Showing posts with label Tajuddin Abdul Rahman. Show all posts
Showing posts with label Tajuddin Abdul Rahman. Show all posts

Tuesday, August 29, 2023

Sampai bila UMNO hanya mahu jadi penumpang kuasa: Tajuddin

agendaily.com
29/08/2023
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kecewa melihat keadaan UMNO sekarang yang terpaksa menumpang dengan parti lain hanya semata-mata mahu berkuasa dan semakin hilang pengaruh di kalangan orang Melayu.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata orang Melayu khususnya pasti kecewa melihat keadaan yang sedang dihadapi UMNO sekarang ini apabila sekadar menjadi penumpang dan kuasa tidak berada ditangan parti itu lagi.

“Kita kembali kepada keadaan seperti 2018 (kejatuhan UMNO pada PRU-14). Ramai orang kita (Melayu) tak kira UMNO atau PAS tak sedih. Ini bukan soal politik sahaja, ini soal perjuangan untuk bangsa.

“UMNO cuma tumpang kuasa (dalam kerajaan campuran), saya bimbanglah apa yang kita boleh buat dengan menumpang. Kuasa tidak di tangan kita sebaliknya di tangan orang,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Tajuddin berkata demikian semasa mengadakan sidang akhbar di kediamannya hari ini.

Tegasnya, PAS dan UMNO perlu mencari jalan ‘menang-menang’ untuk kembali bermuafakat seperti yang pernah diwujudkan dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini yang pada akhirnya terkubur disebabkan pimpinan masing-masing membawa haluan berbeza.

“Saya nak minta sebelum pilihan raya (PRU-16) UMNO bangkit semula, Melayu bangkit semula dan berdiri di atas kaki sendiri. Bekerjasama dengan PAS seperti dulu.

“Orang PAS pun jangan berlagak sangat, menang banyak kerusi bukan main gah lagi. Orang UMNO, Pas jangan berlagak sesama sendiri, kalau mahu tunjuk hebat, tunjuk pada orang lain,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, UMNO tidak boleh menumpang kuasa dengan gabungan lain selamanya sebaliknya perlu mengumpulkan kekuatan dan kembali menjadi dominan dalam kerajaan.

“Takkan kita hendak begini selamanya, UMNO jadi parti kecil dalam komponen Kerajaan Perpaduan. Kita mahu UMNO kembali gagah. Harapannya satu hari nanti ia akan kembali dominan dalam kerajaan,” katanya lagi.

Pada PRU-15, UMNO yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang 26 kerusi, manakala empat kerusi lagi dimenangi wakil MCA dan MIC.

Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi 79 kerusi Parlimen pada PRU-15, daripada jumlah itu, PAS memenangi kerusi paling banyak iaitu, 49 kerusi manakala 30 lagi adalah milik Bersatu.

Friday, July 21, 2023

Tajuddin tak mahu rayu lagi, enggan kempen untuk Umno pada PRN

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad 
21 Jul 2023

Tajuddin telah mengemukakan rayuan sebanyak empat kali bagaimanapun tidak dibalas, sambil menambah sudah tidak mahu merayu lagi.
Sebelum ini, Tajuddin Abdul Rahman menggesa Presiden Umno Zahid Hamidi menarik balik penggantungan keahliannya agar beliau boleh menggempur pesaing Umno.

PETALING JAYA: Ahli politik veteran, Tajuddin Abdul Rahman enggan berkempen untuk Umno pada PRN Ogos depan kerana parti berkenaan tidak memberi maklum balas berkenaan rayuan menarik balik penggantungan keahliannya.

Tajuddin berkata, beliau mengemukakan rayuan sebanyak empat kali namun tidak dibalas, sambil menambah sudah tidak mahu merayu lagi.

“Itulah saya cakap bagi balik lah keris saya itu – keahlian saya itu. Penggantungan keahlian saya itu kenapa tak ada respon? Kalau nak suruh saya kempen, tapi penggantungan saya itu lepaskan lah,” katannya kepada FMT.

“Macam mana nak buat kerja? Nak tolong (kempen) kalau saya pun ‘diikat’, kaki saya ‘diikat’, tangan saya ‘diikat’, nak buat apa?”

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaannya berkempen pada PRN bulan depan, termasuk status rayuan terhadap penggantungan keahlian enam tahun.

Sebelum ini, Tajuddin menggesa Presiden Umno Zahid Hamidi menarik balik penggantungan keahliannya agar beliau boleh menggempur pesaing Umno.

“Saya dalam Umno 50 tahun, daripada jadi ketua pemuda pada usia 25 tahun. Mereka buat saya macam ini apa salah saya? Takkan tak boleh mengkritik, bagi pandangan, bagi nasihat, takkan tak boleh ditegur? Nak jadi apa parti kalau tak boleh ditegur?” katanya.

Tajuddin bagaimanapun tidak kecewa dengan Umno, sebaliknya yang bersalah adalah pemimpin yang mengendalikan parti berkenaan.

