FMT Reporters
-March 19, 2022 1:03 PM
Akar umbi di Terengganu menganggap hubungan kerjasama Muafakat Nasional tidak wajar diteruskan dan secara jelas mahu ia ditamatkan, menurut perwakilan Terengganu Bazlan Abd Rahman.
PETALING JAYA: Hubungan Umno-PAS dalam Muafakat Nasional (MN) perlu ditamatkan segera disebabkan parti diterajui Abdul Hadi Awang itu bersikap curang berjinak-jinak dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN).
Perwakilan Terengganu Bazlan Abd Rahman berkata, piagam MN yang ditandatangani pada 14 Sept 2019 dengan pelukan erat dan juraian air mata pemimpin serta penyokong kedua-dua parti, hampir tinggal menjadi sejarah.
“Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Umpama bunga tanggal kelopak, ibarat madu habis manisnya, MN kini hanya tinggal sebagai sebutan. Kalau hilang tidak dicari, kalau sakit tidak diubati, kalau habis pun tidak diganti.
“Semua ini gara-gara sikap curang PAS yang berjinak-jinak dengan Bersatu melalui PN. Bahkan ucapan pemimpin PAS akhir ini bersifat prejudis seolah-olah kita yang menyebabkan retaknya MN,” katanya ketika membahaskan usul ucapan Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2021, menurut laporan Berita Harian.
Bazlan berkata, akar umbi di Terengganu menganggap hubungan kerjasama itu tidak wajar diteruskan dan secara jelas mahu MN ditamatkan.
“Pada mereka, untuk apa kita terus menyimpan kudis yang akan menjadi barah? Jika sudah tahu penyakit ini mudarat, kenapa masih berlengah untuk berubat? Ubat mujarab ialah memutuskan hubungan politik dengan PAS.
“Tamatkan MN dengan segera. Bahkan itulah yang ditunggu oleh PAS sendiri. Jadi kenapa perlu kita takut? Pinggan tak retak, nasi tak dingin, orang tak hendak kita pun tak ingin,” katanya.
Bazlan yang turut berkongsikan pengalaman MN di Terengganu berkata, Umno menguasai satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun dipandang sepi oleh kerajaan negeri pimpinan PAS.
“Sepanjang dua tahun melayari bahtera MN di Terengganu, tiada cerminan sebenar terjemahan muafakat yang dapat ditunjukkan. Dalam banyak hal, kerajaan PAS Terengganu tidak langsung mengambil kira keberadaan wakil rakyat Umno, Barisan Nasional yang dipilih rakyat.
“Bahkan pemimpin nombor satu kerajaan PAS Terengganu sendiri pun tidak hadir sewaktu pelancaran MN peringkat negeri. Adakah PAS Terengganu benar-benar ikhlas menghormati piagam MN yang ditandatangani di peringkat pusat?” soalnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.