Saturday, June 25, 2022

Tidak wajar pecat-memecat berlaku dalam UMNO, kata Shahidan selepas Tajuddin disingkir

agendaily.com
25/06/2022

Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim kesal dengan budaya pecat memecat dalam UMNO.

Budaya tindakan pecat-memecat dalam UMNO tidak sepatutnya berlaku, kata Datuk Seri Shahidan Kassim selepas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman disingkir sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu agak kesal dengan budaya terbaharu yang sedang melanda parti itu apabila pemimpin yang mempunyai perbezaan pendapat dihukum dengan tindakan sedemikian tanpa dipanggil untuk memberi penjelasan.

“Tetapi kalau boleh, saya percaya kepada Presiden UMNO. Beliau juga akan meninggalkan sebuah legasi kerja yang menyatupadukan ummah.

“Bagi saya tidak wajar berlaku (pemecatan) di dalam UMNO. Saya sebagai orang yang pernah diberhentikan (Pengerusi UMNO Perlis) pada waktu dahulu, saya masih melihat ada ruang dan peluang untuk menyatupadukan ummah,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Shahidan terdahulu merasmikan kempen Self Defense Awareness (Sedar)@Jihad Dadah di Wangsa Walk Mall hari ini.

Menurut Shahidan, beliau melihat UMNO sebagai peneraju parti politik kepada perpaduan ummah yang akan mengetuai gabungan terbesar Melayu Islam di negara ini.

“Kalau boleh saya mahukan kepada penyatuan ummah. Apabila Melayu dan Islam itu bersatu, orang bukan Melayu dan Islam akan seronok nak sokong kita,” katanya lagi.

Menurut beliau, jalan yang paling penting adalah perpaduan dan tidak pernah perpecahan boleh menubuhkan empayar kerana tidak bertahan lama.

“Pemerintahan yang kukuh diasaskan kepada perpaduan dan kebudayaan seperti Tamadun Islam, Tamadun Cina dan India bertahan lama kerana diasaskan berdasarkan ilmu serta budaya,” katanya.

Tajuddin digugurkan daripada MT UMNO pada Khamis lalu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengguguran Tajuddin disebabkan tindak-tanduk beliau ketika mengkritik parti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-