Monday, June 27, 2022

Isham pertahan cadangan tubuh Lembaga Unggas, sokong Zahid bidas Rafizi2 jam lalu · Politik

agendaily.com
27/06/2022
Isham Jalil membidas Rafizi Ramli selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengkritik bakal Timbalan Presiden PKR itu.

Selepas dilantik Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang baharu, Isham Jalil tampil dengan lantang mempertahankan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membidas Rafizi Ramli selepas disindir berhubung isu penubuhan Lembaga Unggas Negara (Ayam).

Isham yang dilantik menggantikan tempat Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyahut kritikan Zahid terhadap Rafizi dengan mendakwa bakal Timbalan Presiden PKR itu tidak mempunyai idea baharu berhubung kaedah untuk menurunkan harga ayam.

“Rafizi tidak ada idea baharu yang original untuk selesaikan masalah tetapi hanya pandai kritik, kutuk dan perlekeh serta tiru idea orang lain sahaja.

“Mungkin sebab itu formulanya semua ke laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi pada Sabtu menyindir cadangan UMNO yang diputuskan semasa mesyuarat MT semalam dengan menyifatkan ia suatu yang melucukan.

“Idea UMNO untuk menangani masalah kenaikan kos makanan dan sara hidup ialah dengan menubuhkan Lembaga Unggas (Ayam) Kebangsaan.

“Selepas ini apabila harga kambing pula naik, UMNO akan menubuhkan Lembaga Kambing Kebangsaan,” katanya.

Rafizi berkata cadangan UMNO hanya akan menambah beban kepada rakyat apabila terpaksa membayar gaji mereka yang dilantik dalam lembaga tersebut dan kemudiaan tidak akan menyelesaikan masalah harga ayam yang naik.

“Akhirnya, tindakan ini hanya menambah bebanan kewangan kepada rakyat yang terus menanggung gaji, elaun dan belanja ahli-ahli politik dari parti-parti mereka yang dilantik untuk menjadi bos-bos kepada lembaga ayam, lembaga kambing dan lain-lain,” katanya lagi.

Sebaliknya, Rafizi mencadangkan supaya mewujudkan stok penimbal (stockpile) serta penstrukturan semula sejumlah kementerian agar pengurusan rantaian bekalan ditangani dengan lebih berkesan tanpa pertindihan kuasa antara kementerian.

Jelasnya, krisis ketika ini tidak begitu berbeza dengan apa yang berlaku pada era 1970-an, ketika berlakunya perang dan konflik geopolitik, inflasi, sekatan bekalan minyak mentah dan kekurangan bekalan bijirin.

“Negara-negara yang lebih bersedia (dari segi dasar kelangsungan makanan, keupayaan kerajaan menyelaraskan kembali bekalan makanan dan kekukuhan kewangan negara) berjaya menangani gangguan sebegini tanpa menyebabkan kesengsaraan rakyat, sedangkan negara-negara yang lemah tadbir urusnya akan menyeksa rakyat (seperti yang berlaku di Sri Lanka sekarang),” katanya.

Isham juga berpandangan Rafizi hanya pandai cakap untuk mendapat perhatian dan untuk retorik politik, namun fakta dan solusinya ke laut dan tindakan itu tidak membantu rakyat.

“Rafizi, kita perlu penyelesaian dasar yang bijak sekarang untuk membantu rakyat, bukan sekadar retorik politik. Bila rakyat lapar, mereka tidak boleh makan retorik politik kamu,”katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-