlimen UMNO sebelum ini pernah menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Sekiranya keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memihak kepada Barisan Nasional (BN), tidak mustahil selepas ini pilihan raya umum (PRU) pula akan diadakan kerana gabungan itu mahu berkuasa mutlak di peringkat kerajaan pusat.

Ketika ini kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terbatas untuk membuat sebarang keputusan dalam pentadbirannya ia memandangkan kebergantungan kepada sokongan rakan-rakan parti lain sehingga menyukarkan BN untuk bertindak sesuka hati.

Keadaan tersebut tidak memberi kelebihan kepada BN kerana perlu terlebih dahulu mendapatkan persetujuan rakan parti lain sebelum menentukan sesuatu polisi untuk dilaksanakan.

Sebagai contoh, isu hadiah hartanah dianggar bernilai RM100 juta kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima kecaman teruk semalam selepas pendedahan berhubung keputusan yang dibuat Ismail Sabri.

Jika mempunyai kuasa mutlak, pastinya isu hadiah tersebut tidak bocor dan akan disembunyikan daripada pengetahuan umum, bagaimanapun maklumat mengenai hadiah tanah RM100 juta itu kini sudah menjadi isu awam dan menerima bantahan yang teruk daripada Ahli-ahli Parlimen termasuk Menteri Kabinet.

Mengambilkira kekurangan tersebut, Ismail Sabri sudah tersepit dan tidak boleh mengambil pendirian untuk memekakkan telinganya hanya kerana mahu memuaskan hati para pemimpin UMNO sahaja.

Oleh sebab itu, PRN Melaka kali ini akan menjadi kayu pengukur sejauh mana kekuatan BN dan UMNO untuk menghadapi satu lagi pilihan raya yang besar selepas ini.

Jika pengundi Melaka memberi mandat yang besar kepada BN pada PRN kali ini, keberangkalian PRU akan diadakan dalam masa terdekat tidak boleh ditolak.

Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pastinya melihat ia satu peluang yang terbaik untuk mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen bagi memberikan laluan kepada PRU diadakan selepas ini.

Malah sumber Agenda Daily memberitahu kumpulan kluster mahkamah yang sudah terdesak pastinya mahu menggunakan PRN Melaka sebagai titik tolak untuk menyelamatkan diri masing-masing daripada pertuduhan yang sedang dihadapi di mahkamah.

Pengundi Melaka memainkan peranan yang penting untuk mengelak negara terjerat dalam satu lagi krisis politik di peringkat pusat, jika mereka memilih BN berkemungkinan satu lagi bahana besar akan dihadapi negara dan bakal mengundang ancaman penularan Covid-19 secara besar-besaran selepas ini sekiranya PRU diadakan.

Krisis politik Melaka boleh dijadikan satu pengajaran kepada rakyat kerana ia secara jelas menunjukkan pemimpin UMNO tidak menghiraukan keselamatan dan nyawa rakyat, bagi mereka perebutan kuasa sesama sendiri adalah lebih penting daripada rakyat.

PRN Melaka berpunca daripada pergaduhan sesama sendiri pemimpin UMNO, Datuk Seri Idris Haron yang juga bekas Ketua Menteri tidak berpuas hati dengan Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang terlalu berkuasa sehingga mengawal pentadbiran kerajaan negeri.

Idris bersama tiga lagi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan KM Melaka UMNO, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga terjatuh kerajaan yang juga dikuasai UMNO.

Di peringkat pusat, senario sama juga tidak mustahil berlaku jika Najib dan Zahid bertindak menarik sokongan terhadap Ismail Sabri sehingga tumbangnya kerajaan yang juga dipimpin orang UMNO sendiri.

Bagaimanapun, bersediakah rakyat untuk berdepan satu lagi PRU diadakan pada ketika kes penularan Covid-19 sudah menunjukkan tren peningkatan, adakah rakyat tidak takut berdepan insiden sama seperti yang berlaku sebelum ini semasa PRN Sabah?

Oleh itu, PRN Melaka ini sangat penting buat rakyat Melaka untuk memilih parti yang terbaik untuk memimpin kerajaan negeri dan bukannya memilih sebuah parti yang sibuk berebut kuasa sehingga mengabaikan kepentingan rakyat.

Jika pengundi Melaka memilih BN, langkah tersebut tidak akan mengubah apa-apa sebaliknya mengundang satu lagi musibah apabila PRU pula terpaksa diadakan.

Jika memilih Pakatan Harapan (PH), pengundi Melaka akan dilihat cenderung untuk menyokong sebuah fahaman politik baharu iaitu ‘katak berprinsip’.

Jika memilih Perikatan Nasional (PN), rakyat Melaka berpeluang melakar sejarah untuk melantik seorang KM wanita pertama.

Terpulang kepada pengundi untuk menentukan pilihan masing-masing, bagaimanapun adalah sangat diharapkan mereka memilih parti yang kurang membawa mudarat daripada memilih parti yang sememangnya sarat dengan pemimpin bermasalah dan terpalit dengan pelbagai kontroversi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-