Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
GAMBAR Hiasan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Kuala Lumpur: Jemaah Menteri, hari ini, bersetuju memberi subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak ayam.
Keputusan itu dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard RM8.90 sekilogram.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju memberi subsidi sebanyak lima sen bagi setiap biji telur untuk semua jenis kategori.
"Tujuan pemberian subsidi untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutama kos makanan yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.
"Tempoh pemberian subsidi bermula 5 Februari lalu hingga 4 Jun ini iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, anggaran keseluruhan implikasi kewangan kepada kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat bulan ini adalah sebanyak RM528.52 juta.
Menurutnya, kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri untuk memastikan industri ayam dan telur terus kekal mampan dan beroperasi dalam skala penuh.
"Ia bagi memastikan pengeluaran ayam dan telur di ladang mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan.
"MAFI berharap langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan, sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga berpatutan," katanya.
Disiarkan pada: Februari 9, 2022 @ 8:58pm
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.