25/12/2021
UMNO menangguhkan Perhimpunan Agung 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 15 Januari tahun depan.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 15 Januari tahun depan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, susulan masalah banjir yang melanda beberapa negeri sekarang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan hari ini berkata Presiden, Timbalan Presiden, Jawatankuasa Pengurusan serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bersetuju supaya Perhimpunan Agung UMNO 2021 ditangguhkan.
“Ini disebabkan bencana banjir yang berlaku di banyak kawasan dan pimpinan UMNO akar umbi diminta membantu mangsa-mangsa banjir.
“Ada beberapa bahagian seperti Kota Raja dan Klang masih tidak dapat mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian kerana dilanda musibah banjir,” katanya.
Menurutnya PAU biasanya melibatkan hampir 6,000 pemimpin akar umbi Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri daripada 191 Bahagian UMNO serta ribuan lagi pemerhati seluruh negara.
“UMNO turut berdukacita bersama rakyat yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda. Diharap jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta kerajaan pusat dan negeri terus membantu mereka,” katanya.
Sebelum ini, mesyuarat perwakilan UMNO bahagian diadakan secara serentak seluruh negara, 18 Disember lalu, didahului mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian pada 11 dan 12 Disember lalu.
UMNO telah menetapkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 diadakan pada tahun hadapan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Januari 2022.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 29 September lalu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.