Showing posts with label telur. Show all posts
Showing posts with label telur. Show all posts

Saturday, February 25, 2023

Masalah bekalan ayam, telur selesai menjelang Ramadan, kata menteri

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
- 25 Feb 2023, 10:30pm

Mohamad Sabu berkata, masalah kekurangan bekalan telur dan ayam dijangka selesai dengan pelaksanaan program pemutihan pekerja asing sejak bulan lalu.
Mohamad Sabu berkata, kekurangan buruh antara punca krisis bekalan telur dan ayam berlaku.
PETALING JAYA: Masalah kekurangan bekalan telur dan ayam mampu diatasi menjelang Ramadan dengan pertambahan pekerja asing dalam sektor berkaitan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Katanya, kekurangan buruh yang menyumbang kepada krisis bekalan bahan mentah itu, dijangka selesai dengan program pemutihan pekerja asing yang giat dijalankan sejak bulan lalu.

“Kita sudah berbincang dengan pengusaha dan sekarang tempat berdepan masalah kekurangan pekerja dalam proses penambahan kerana kerajaan sejak Januari melonggarkan syarat pengambilan pekerja asing dengan lebih 200,000 orang berjaya didaftarkan.

“Mereka ini akan bekerja di premis seperti ladang ternakan ayam dan sektor perladangan lain yang memerlukan pekerja,” katanya menurut Berita Harian.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri meluluskan 380,000 permohonan pekerja asing yang tinggal lebih tempoh dan tidak mempunyai dokumen, bagi memenuhi keperluan ekonomi negara.

Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, pihaknya menerima pemberitahuan Bank Negara untuk memberi kelonggaran kepada beberapa sektor kritikal seperti perladangan, pertanian, perkilangan dan perkhidmatan.

Wednesday, February 15, 2023

Halang eksport bukan import telur

bebasnews.my
By Hassan Mohd Noor
-15/02/2023
KUALA LUMPUR — Isu bekalan telur terus menarik perhatian apabila wakil kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat mempersoalkan tindakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengimport telur dari India.

Dua Ahli Parlimen dari Johor menyentuh isu itu ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) ketika perbahasan menegaskan import telur ayam dari India bukan penyelesaian kepada isu kekurangan bekalan, sebaliknya menimbulkan isu diskriminasi kepada penternak tempatan.

Ia berikutan telur dari India yang bersaiz gred D dibenarkan dijual pada harga 50 sen sebiji di pasaran tempatan, sedangkan telur gred A, B dan C yang dikeluarkan pengusaha tempatan terpaksa dijual pada harga di bawah 50 sen.
Foto Twitter MITI Malaysia
Beliau mencadangkan kementerian mengikut cadangan persatuan penternak yang meminta kerajaan kembali kepada kaedah subsidi telur bagi menampung lonjakan kos operasi mereka, selain mengawal eksport telur ke luar negara.

“Di kawasan saya, ada lebih 100 ladang ayam. Ladang di kawasan saya hasilkan empat juta biji telur dan 800,000 biji boleh dijual kepada Singapura. Ertinya, kita ada keupayaan.

“Saya minta ambil pandangan persatuan. Biar mereka jual telur pada harga 50 sen sebiji, tetapi kerajaan tampung sedikit dengan subsidi dan harga diapungkan.

“Kerajaan juga boleh pilih untuk bantu keluarga B40 dengan khususnya subsidi sembilan sen atau 10 sen kepada keluarga B40 dan kalau RM200 boleh dapat lebih 2,000 telur untuk satu keluarga B40.

“Jadi kerajaan perlu pilih nak bantu penternak tempatan atau keluarga B40. Kita tak boleh benarkan telur dari India datang ke sini dan dijual pada harga 50 sen sebiji kerana kita mendiskriminasi petani tempatan,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) pula berpandangan kerajaan sepatutnya bertindak menghalang eksport telur ayam ke luar negara seperti dilakukan pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri itu yakin pendekatan itu lebih sesuai kerana Malaysia selaku antara pengeksport utama telur ayam dunia, memiliki lebihan telur ayam untuk mengatasi isu kekurangan bekalan dan harga bahan makanan itu.

Katanya, semasa beliau menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Menteri Pertanian, ketika timbul isu bekalan barang, kerajaan memanggil semua pembekal.

“Saya diberitahu Malaysia antara pengeskport telur terbesar di dunia, bermakna ada lebihan (telur ayam). Sewaktu kekurangan (telur) dalam negara, kenapa tak sekat bekalan eksport? Yang Berhormat Bera (Ismail Sabri) buat.

