Saturday, May 28, 2022

Rakyat disaran beli ikan air tawar jika ikan laut mahal – MB Kelantan

inforakyat.net
28/05/2022
Rakyat disaran beli ikan air tawar jika ikan laut mahal – MB Kelantan.

Rakyat Kelantan disarankan untuk membeli ikan air tawar terutamanya ketika harga ikan laut yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, ikan air tawar juga dilihat mampu menampung permintaan terhadap ikan laut yang kadang kala terjejas termasuk ketika cuaca yang tidak menentu.

“Jadi, rakyat boleh memilih untuk makan ikan air tawar kerana mempunyai khasiat yang sama dengan ikan laut.

“Selain itu, ia juga dapat mengembangkan sektor akuakultur di Kelantan apabila hampir 1,100 penternak terlibat dalam aktiviti ternakan ikan air tawar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Perikanan Jom Makan Ikan Air Tawar di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini .

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan), Mohd. Mohtar Mahamud dan Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Nazri Ishak.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, potensi ikan air tawar dilihat cukup besar untuk menjana sosioekonomi rakyat terutamanya kepada penternak.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat menjadi salah satu sumber kepada bekalan makanan negara dan juga pilihan kepada rakyat.

Tambahnya, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM975,000 kepada Jabatan Perikanan Kelantan untuk menganjurkan program pembangunan untuk nelayan dan penternak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-