Sunday, May 29, 2022

Bekas diplomat disyaki miliki ladang ganja dibebas

freemalaysiatoday.com
Predeep Nambiar
-May 28, 2022 11:30 PM
Polis Pahang berkata kira-kira 100 pokok ganja ditemui di rumah seorang bekas diplomat di Janda Baik Sabtu lalu. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Seorang bekas diplomat berusia 78 tahun yang ditahan reman selepas polis menemui kira-kira 100 pokok ganja yang ditanam di kediamannya di Janda Baik, Pahang, dibebaskan.

Bagaimanapun, anak lelakinya masih direman hingga Isnin ini.

Peguamnya, Shafee Abdullah memberitahu FMT bekas diplomat itu dibebaskan selepas majistret di Bentong menolak permohonan polis untuk melanjutkan perintah reman tujuh hari lagi.



Kedua-dua lelaki itu disiasat kerana menanam dan mengedar dadah.

Bekas diplomat dan anak lelakinya berusia 58 tahun itu ditahan di Shah Alam, Sabtu lalu selepas polis menemui ladang ganja di kediamannya di Janda Baik.

Shafee, yang mewakili bekas diplomat itu ketika permohonan melanjutkan tempoh reman hari ini bersama Rahmat Hazlan berkata, mereka membantah permohonan melanjutkan tempoh reman ke atas anak kepada lelaki itu.

Polis yang menyerbu kediaman itu berkata, ia adalah rampasan terbesar pokok ganja setakat ini memandangkan kes sebelum ini hanya melibatkan penanaman dalam pasu.

Menurut polis, mereka menemui deretan pokok ganja yang ditanam di sekeliling rumah dan daun ganja kering serta bekas cecair dipercayai minyak ganja.

Terdapat 102 pokok ganja dengan nilai rampasan kira-kira RM61,200, bersama daun ganja kering seberat 1.02kg dan sebotol ekstrak ganja, kata polis Pahang.

Polis berkata, seorang daripada suspek mengaku menanam pokok itu dengan menonton video YouTube tetapi memperoleh benih itu dari Kuala Lumpur.

Pada 24 Mei lalu Harian Metro melaporkan, bekas diplomat berpangkat “Datuk” ditahan kerana disyaki menanam dan memiliki ladang pokok ganja.

Difahamkan suspek pernah berkhidmat di kedutaan Malaysia di Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Suspek dipercayai menanam pokok ganja itu secara serius, susulan penemuan bekas plastik semaian di lokasi yang diserbu.

Bagaimanapun, polis masih menyiasat dari mana suspek memperoleh benih pokok ganja itu dan tujuan ia ditanam secara besar-besaran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-