Ini supaya tidak ada telur yang mengalir (keluar) ke sana (luar negara) dan telur masuk ke dalam negara kita. Jadi harga boleh kekal, malah mungkin boleh dijual lebih murah lagi,” katanya.

— BebasNews

Thursday, January 19, 2023

Harga siling ayam, telur diangkat selepas bekalan pulih, kata Salahuddin

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-January 18, 2023 11:20 PM
Salahuddin Ayub berkata kerajaan sedang menunggu masa untuk mengangkat harga siling ayam dan telur yang telah dilaksanakan terlalu lama.

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengangkat pengapungan harga siling ayam dan telur ayam selepas bekalan dijangka pulih dalam tempoh tiga bulan akan datang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, kementeriannya sedang menunggu masa untuk mengangkat semula harga siling barangan tersebut.

“Saya telah nyatakan hasil laporan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, bekalan ayam telah pulih sepenuhnya dan bekalan telur akan pulih paling kurang tiga bulan lagi.

“Jadi hanya menunggu masa sahaja untuk harga siling diangkat balik kerana ia telah dilakukan terlalu lama, hampir setahun lebih,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Tambahnya, harga siling yang bakal diangkat kembali itu sedang menunggu keputusan yang akan diputuskan kabinet sendiri.

Terdahulu, Salahuddin berkata, penetapan harga siling RM9.40 sekilogram bagi ayam standard di pasaran akan dikaji semula bagi memastikan rakyat mendapat sumber protein itu pada harga lebih stabil.

Ditanya sama ada harga siling baharu itu nanti akan lebih murah berbanding harga siling semasa atau sebaliknya, Salahuddin berkata perkara itu akan ditentukan kemudian dan berharap rundingan baik dapat dilakukan dengan pemain industri.

Monday, January 9, 2023

Mat Sabu tak perlu jelajah ke India, Ayer Hitam ada banyak telur - Wee

malayaiakini.com
Diterbitkan: Jan 9, 2023 9:32 PM
Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong mengkritik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu kerana didakwa mengutamakan telur ayam import berbanding keluaran tempatan.

Ini susulan tinjauan Mohamad ke ladang pengeluaran telur di Tamil Nadu, India untuk melihat sendiri proses pengeluaran telur yang diimport ke Malaysia.

Presiden MCA itu meminta Mohamad mengutamakan penternak tempatan dan mencadangkan agar menteri itu datang ke Ayer Hitam bagi melawat kawasan pengeluaran telur di situ.

"Abang Mat, jauh jelajah?! Perlu ke India tengok telur ke?

"Saya cadangkan datang ke kawasan saya parlimen Ayer Hitam. Yong Peng ada lebih 100 ladang ayam dan di sinilah tempat paling popular menghasilkan telur untuk pasaran tempatan dan juga berjuta biji telur dieksport ke Singapura setiap hari,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.
Wee mendakwa penternak tempatan kerugian berikutan kos pengeluaran lebih tinggi berbanding harga telur yang dijual iaitu 41 sen sebiji akibat kawalan harga.

Dia sebaliknya mencadangkan harga telur tempatan dinaikkan sama seperti telur yang diimport dari India, yang berharga 51 sen sebiji.

"Abang Mat, apa kata harga kawalan diubah? Saya rasa kalau harga kawalan ditetapkan RM0.50 sebiji (sama macam harga telur import dari India), mungkin penternak tempatan sanggup bela kerana mereka tak akan rugi.

"Kalau kerajaan mampu dan bersungguh nak bantu golongan B40, boleh wujudkan “elaun telur secara top up” kepada golongan B40 untuk menanggung bebanan kewangan iaitu selisih harga RM0.09 (RM0.50-RM0.41) sebiji," katanya.

Wee menambah, tiada keperluan untuk mengimport telur dari India sekiranya bekalan telur tempatan mencukupi.

Pada Disember tahun lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengumumkan langkah mengimport telur dari India sebagai langkah jangka pendek untuk memastikan bekalan mencukupi di negara ini pada harga yang kompetitif.

Ini berikutan pengguna menghadapi kesukaran mendapatkan telur di beberapa negeri.

Berita Harian melaporkan telur dari India itu akan diimport melalui jalan laut bagi menurunkan harga dan bersaing dengan harga telur tempatan.

Dia juga mengatakan kontena penghawa dingin disediakan bagi memastikan kualiti telur dalam keadaan baik.

Bagaimanapun Wee mempersoalkan kesegaran telur import berkenaan memandangkan pengangkutan laut dari India akan mengambil masa tiga hingga empat minggu.

