Friday, January 28, 2022

‘Itik kaki patah ini, bila sembuh nak berenang sendiri’

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jan 28, 2022 1:44 PM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumpamakan Umno seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

Dia berkata demikian ketika mengulas tindakan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar Muafakat Nasional (MN) yang dirintis selepas pilihan raya umum lalu.

“Tapi malangnya, kita bukan nak ajar itik berenang. Kita nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki, pilihan raya (ke) 14.

“Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.

“Malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul,” kata anggota parlimen Marang.

Dia berkata demikian kepada pemberita. Video itu dimuat naik ke media sosialnya sebentar tadi.

Hadi berkata demikian ketika menegaskan pendirian untuk meneruskan kedua-dua gabungan MN dan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Bersatu.

Hadi berkata MN sepatutnya dianggotai sama oleh Bersatu dan parti-parti bukan Melayu.

Katanya, perkara itu sudah pun dipersetujui sebelum ini bagi menggantikan BN yang menurutnya tidak lagi relevan.

“Kalau PAS dan Umno sahaja, perpaduan Melayu sahajalah. Mana kaum lain? Mana orang lain?” soalnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-