Thursday, March 24, 2022

Tak ada guna pegang janji pembangkang, kata Zahid

malaysiakini.com

Diterbitkan: Mar 24, 2022 10:08 AM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menganggap kegagalan usul kerajaan mahu melanjutkan pelaksanaan tempoh tahanan 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 - atau Sosma - sebagai mengaibkan kerajaan.

Katanya, ia menjadi bukti mengapa kerajaan perlu mempunyai majoriti tersendiri dan mengesahkan gesaan Umno untuk menyegerakan pilihan raya umum (PRU).

Dia mendakwa langkah pembangkang tidak menyokong usul itu di Dewan Rakyat semalam jelas melanggar perkara ketiga memorandum persefahaman (MOU) di antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) iaitu pembangkang hendaklah bersetuju atau berkecuali dalam apa-apa usul yang dibawa kerajaan.

Dengan kegagalan itu, dakwa Zahid, pembangkang bukan sahaja mungkir janji dan mengabaikan komitmen mereka, bahkan tidak berminat untuk mewujudkan kestabilan politik - yang merupakan matlamat MOU berkenaan.

“Tidak ada gunanya untuk kita terus berpegang pada janji mereka.

“Kerajaan mesti mempunyai majoriti tersendiri. Majoriti yang kuat dan tidak mengharapkan ihsan serta budi bicara pembangkang," katanya di Facebook.

Hanya untuk usul tertentu

Tambah ahli parlimen Bagan Datuk itu, kerajaan kini seperti dalam kedudukan tidak akan dihormati, tidak stabil dan tidak berupaya untuk mengemuka dan menjayakan dasar yang baik dengan lancar.

“Pada saya, kedua-dua perkara ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan sedia ada sudah tidak dihormati. MOU di antara kerajaan dan (PH) juga nampaknya sudah tidak lebih dari sekadar janji di atas kertas,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, perkembangan itu juga jelas menunjukkan bahawa pendirian Umno semasa Perhimpunan Agung Umno minggu lalu - untuk menyegerakan pilihan raya umum (PRU) - adalah rasional dan berasas.

Katanya ia juga menjadi pengajaran kepada Umno-BN untuk bangkit kembali menjadi kuasa politik yang kuat, agar dasar dan usul “yang baik” tidak perlu bergantung kepada sokongan pihak lawan yang “suka menangguk di air keruh”.

“Saya harap, masyarakat di luar sana dapat melihat betapa rapuh dan berisikonya bentuk kerajaan yang ada.

“Yang pasti, apa yang berlaku ini (kegagalan usul Sosma 2012) adalah sesuatu yang memalukan kerajaan. Ia adalah aib yang menuntut kita untuk mengukuhkan diri dengan cara yang strategik dan segera,” katanya lagi.

Semalam, usul bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) gagal mendapat sokongan mencukupi Dewan Rakyat dalam undi belah bahagi, apabila hanya 84 bersetuju manakala 86 tidak bersetuju, manakal 50 lagi tidak hadir.

Ini bermakna, subseksyen berkenaan - yang membenarkan seseorang suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret - tidak akan lagi berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022.

Namun kerajaan boleh membentangkannya semula setelah yakin mempunyai sokongan cukup di parlimen.

Perkara 3 MOU yang disebutkan Zahid - secara spesifik Perkara 3.3 (b) - mengandungi beberapa syarat, dan hanya terpakai untuk usul atau rang undang-undang kerajaan yang mana kegagalan dalam meluluskannya akan menjadi suatu bentuk ketidakpercayaan kepada kerajaan.

Perkara 3.3(b) menyatakan:

Tertakluk kepada penunaian dan pelaksanaan Transformasi di dalam Memorandum Persefahaman ini, mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan apa-apa usul kerajaan atau rang undang-undang lain yang kegagalan meluluskannya merupakan suatu bentuk ketidakpercayaan atau tiada keyakinan kepada Kerajaan, selepas proses penggubalan rang undang-undang tersebut dirundingi dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-