Sunday, December 25, 2022

Kawal harga barang, bukan suruh rakyat kurang makan ayam

ismaweb.net
Siti Hafidah
25/12/2022

Rafizi hanya ulang perkara sama, tiada solusi baharu dan konkrit


BANGI, 1 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilihat gagal mengemukakan faktor sebenar kenaikan harga barang makanan, kata Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin.

Beliau berkata, tiada penjelasan terperinci daripada menteri itu sama ada berkaku ketiadaan bekalan, kenaikan kos atau peningkatan permintaan.

Malah, sidang media Rafizi pada Jumaat lalu juga tidak ada solusi baharu dan konkrit mengenai kenaikan harga barang makanan, demikian kata Khairil.

Rafizi juga, tegasnya, tidak menyentuh secara keseluruhan langkah-langkah drastik mengurangkan konsistensi kadar inflasi subsektor makanan dan minuman bukan alkohol (7.3 peratus: November 2022) yang menjadi bahagian besar atau 30 peratus daripada perbelanjaan isi rumah.

“Harga barang makanan tidak rasional dan memerlukan intervensi serta penguatkuasaan lebih kuat oleh kerajaan. Bukan hanya menyuruh rakyat kurang makan ayam!

“Mekanisme subsidi bersasar telah disebut oleh Perdana Menteri pada hari pertama pentadbirannya tetapi masih belum dilaksanakan. Rafizi hanya mengulang perkara yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai isu kenaikan harga telur dan ayam, Ahli Parlimen Jerantut itu tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh pihak penternak yang mengalami masalah kenaikan kos pengeluaran dan aliran modal selain monopoli dan manipulasi bekalan.

Menurutnya, perkara ini bagaimanapun tidak disentuh dengan terperinci dalam kenyataan kelmarin.

“Langkah mengimport telur tidak menyelesaikan masalah tuntas.

“Menurut Pengarah Urusan Mydin, harga telur import gred C 50 sen sebiji lebih mahal daripada telur gred A tempatan 45 sen sebiji.

“Malah, ia melangkaui harga siling ditetapkan kerajaan. Isu bekalan telur mungkin selesai tetapi masalah utama kenaikan harga yang ditanggung rakyat dan menangani isu monopoli tetap tidak terjawab!” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Thursday, December 22, 2022

Harga telur import Gred C 50 sen sebiji, lebih mahal daripada Gred A tempatan

satuberita.my
By SatuBerita
-December 22, 2022
TELUR ayam yang diimport daripada India untuk memenuhi keperluan pengguna negara ini, dijual pada harga 50 sen sebiji, lebih mahal daripada telur Gred A, walaupun saiznya lebih kecil daripada Gred C tempatan.

Ketika ini, telur Gred C tempatan dijual pada harga 41 sen sebiji, manakala Gred A pula adalah 45 sen sebiji.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin, mengakui harga telur import itu lebih mahal, namun ia masih mendapat permintaan daripada pengguna.

“Walaupun saiz telur import itu lebih kecil daripada Gred C, manakala harganya lebih mahal daripada Gred A, namun sekurang-kurangnya kita ada bekalan itu terutamanya ia adalah sumber protein yang paling murah boleh didapati.

“Kebanyakan makanan di negara ini memerlukan telur, disebabkan itu ia tetap ada pembeli walaupun harganya sebegitu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian Online.

Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari untuk menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan selain bagi tujuan mengawal harganya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, import telur itu sudah bermula sejak 15 Disember lalu dengan permulaan kemasukan sebanyak 100,000 biji telur.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai telur ayam import yang diterima oleh pasar raya Mydin, Ameer berkata, ketika ini bekalan yang diperoleh mereka hanya cukup untuk dijual menerusi cawangan Subang Jaya.

“Telur ayam import itu sudah diterima dan setakat ini dianggarkan jumlah itu cukup untuk menampung bekalan antara dua hingga tiga hari di cawangan Subang Jaya.

“Minggu depan akan masuk lagi bekalannya dan akan diagihkan kepada semua cawangan Mydin di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ameer berharap selepas telur ayam kembali stabil, kerajaan membiarkan ia dijual pada harga pasaran, tidak meletakkannya di bawah harga kawalan.

Katanya, kerajaan tidak perlu takut dengan kenaikan harga telur ayam kerana mengikut perkiraan ia hanya akan meningkat sekitar lima hingga tujuh sen sahaja.

Malah katanya, tindakan itu juga dapat mengelakkan pembekal ‘main harga’ dengan mengenakan caj tambahan kepada perkara lain.

