Wednesday, June 22, 2022

Nur Jazlan kritik Ismail Sabri sebagai PM terlemah UMNO

agendaily.com
22/06/2022

Datuk Nur Jazlan Mohamed mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Lambat dalam membuat keputusan berhubung kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet menyebabkan Datuk Nur Jazlan Mohamed mengkritik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri terlemah pernah UMNO ada.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu berkata Ismail Sabri tidak dapat membuat keputusan dalam pentadbirannya kerana dikekang oleh faktor tertentu, malah tindakan bertangguh dalam membuat keputusan berhubung isu Zuraida mencerminkan kelemahan kerajaan dipimpinnya ketika ini.

“Beliau tidak boleh buat keputusan atau menegaskan kuasanya kerana menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu.

“Hakikat beliau lambat buat keputusan menunjukkan bahawa beliau mungkin sedang berlengah. Sudah lebih dua minggu (Zuraida) meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan beliau masih dalam Jemaah Menteri.

“Tidak pernah seorang Perdana Menteri UMNO selemah ini dalam sejarah negara,” katanya dipetik laporan FMT hari ini.

Senario yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan ketika ini dilihat bercelaru, kata Nur Jazlan lagi.

“Bercelaru dan mencerminkan kedudukannya yang lemah,” katanya.

Nur Jazlan juga tidak menolak Ismail Sabri bimbang sekiranya tiga Ahli Parlimen (MP) yang berada dalam PBM berkemungkinan menarik sokongan sekiranya Zuraida tidak dikekalkan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu.

Pada 26 Mei lalu Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk sertai PBM.

Zuraida menjelaskan langkahnya menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan.

Terdahulu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Ismail Sabri berhak untuk menentukan individu yang akan dilantik bagi menggantikan jawatan yang disandang Zuraida.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata akan bertemu Zuraida bagi membincangkan kedudukannya dalam kerajaan, sementara Muhyiddin juga berkata sudah mempunyai nama calon yang akan menggantikan tempat Zuraida.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-