Saturday, January 29, 2022

Tiada kerjasama tanpa DAP, tegas Anwar

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-January 29, 2022 4:53 PM

PH tidak akan menerima cadangan kerjasama dengan PN bagi menghadapi menghadapi PRN Johor tanpa DAP, kata Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak akan menerima cadangan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor tanpa DAP, kata Pengerusinya Anwar Ibrahim.

Anwar berkata DAP parti induk PH dan sudah membuktikan kesetiaan.

“Jika mereka hendak bincang secara berasingan dengan PKR atau DAP, kita tiada halangan.

“Tapi untuk memberikan syarat tanpa DAP atau tanpa PKR, sukar diterima,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada sesi dialog pada Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Port Dickson.

Terdahulu, terdapat pandangan dalam kalangan pemimpin komponen PN yang bersedia menjalinkan kerjasama dengan PKR dan Amanah bagi menghadapi PRN Johor, namun tanpa DAP.

Ia susulan cadangan bekas Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Mazlan Aliman, agar PH bekerjasama dengan Bersatu dan PAS pada PRN Johor bagi berdepan Barisan Nasional (BN).

Mazlan berkata, jika kerjasama itu mampu direalisasikan, PH berupaya membentuk pakatan terbesar sekali gus memberi cabaran buat BN.

Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan lambang berasingan pada PRN Johor, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, perkara itu tidak akan menimbulkan masalah dalam kalangan ahli gabungan PH.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ia antara sebahagian daripada strategi pakatan itu untuk memenangi hati pengundi di Johor.

“Penggunaan logo ini sudah dipraktikkan sebelum ini seperti mana pada PRN Sabah dan Sarawak namun pada PRN Melaka kita kembali menggunakan satu logo PH.

“Tapi ia tidak jejaskan hubungan dan kepimpinan PH masih terus mantap. Jadi ada orang cuba hendak gunakan isu logo ini sebab tertentu sedangkan dasar sama, manifesto sama.

“Kita guna kerana sentimen terutama di desa, orang Melayu dan itu pandangan kita, jadi saya fikir ia tidak ada masalah dan mereka hanya cuba besar-besarkan perkara ini,” katanya.

PKR akan bertanding pada PRN Johor menggunakan logonya sendiri, manakala DAP dan Amanah menggunakan lambang gabungan parti pembangkang berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-