“Kalau bekalan telur ayam pada pembekal tempatan ini sudah mencukupi, kita tidak perlu lagi import dari luar. Kita mahukan situasi menang-menang. Diharapkan selepas perayaan Krismas ini kerajaan tidak buat harga kawalan kepada telur.

“Setiap kali adanya kawalan harga sudah tentu terdapat ‘underground economy’ di sebaliknya. Mungkin kerajaan kini tidak tahu, walaupun ada harga kawalan ia akan disekalikan dengan ‘underground economy’.

“Ini bermakna harga barangan itu dijual lebih mahal, kalau harga kawalan menetapkan sebiji telur itu dijual dengan harga 45 sen sebiji, tetapi peniaga ini tidak akan mendapat bekalan dengan harga berkenaan,” katanya.

Ameer mendedahkan, hanya mereka yang sanggup bayar lebih sahaja akan menerima bekalan daripada pembekal.

“Walaupun dalam invois harga telur ayam ini akan kekal sama, namun pembekal bertindak ‘main harga’ dengan mengenakan caj tambahan pada pengangkutan atau caj pengendalian.

“Ini tidak betul, ia babitkan harga yang mahal namun dengan cara yang tidak telus, disebabkan kerajaan nak semua dibuat secara telus jadi kita cadangkan untuk tidak membuat harga kawalan selepas perayaan Krismas ini,” katanya.

PM patut sekat eksport, bukan import lagi telur dari luar



ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe
Dasar kerajaan tak selesai masalah, hanya untungkan orang tengah

BANGI, 27 Jamadilawal 1444H, Khamis – Langkah kerajaan mengimport telur ke Malaysia bagi menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan bukanlah penyelesaian tuntas untuk menstabilkan bekalan.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil langkah berani dengan menyekat pengeluaran telur yang dihasilkan di negara ini daripada dieksport ke luar.

Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan berkata, langkah import eksport yang dilaksanakan dalam dasar kerajaan hanya memberi keuntungan kepada pihak tertentu dan masih belum menjamin menstabilkan bekalan serta mengawal harga barang.

“Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim kata dia berani, berani yang pertama ialah menyekat daripada telur-telur yang dihasilkan dalam negara dieksport ke luar.

“Itu tindakan pertama nak kata berani. Berani menyekat sebarang eksport ke luar negara, bukannya berani mengubah dasar tetapi sebagai solusinya ialah import telur ke dalam negara,” katanya.

Selasa lalu, Anwar mengumumkan langkah kerajaan untuk mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari mulai Khamis bagi menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan.

“Kemasukan pertama pada 15 Disember melibatkan sehingga 100,000 biji telur dan mulai 22 Disember, pengimportan di antara 2 juta hingga 10 juta biji telur sehari akan dilaksanakan sehingga bekalan menjadi stabil,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, langkah itu hanyalah mewujudkan syarikat-syarikat baharu yang sengaja ditubuhkan untuk mendapat keuntungan daripada import.

“Daripada kita gunakan kos untuk import telur dari luar, baik kita bayar syarikat sedia ada supaya mereka tak eksport telur ke luar negara, atau tambah subsidi ke apa.

“Sepatutnya kita boleh menghasilkan telur dengan produk kita sendiri untuk keluaran kita sendiri, kegunaan kita dan yang beli pun kita.

“Perkara itu yang patutnya dilihat, bukan fokus import telur dari luar dan akhirnya orang-orang tengah dapat keuntungan daripada import eksport ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Monday, December 12, 2022

Telur oh telur! Di manakah dikau berada?

utusantv.com
Oleh Ahmad Abd Hamid
-December 12, 2022
Tinjauan harga telur ayam di pasar raya sekitar Kuala Lumpur. 
GAMBAR  Abd Razak Aid

“AYAM dahulu atau telur dahulu?” Teka teki ini sejak sekian lama menjadi bahan gurauan. Jika tiada telur mana mungkin ada anak ayam? Jika tiada ayam mana mungkin ada telur? Namun tiada siapa boleh memberi jawapan pasti. Hanya Allah sahaja Maha Mengetahui.

Lupakan dahulu frasa mana dahulu ayam atau telur ini. Kini frasa baharu yang hangat ialah ‘perlu import telur ayam atau tidak’ sejajar isu kekurangan bahan makanan tersebut di pasaran sehingga menyusahkan orang ramai?

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, memaklumkan kerajaan akan mengimport telur bagi mengatasi masalah tersebut. Namun langkah ini tidak dipersetujui oleh peniaga yang menganggap ia bukan penyelesaian terbaik.

