Sunday, May 15, 2022

UMNO tiada DNA cetus kekacauan, kata Zahid lupa tarik sokongan jejas kestabilan negara

agendaily.com
15/5/2022
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 3 Ogos 2021.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO tidak mempunyai DNA atau baka untuk mencetuskan kekacauan yang boleh menyebabkan negara berada dalam keadaan kucar-kacir.

Sebaliknya Presiden UMNO itu berkata parti berkenaan mempunyai catatan membangunkan negara selain berwajahkan keharmonian dan kesejahteraan.

Berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas hari ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata parti itu sentiasa berjuang untuk kestabilan, keharmonian, kemakmuran serta kesejahteraan negara.

“Suka saya tegaskan UMNO tidak mempunyai DNA atau baka untuk mencetuskan kekacuan yang boleh menjerumuskan negara kepada keadaan tidak menentu.

“UMNO punya catatan membangunkan negara. UMNO bersejarahkan kemakmuran dan kestabilan. UMNO berwajahkan keharmonian dan kesejahteraan justeru.

“Soal kestabilan, keharmonian, kemakmuran serta kesejahteraan adalah agenda yang tidak pernah luput daripada kamus perjuangan,” katanya yang pernah mengetuai 14 lagi Ahli Parlimen (MP) UMNO menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri (PM), dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tindakan itu menyebabkan kekacauan politik Malaysia sepanjang hampir sebulan pada Ogos tahun lalu, yang menyaksikan beberapa pihak mendakwa mempunyai sokongan majoriti utuk membentuk kerajaan baharu.

Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan PM kelapan pada 1 Mac 2021 setelah Kerajaan PN mendapat sokongan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Muhyiddin turut melantik beberapa MP UMNO dan BN menduduki barisan Kabinetnya.

Bagaimanapun, media melaporkan pada 9 Ogos 2021 bahawa Zahid mengesahkan telah menghantar dua warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah susulan isu penarikan sokongan kepada Muhyiddin.

Dalam warkah tersebut, Zahid mendedahkan 14 nama MP UMNO yang juga menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Mereka adalah:Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk);
Datuk Seri Najib Razak (Pekan);
Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian);
Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong);
Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling);
Datuk Azalina Othman Said (Pengerang);
Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan);
Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang);
Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit);
Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut);
Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands);
Datuk Mohamad Alamin (Kimanis);
Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang); dan
Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang).


Akibat tindakan Zahid dan konco-konconya itu situasi politik negara menjadi kucar-kacir hingga menyaksikan Yang di-Pertuan Agong terpaksa memanggil ketua-ketua parti menghadap bagi menyelesaikan kemelut pentadbiran negara.

Susulan itu, pada 16 Ogos 2021, Muhyiddin meletak jawatan sebagai PM.

Muhyiddin berkata, keputusan itu dibuat selepas hilang majoriti sokongan MP dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

“Saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh anggota Kabinet seperti dikehendaki Perlembagaan Persekutuan,” katanya yang kemudian dilantik sebagai PM sementara sehingga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri baharu pada 21 Ogos tahun lalu.

Pada 4 Ogos 2021, Muhyiddin dalam kenyataannya berkata pihak yang mencetus kemelut politik ketika itu, tidak senang dengannya kerana enggan melayan permintaan mencampuri urusan mahkamah.

Muhyiddin berkata, pihak berkenaan tidak selesa dengan ketegasannya yang enggan melayan desakan mereka supaya membebaskan individu tertentu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

Untuk rekod Zahid serta rakan baiknya Najib berdepan puluhan tuduhan jenayah rasuah yang didakwa dilakukan ketika kedua-dua memimpin negara, sebelum BN tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.

Malah, Najib sendiri telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda berhubung kes SRC International.

Manakala, Zahid pula menghadapi puluhan tuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-