Monday, June 27, 2022

Tajuddin sedia pertimbang cadangan jadi calon PAS

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Jun 27, 2022

Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman menyatakan kesediaannya untuk bertanding atas tiket PAS dalam PRU akan datang jika dia disingkirkan daripada Umno.

Bagaimanapun kata bekas ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno itu sambil ketawa, dia tidak akan menyertai PAS.

Pilihan lain yang ada, kata Tajuddin, ialah dia bertanding atas tiket bebas yang menyokong Umno.

"Boleh dipertimbangkan... not a bad idea tapi tak adalah saya nak masuk PAS.

"Tapi kalau dia orang (Umno) berkasar saya boleh berkasar tanding bebas, masa 'tsunami' (politik) pun sokongan (saya) naik, tak pernah kalah," katanya dalam sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Semalam, PAS Perak mempelawa Tajuddin untuk mempertahankan kerusinya di Pasir Salak pada PRU ke-15 melalui Perikatan Nasional (PN) berikutan penyingkirannya daripada Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria membayangkan dalam keadaan hubungan Tajuddin dengan pemimpin tertinggi Umno sekarang, dia mungkin digugurkan sebagai calon BN.

Bagaimanapun Razman berkata tawaran itu adalah dengan andaian kerusi Pasir Salak diserahkan kepada PAS bagi mewakili PN.

"Jika sekiranya berlaku PRU15 dan Tajuddin tidak diberi tempat dalam BN, maka PAS Perak sedia menawarkan beliau bertanding atas tiket PN mewakili PAS," kata Razman.

Bagaimanapun mengulas mengenai pelawaan Razman, Naib Presiden PAS Idris Ahmad menegaskan hal berkenaan tidak pernah dibincangkan parti berkenaan.

Kata Idris isu pembahagian kerusi dan calon mestilah mendapat persetujuan PAS Pusat.'

Kata Tajuddin sebagai orang politik yang sudah bergiat dalam Umno selama lebih 50 tahun sudah pasti dia sayang kepada parti berkenaan.

Menurutnya Umno banyak membantu dia sehingga berjaya berada pada kedudukannya hari ini.

Ditanya sama ada kelantangannya bersuara akan mendedahkan dirinya dengan lebih besar kepada kemungkinan dipecat Umno, Tajuddin berkata hal itu tidak menjadi kebimbangannya.

"(Saya) Tak takut kena pecat, saya sudah banyak kali kena pecat," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-