Menurut Mohamad, import dari beberapa negara yang sudah dikenal pasti merupakan langkah jangka pendek mengatasi masalah kekurangan bekalan. Ia bukan bertujuan menekan pengusaha tempatan, cuma untuk memastikan keperluan dalam negara tidak terputus.

Setelah bekalan kembali stabil, import akan dikaji semula. Protokol dan tatacara ditetapkan kerajaan perlu dipatuhi dalam pelaksanaan import, termasuk memastikan telur mematuhi piawaian dan selamat dimakan.

Namun bagi Pengarah Urusan Rangkaian Pasaraya Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, tindakan mengimport telur dianggap tidak masuk akal memandangkan Malaysia ialah negara pengeskport telur.

Beliau mempersoal kenapa perlu import sedangkan negara mengeluarkan telur mencukupi, malah mengeskportnya ke negara seperti Singapura dan Hong Kong. Mungkin eksport ini punca utama bekalan tempatan berkurangan.

Menurut Ameer, sepatutnya jika bekalan tidak cukup, negara perlu hentikan eksport serta memberi keutamaan kepada keperluan tempatan. Cuma misterinya, sebelum ini walau pun dalam keadaan telur dieskport, bekalan di pasaran sentiasa mencukupi. Belilah berapa banyak yang mahu. Adakah berlaku kegiatan sorok atau bekalan dimanipulasi kartel tertentu?

Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, masalah kekurangan telur sudah mula meruncing. Sehingga kini masalah belum mampu diatasi sepenuhnya. Telur masih sukar didapati di kedai atau pasar raya. Rak telur terbiar kosong. Oh telur! Di manakah dikau berada?

Jika bernasib baik, setelah penat pusing keliling, akan terjumpa kedai yang ada menjual telur. Itu pun pembelian dicatu. Ada penjual meletakkan syarat seorang pembeli hanya boleh membeli satu papan.

Pembeli pun bijak juga. Ada yang datang tiga empat orang dalam satu keluarga. Setiap orang membeli satu papan, jadi keseluruhannya banyak papan boleh dibeli. Pemilik kedai bukan perasan atau kenal setiap individu yang datang samaada mereka daripada satu keluarga atau bukan.

Ada juga penjual yang bermain silap mata. Sementara pembelian hanya dihad kepada satu papan, bagi telur gred tinggi seperti gred A, pembeli dibenarkan pula membeli sehingga sekurang-kurangnya dua papan.

Ini mungkin kerana pembeli untuk gred A tidak seramai pembeli gred B, C atau D. Harganya pula lebih mahal. Kerana itu yang membeli gred A diberi kelonggaran membeli lebih. Lebih banyak laku, lebih banyak duit masuk. Namun tidak sepatutnya pekedai mengamalkan sikap sedemikian. Sewajarnya golongan yang membeli selain gred A dibenar membeli lebih memandangkan kebanyakan mereka daripada kelompok B40.

Sehingga ini kerajaan belum memutuskan samaada syarikat tertentu boleh mengimport terus telur secara sendiri atau melalui syarikat dilantik. Juga belum disenaraikan dari negara mana telur akan diimport. Namun mengambil kira jangka hayat telur hanya lebih kurang 21 hari, kemungkinan besar ia adalah dari negara jiran seperti Thailand, Vietnam, Brunei dan Indonesia.

Jangka hayat yang singkat, dengan urusan penghantaran dari negara asal, urusan penerimaan di negara ini dan pengagihan di seluruh negara akan mengambil masa, jangka hanyat sebenar telur itu di pasaran tempatan semakin berkurang.

Juga tidak dapat dipastikan sebelum diimport, sudah berapa lama telur itu berada di pasaran negara asal. Dibimbangi nanti sekiranya aspek ini tidak diberi perhatian, telur yang sampai ke sini akan cepat rosak.

Di negara seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Brunei, harga telur lebih tinggi. Misalnya, sedozen telur gred C di Malaysia ialah RM4.92. Tetapi harganya di Thailand RM7.42, di Indonesia RM6.55, di Brunei RM10.15 dan Vietnam RM5.78. Mampukah rakyat Malaysia membeli telur import kelak?

Oleh itu langkah terbaik dilakukan masa ini ialah menstabilkan bekalan telur tempatan dengan mengawal eksport. Seperti juga kenaikan harga minyak masak boleh dikekang kerana Malaysia ialah pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia. Kawal ekpsort minyak sawit sehingga harga minyak masak dalam negara stabil.

