Sunday, May 15, 2022

Adakah undian Umno hari ini dapat kukuhkan perpaduan parti sebelum PRU15?

freemalaysiatoday.com
Hakimie Amrie Hisamudin
-May 15, 2022 8:40 AM

Perhimpunan Agung Umno pada Mac lalu memilih untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga PRU15.

PETALING JAYA: Ahli Umno membuang undi penting hari ini mengenai pindaan kepada perlembagaannya yang bertujuan mengukuhkan perpaduan parti menjelang pilihan raya umum akan datang (PRU15).

Kegagalan berbuat demikian boleh memecahbelahkan parti yang menjadi tonggak Barisan Nasional (BN) itu.

Pindaan itu bagi membolehkan pemilihan parti 2021, yang ditangguhkan sehingga 30 Dis tahun ini, diadakan enam bulan selepas PRU15.

Pemimpin Umno tidak sefahaman tentang bila pemilihan parti patut diadakan, walaupun perhimpunan agung parti pada Mac telah memutuskan untuk mengadakannya selepas PRU.

Timbul spekulasi bahawa kem Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob lebih suka pemilihan parti diadakan terlebih dahulu untuk memberi laluan kepada Ismail menggantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti.

Di sebalik perselisihan faham itu, pucuk pimpinan tetap bersatu padu apabila parti itu bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor pada November dan Mac melalui BN.

Malah mereka yang kononnya dalam kluster Jemaah Menteri dan mereka yang dilihat “rapat” dengan pemimpin Bersatu turun padang untuk memastikan kemenangan BN.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Wan Agyl Wan Hassan berkata, terdapat merit kepada hujah sama ada pemilihan parti diadakan sebelum atau selepas PRU15.

“Ada yang percaya kita mempunyai momentum yang baik sejak beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan PRN, sehinggalah PRN Johor. Itu mungkin benar, tetapi sama ada ia cukup untuk kita melangkah ke PRU15 masih boleh dipertikaikan.

“Mengadakan pemilihan parti sebelum PRU15 juga mempunyai hujahnya tersendiri. Ada yang percaya kita akan berpecah selepas pemilihan parti dan itu akan merugikan kita pada PRU15. Ia bukan hujah yang boleh kita abaikan begitu sahaja,” katanya.

Bagaimanapun semua ahli parti memahami risikonya. Inilah sebabnya mengapa mesyuarat agung luar biasa hari ini adalah penting, kerana ia akan membolehkan perbincangan mengenai perkara itu.

Seramai 2,666 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan hari ini dan mengundi pindaan kepada perlembagaan parti, menurut Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Jika pindaan itu tidak dilaksanakan, Umno perlu mengadakan pemilihan pada penghujung tahun ini. Kali terakhir pemilihan diadakan adalah pada 2018.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, yang menyokong penangguhannya berkata, mengadakan pemilihan parti sekarang boleh mencetuskan perpecahan dan menjejaskan persiapan pilihan raya parti.

Beliau tidak keseorangan; tokoh Umno yang lain termasuk Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak mempunyai pandangan yang sama.

Penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara percaya ahli Umno akan mengundi menyokong penangguhan bagi mengelak risiko perpecahan parti sebelum PRU15.

Bagaimanapun, Azmi berkata, penangguhan itu akan membawa impak, terutamanya bagi pemimpin parti.

“Tidak dinafikan, pemimpin (Umno) akan dipertanggungjawabkan jika parti itu mencatatkan prestasi buruk pada PRU15. Mereka akan dituduh kemaruk kuasa.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-