Sunday, May 15, 2022

Semua naik, semua mahal

freemalaysiatoday.com
Mohsin Abdullah
-May 15, 2022 9:30 AM
Nampaknya tiba lagi masa untuk berjenaka sinis: “Di Malaysia hujan je yang turun, lain semua naik”. Disambut dengan kata-kata “ini bikin darah naik”.

Ini merujuk harga barangan yang sekarang naik. Amat terasa kenaikan harga makanan. Harga naik bermakna kita beli pada harga mahal. Lantas kenalah kita beli makanan dan lain-lain barangan dengan harga mahal.

Minyak masak paket kita tahu sememangnya sukar didapati sehingga pekedai terpaksa menghadkan jumlah penjualannya. Seorang pelanggan diperuntukkan dua paket. Peniaga boleh lah beli sekotak. Sekarang dengar khabar harga minyak masak dijangka naik.

Satu posting di Facebook mendakwa sebuah kedai di Lembah Klang harga teh tarik beberapa hari lalu naik daripada RM2.60 kepada RM6.30 segelas. Wallahualam.

Kata seorang kawan, Bank Negara naikkan kadar OPR sebanyak 25 “basis points” kepada 2.00% tiba-tiba macam “serentak harga barang baik”.
Sebelum ini harga kereta juga dikatakan akan naik. Petrol RON97 sudah naik. Diulangi, semua barang mahal.

Artikel ini bagaimanapun akan berbicara mengenai harga sayur. Kerana ia makanan kita. Dan bila bercakap mengenai bekalan makanan khususnya sayur-sayuran kita mesti bercakap mengenai golongan petani.

Faisal Tehrani menerusi artikel kolumnya di FMT 22 April lalu menulis mengenai kaum tani di Chemor Perak yang “sedang berjuang untuk mengekalkan tanah dan tanaman yang mereka usahakan ekoran arahan pengusiran oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak”. Pertikaian tersebut sedang menanti perbicaraan lanjut di mahkamah rayuan.

Panjang ceritanya tetapi kesimpulan penulisan Faisal ialah “bibit yang terlihat di Chemor itu mungkin satu petunjuk bahawa mereka sedang kelemasan dan memerlukan perhatian yang serius”.

Benar kata beliau, kebangkitan kaum tani kurang diiktiraf dan tidak mendapat perhatian meskipun kewujudan masyarakat tani sangat penting kerana mereka menyediakan stok atau bekalan makanan. Ini jelas mengenai situasi petani secara am di seluruh negara bukan hanya di Chemor.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub baru baru ini menerusi satu penulisannya menyatakan kenaikan harga baja adalah fenomena global yang akan menyebabkan berlakunya apa yang beliau panggil inflasi pertanian.

Kata beliau, ia kemudiannya memberi kesan kepada kos operasi dan proses kitaran pengeluaran. Ringkasnya, mengakibatkan harga sayur naik dan kita beli terpaksa dengan harga tinggi. Atau lupakan sayur dalam diet kita.

Lantas, bagi Salahuddin, kerajaan perlu menyatakan solusi paling baik bagi menangani kenaikan harga baja serta kos operasi, nasib golongan petani dan pengeluar tempatan serta ketidakstabilan jaminan bekalan untuk masa hadapan.

Bagi waktu terdekat ini atau sebagai langkah serta merta, beliau menyarankan kerajaan beri subsidi tunai kepada petani bagi membantu mengurangkan bebanan akibat peningkatan kos operasi.

Satu cadangan bagus untuk membantu kaum petani. Namun ada yang berpendapat Malaysia memang ada “subsidy mentality”. Kata mereka sekarang pun ada subsidi untuk petrol RON95, diesel, minyak masak, pengangkutan awam, kadar tol, air dan elektrik.

Bagi mereka yang bimbang akibat pemberian subsidi berterusan, soalan pokok ialah bagaimana kerajaan mahu terus membiayai subsidi? Subsidi, kata mereka, apabila diberi amat sukar untuk ditarik balik. Mereka seterusnya merujuk Sri Lanka yang memberi bermacam-macam subsidi dan apabila dunia mengalami putaran inflasi, Sri Lanka sukar membiayai subsidi dan akhirnya isytihar dirinya muflis.

Bagaimana pun ada yang berpendapat Sri Lanka muflis bukan hanya kerana subsidi. Tidak perlu huraian. Cuma yang menjadi persoalan apa yang mesti dilakukan kerajaan di sini?

Selama ini negara mengimport makanan kerana pengeluaran dalam negeri tidak dapat menampung permintaan dalaman. Apabila mata wang ringgit jatuh (seperti sekarang) negara terpaksa beli makanan import dengan harga tinggi. Siapa yang paling terkesan? Kita tahu jawapannya.

Kita ada Dasar Pertanian Negara. Adakah ia mencapai matlamat? Apabila negara masih perlu mengimport makanan maka itu sendiri menceritakan tahap kejayaan dasar itu.

Malaysia pernah bercita-cita menjadi negara perindustrian. Pernah juga mahu menitik berat pertanian secara besar besaran.

Kita ni sekarang negara perindustrian atau pertanian? Kedua-duanya atau dua-dua pun bukan?

Ketika menggaru kepala mencari jawapannya, harga makanan naik.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-