Sementara negara perlu mengeskport untuk pertumbuhan ekonomi, keperluan rakyat tempatan wajar diberi keutamaan. Lakukanlah yang terbaik agar dalam keghairahan mengeksport, permintaan dalam negara tidak diabaikan.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Wednesday, June 22, 2022

Hapus subsidi isyarat kerajaan gagal, kata persatuan pengguna

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-June 22, 2022 5:45 PM
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia N Marimuthu menjangka majoriti harga barangan asas akan meningkat sehingga 20%.

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan tidak meneruskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol mulai 1 Julai ini disifatkan sebagai kegagalan Putrajaya menjaga kebajikan rakyat khususnya berkait sekuriti makanan.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), N Marimuthu berkata, dasar pertanian negara sejak 1984 yang seharusnya mampu menangani krisis bekalan makanan dalam jangka panjang telah gagal.

“Kerajaan tidak ada pelan jangka panjang berhubung sekuriti makanan dalam negara. Walaupun sekarang kita ada dasar pertanian yang mampan ia tidak cukup kerana kegagalan perancangan di pihak kerajaan.

“Ini semua kegagalan polisi kerajaan, bukan kegagalan rakyat. Kerajaan tak boleh lepas tangan (tarik semula subsidi),” katanya kepada FMT.

Sektor pertanian negara didasari oleh Dasar Pertanian Negara (DPN) 1 1984-1991, DPN 2 1992-1997, DPN 3 1998-2010 dan kemudian Dasar Agromakanan 2011-2020, sebagai kesinambungan DPN 3.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan bahawa harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, harga barangan itu dijangka meningkat dan akan ditentukan oleh pasaran.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan bekalan bahan makanan dan harganya di pasaran akan lebih stabil dalam tempoh jangka panjang.

Mengulas perkembangan itu, Marimuthu menjangka majoriti harga barangan asas akan meningkat sehingga 20%.

“Tidak mustahil, harga barang asas akan naik sehingga 20% selepas subsidi ini ditarik balik pada 1 Julai nanti… dan mungkin juga akan naik lebih lagi bagi sesetengah barangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan supaya menangguhkan projek mega untuk tempoh dua tahun ini dan menyalurkan dana berkenaan untuk menampung subsidi barangan asas.

“Semua subsidi (yang ditarik ini) adalah subsidi asas, bukan subsidi mewah. Apa yang kerajaan boleh buat dalam tempoh jangka pendek ini adalah tunda projek mewah untuk pastikan sekuriti makanan stabil.

“Kerajaan kena pastikan makanan cukup di atas meja, jika tidak kes kecurian akan bertambah, masalah sosial dan perceraian juga akan banyak berlaku kerana beban tanggungan ketua keluarga yang semakin bertambah,” katanya.

Tuesday, June 21, 2022

Harga siling ayam, telur, subsidi minyak masak botol tidak diteruskan

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jun 21, 2022 6:43 PM

Kawalan harga siling ayam dan telur ayam, serta subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol dua, tiga dan lima kilogram (kg) tidak diteruskan mulai 1 Julai ini, umum Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan sesi libat urus dengan pemegang taruh industri ayam di Putrajaya hari ini, Nanta berkata langkah itu dilaksanakan untuk memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil dan dalam jangka masa panjang pula dapat menstabilkan harga.

“Harga ayam akan diapungkan dan akan tertakluk kepada kuasa pasaran. Golongan memerlukan akan dibantu nanti dengan bantuan wang tunai bersasar,” katanya maklumat lanjut mengenai bantuan wang bersasar itu akan dibuat Kementerian Kewangan.
Pada masa ini kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berkuat kuasa 1 Julai, Putrajaya tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak ayam. Susulan penamatan subsidi itu, pihak penternak dilaporkan berharap kerajaan mengapungkan harga ayam.

Nanta dalam sidang media itu memaklumkan, subsidi minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kilogram dan ditawarkan kepada pengguna pada harga RM2.50 sepeket, masih diteruskan.

Mengenai pemansuhan subsidi minyak masak sawit tulen itu dalam kemasan botol itu, beliau berkata subsidi barangan tersebut mencecah RM20 juta sebulan.

“Program ini adalah program sementara dan sepatutnya dilaksnakan dalam masa tiga bulan tetapi ia diteruskan hingga hari ini.

