Thursday, April 7, 2022

PH Perak gesa MB dedah butiran jualan tanah lapangan terbang

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-April 7, 2022 1:49 PM

Lapangan terbang baharu di Seri Iskandar dicadang menggantikan lapangan terbang di Ipoh. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan Perak menggesa Menteri Besar Saarani Mohamad mendedahkan kepada umum bila tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Seri Iskandar yang diperuntukkan untuk membangunkan lapangan terbang dijual.

Dalam kenyataan, Majlis Pimpinan PH Perak berkata Saarani bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat negeri itu apakah tanah dimaksudkan diperuntukkan untuk projek lapangan terbang baharu dan pentadbiran menteri besar mana tanah itu diambil oleh PKNP serta zaman pemerintahan siapa jualan itu disempurnakan.

“Menteri besar hari ini selaku pengerusi PKNP bertanggungjawab penuh untuk menjelaskan ketelusan transaksi penjualan tersebut jika benar berlaku penjualan,” kata PH Perak.

Mereka turut menuntut menteri besar Perak mendedahkan minit mesyuarat keputusan hasrat menjual, perjanjian jual-beli dan syarat serta nilai jualan dan pihak konsultan yang dilantik untuk rundingan jualan.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Pengerusi PH Perak Mujahid Yusof Rawa, Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, dan Pengerusi Interim PKR Perak Lee Boon Chye.

Dalam pada itu, susulan dakwaan menyatakan tanah itu dijual semasa pentadbiran PH pada 2018 hingga 2020 ketika Ahmad Faizal Azumu menteri besar, laporan polis dibuat oleh Pemuda PH pada 4 April lalu bagi memastikan siasatan terhadap penjualan tanah itu dilakukan segera.

Menyusul laporan polis itu, Adun Manjoi Asmuni Awi yang juga bekas exco kerajaan negeri membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes berkenaan.

“Kami menuntut pihak berwajib polis dan SPRM mengambil tindakan pantas memulakan siasatan bebas dan berkecuali terhadap aduan dibuat PH,” katanya.

Isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar dibangkitkan dalam sidang DUN Perak baru-baru ini oleh Adun Aulong yang juga Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Beliau mendedahkan, tanah untuk cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri, manakala Saarani pula menyatakan kerajaan Perak akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu jika terdapat laporan dibuat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-