“Oleh itu, kerajaan rasakan sudah tiba masanya ia dimansuhkan supaya kerajaan boleh lebih fokus untuk bantu golongan memerlukan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol berkuat kuasa 1 Ogos tahun lepas, dengan jaminan pengguna akan mendapat minyak masak di bawah harga RM30 untuk botol lima kilogram.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit dalam kemasan botol lima kilogram adalah pada harga RM29.70 sebotol, botol satu kilogram (RM6.70), dua kilogram (RM12.70) dan tiga kilogram (RM18.70).

Dalam sesi libat urus hari ini, Nanta berkata pemain industri ayam memberi jaminan yang kenaikan harga ayam tidak akan naik secara mendadak.

“Yang menarik untuk diterima adalah komitmen industri ini untuk bantu kerajaan dalam memastikan pengguna mendapat harga dan bekalan keperluan khususnya ayam, dengan harga berpatutan dan stabil,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa KPDNHEP akan mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada, sekiranya terdapat pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara berlebihan.

“KPDNHEP akan gunakan akta anti pencatutan dan tidak teragak-agak mengenakan tindakan terhadap pemain industri jika langgar peraturan sedia ada,” katanya.

Ditanya adakah subsidi tepung akan dimansuhkan, beliau berkata subsidi barangan itu masih diteruskan ketika ini dan ia tidak dimansuhkan.

- Bernama

Thursday, February 10, 2022

Subsidi 60 sen sekilogram ayam, 5 sen sebiji telur

hmetro.com
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

GAMBAR Hiasan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Kuala Lumpur: Jemaah Menteri, hari ini, bersetuju memberi subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak ayam.

Keputusan itu dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard RM8.90 sekilogram.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju memberi subsidi sebanyak lima sen bagi setiap biji telur untuk semua jenis kategori.

"Tujuan pemberian subsidi untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutama kos makanan yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.

"Tempoh pemberian subsidi bermula 5 Februari lalu hingga 4 Jun ini iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, anggaran keseluruhan implikasi kewangan kepada kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat bulan ini adalah sebanyak RM528.52 juta.

Menurutnya, kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri untuk memastikan industri ayam dan telur terus kekal mampan dan beroperasi dalam skala penuh.

"Ia bagi memastikan pengeluaran ayam dan telur di ladang mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan.

"MAFI berharap langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan, sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga berpatutan," katanya.

Disiarkan pada: Februari 9, 2022 @ 8:58pm

Sunday, July 18, 2021

Terkini! Harga telur ayam naik

perakinsights.com
July 18, 2021 8:40 am


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan harga telur ayam meningkat kira-kira tiga peratus.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata berikutan itu, siasatan akan dilakukan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, pihak kementerian menerima laporan mengenai kenaikan harga bahan mentah itu, kelmarin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan kerana banyak ladang ternakan ayam ditutup berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, keadaan itu menyebabkan penawaran berkurangan manakala permintaan terhadap bahan berkenaan meningkat.

“Saya dimaklumkan bahawa telur ayam akan ada kenaikan harga kerana difahamkan banyak ladang ladang ayam ini, kini tidak beroperasi.

“Walaupun ada kenaikan, kita akan pantau kenaikan ini sebab dua tiga hari lalu, kita dapat mesej daripada sahabat mengatakan bahawa akan ada kenaikan harga.

“Malah, ia turut diakui pengeluar telur ayam bahawa ada kenaikan harga,” katanya kepada pemberita ketika melakukan pemeriksaan harga barangan di Tunas Manja Mall, di sini, petang tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pencegahan) Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP, Aris Mamat.

Rosol berkata, pihaknya memahami situasi yang terpaksa ditanggung peniaga terbabit, namun tindakan tegas akan diambil jika harga dinaikkan tidak munasabah.

Katanya, sebagai contoh harga telur di pasar raya Tunas Manja Mall, dua hari lalu, bagi gred A ialah RM12 sepapan kini RM13.10, gred B RM10.80 (RM11.90) dan gred C RM10 (RM11.30).

Dalam pada itu, beliau berkata, bekalan barangan keperluan menjelang Aidiladha adalah mencukupi, kecuali tepung gandum bersubsidi.

Malah, katanya, pemantauan turut dijalankan di pasar raya dan premis dengan kekuatan 2,263 pengawai penguatkuasaan kementerian di seluruh negara.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/840279/telur-ayam-akan-naik-harga

Tuesday, March 16, 2021

Pembekal dakwa berlaku lambakan, harga telur jatuh

MyMetro
Murnaena Muhammad Nasir
am@hmetro.com.my

HARGA semasa telur dipamerkan di premis pembekal bekalan itu di Kuala Lumpur hari ini. FOTO Murnaena Muhammad Nasir.

Kuala Lumpur: Tiada kenaikan harga telur, sebaliknya bekalan barang keperluan itu lebih murah sejak beberapa minggu lalu.

Beberapa peniaga di ibu negara yang ditemui Harian Metro berkata, tidak mempunyai masalah mendapatkan atau menjual telur kepada pelanggan.

Pengurus premis membekal telur di Jalan Yew, Pudu, Faizal Rozali, 31, berkata, harga semua jenis telur kecuali gred AA dan telur kampung jatuh sejak tiga minggu lalu.

"Pengurangan harga dalam 30 sen hingga 90 sen bagi gred A hingga gred E. Kami di sini juga menjual mengikut harga pasaran dan menukar stor setiap Isnin.

"Bagi telur gred AA dan kampung pula kekal, tiada penurunan ketara," katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagaimanapun, Faizal mengakui ada pelanggan tetapnya dalam kalangan pengusaha restoran mengurangkan belian telur sejak penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Pelanggan tetap kami juga mengurangkan jumlah pembelian daripada biasa kerana keadaan pelanggan yang tidak menentu di restorannya.

"Setakat ini, pembeli masih yakin dengan kualiti telur kami kerana isu penemuan bakteria Salmonella Enteritidis (SE) hanya membabitkan satu ladang saja," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Lee Yoon Yeau berkata, pengeluaran berlebihan telur daripada beberapa ladang pengeluar utama, antara faktor kejatuhan harga produk itu ketika ini.

Beliau berharap kerajaan membantu mengimbangi permintaan dan penawaran telur dalam negara, agar syarikat pengeluar bekalan itu mampu meneruskan perniagaan.

"Kebanyakan pengeluar telur kini berdepan kerugian disebabkan bekalan yang berlebihan sejak negara berdepan pandemik Covid-19, juga disebabkan sektor perniagaan mengurangkan belian.

"Jika isu ini berpanjangan berkemungkinan ramai pengusaha berdepan penutupan operasi dan dikhuatiri akan menyebabkan pengurangan bekalan telur pula pada Ramadan nanti," katanya.

Sunday, April 22, 2012

Jangan di bilang telur yang belum menetas..............

Hari ni Wak mau ngomong pasal ndok. Wak memang peminat unggas semenjak dari kecih lagi. Wak masih ingat semasa kecil emak banyak membela ayam, itek dan angsa. Di zaman tu Wak selalu tolong emak memberi makan dan menjaga benatan2 ni. Menjaga nye sangat mudah cume beri makan dan minum nye aje.

Tapi harini Wak dah moden kan sikit tentang pemeliharaan ungas ni. Yang Wak maksudkan di moden kan tu cume cara penetasan nye aje. Kalau ayam kampung biasa no problem, dia boleh negramkan telur nya bila2 mase aje. Tapi kalau ayam belanda (turkey) susah sikit.

Ayam belanda ni bukan nye tak tau eramkan telur nye, tapi problem nye bila dia bertelur ibu ayam lain datang kacau, dia cuka lanyak telur kawan nye. Untuk nyelamatkan nye dari di lanyak kite kena kutip telur tu tiap2 hari kumpul dan masuk kan dalam incubator untuk di tetaskan.

Eram telur dengan incubator ni memang rumit sikit - sebab nye incubator Wak ni jenis manual bukan otomatik. Telur kena pusing dengan tangan 5 kali 1 hari satu malam. Suhu nye sentiasa kena monitor sebab bukan jenis digitel. Apabila genap 1 minggu kite kena 'suluh' itu telur, nak tau sama ade ianye ada benih atau tidak.

Telur yang ade benih jadi gelap sedikit kadang2 ada nampak ber gerak2 sikit. Telur yang terang benderang sah tak de benih. Telur yang tak berbenih jangan buang, boleh di masak dan di makan. Kalau mau di goreng kena tambah sedikit air kalau tidak ianye keras sedikit.

Bagi telur ayam belanda ni kita kena buat kerja rutin ni selama lebih kurang 27 atau 28 hari, kadang2 ade juge yang sampai 29 hari. Dua hari sebelum menetas kena stop pusing. Tanda2 nak menetas sudah mula nampak, selalunye ada bonjol kecil sedikit.

Kalau telur tu masih tidak mau menetas sampai 30 hari, pasti telur tu dah kantoi. Selalu nye telur2 yang di tetaskan dengan incubator ni cume lebih kurang 70 % sahaja yang menetas. Jadi nye jangan bilang berapa anak ayam anda boleh dapat sebelum telur nye menetassssss. 

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-