“Nampak pemimpin ini tak ada kepentingan parti, lebih kepentingan peribadi. Nak kedudukan, pangkat, tak fikirkan parti. Mereka tahu parti dalam keadaan lemah pun mereka tak kisah, mereka rasa yakin sahaja, macam sebelum PRU15.

“Jadi kerajaan menumpang pun rasa hebat lagi, apa benda ni? Di mana maruah Umno,” katanya.

Tajuddin turut menolak untuk menyertai parti lain ketika ini.

Friday, June 9, 2023

Tajuddin dakwa Umno dapat padah nasihat Ahmad Maslan

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar, Faiz Zainudin dan Yasmin Latiff
 - 09 Jun 2023

Bekas pengarah pilihan raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman, mendakwa Ahmad Maslan semasa menjadi setiausaha agung Umno tidak mengendahkan pandangan akar umbi.
Bekas pengarah pilihan raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman, berkata akar umbi tidak mahu calon pilihan pimpinan parti, menjelang PRU15.

KUALA LUMPUR: Tajuddin Abdul Rahman muncul di tepian Perhimpunan Agung Umno 2023 petang ini, dengan dakwaan bahawa pengaruh Umno merosot hari ini lantaran padah nasihat Ahmad Maslan, ketika menjadi setiausaha agung.

Ketika dikelilingi pemberita, beliau yang digantung keahlian selama enam tahun itu mendakwa Ahmad menjelang PRU15 tidak mengendahkan pandangan akar umbi berhubung calon pilihan raya.

“Dia tidak menjadi penasihat yang betul kepada presiden,” kata Tajuddin, yang menambah ramai dalam kalangan akar umbi tidak mahu calon pilihan pimpinan parti.

“Mereka dah bagi tahu parti, tapi Ahmad tak nak dengar. Mereka nak calon tempatan tapi parti tetap hantar calon luar. Jadi berlaku pemberontakan dari akar umbi. Mereka pilih calon lawan sebagai protes. Siapa yang rugi?”

Bekas pengarah pilihan raya Umno itu kemudian berkata beliau pernah membangkitkan isu ini.

“Sebelum ni saya tegaskan dengar akar umbi, jangan dengar orang keliling yang mengampu.

“Tengok apa yang berlaku sekarang.”

Kehadiran Tajuddin di persidangan tahun ini mencetuskan kejutan, walaupun rayuan keahliannya masih menjadi tanda tanya. Keahliannya digantung enam tahun pada Oktober tahun lalu, sebelum PRU15 pada November.

Umno merekodkan kekalahan terburuknya pada PRU15 apabila hanya menang 26 kerusi.

Wednesday, March 22, 2023

BN-PH semakin serasi? Tunggu PRN nanti, kata Tajuddin

freemalaysiatoday
FMT Reporters 
22 Mar 2023, 8:00am

Tajuddin Abdul Rahman percaya PH tidak akan mudah beri laluan kepada BN terutama di kerusi mudah menang.
Tajuddin Abdul Rahman berkata apa yang penting untuk Umno ketika ini ialah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti itu dan mengelakkan kemerosotan kepercayaan.

PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman sangsi dengan keyakinan pemimpin partinya yang mendakwa kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) boleh menjamin kelangsungan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada FMT, bekas pengarah pilihan raya Umno itu tidak yakin PH yang menjadi rakan BN dalam kerajaan perpaduan akan mudah memberi laluan terutama di kerusi mudah menang.

“Mustahil mereka boleh kata ‘Umno ambillah kerusi ini, kami tak bertanding’ padahal itu kerusi DAP punya,” katanya, yang secara sinis berkata keserasian PH dan BN akan boleh dilihat pada PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang dipetik sebagai berkata terdapat keserasian antara PH dan BN di peringkat pusat, dan beliau meminta kerjasama itu diterjemahkan di peringkat DUN menjelang pilihan raya.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu melihat kerjasama dengan PH lebih kepada memberikan jawatan dalam Jemaah Menteri kepada pemimpin tertentu, bukan menjamin kelangsungan dan kemenangan Umno pada masa depan.

“Saya rasa itu tanggapan salah sama sekali (PH beri kerusi kepada Umno-BN). Ingat PKR nak bagi kita percuma (kerusi boleh menang)?” katanya yang mendakwa PH mungkin hanya mampu menyokong Umno dari segi perbelanjaan pilihan raya.

Pada 28 Dis lalu, Zahid dilaporkan berkata mereka memilih bekerjasama dengan PH kerana ia akan menjamin kelangsungan politik parti itu.

Beliau menjelaskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) akan membawa lebih banyak mudarat untuk jangka panjang memandangkan kedua-duanya bersaing di kerusi sama.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata perkara paling mustahak perlu dilakukan Umno kini adalah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti itu dan mengelakkan kemerosotan kepercayaan seperti dialami ketika dipimpin Najib Razak.

“Rakyat tidak percaya sedangkan banyak pembangunan kita bawa, tetapi pembangunan saja tidak cukup.

“Dalam PRU keyakinan rakyat kepada kita menentukan kemenangan, ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit atau projek,” katanya.

Tuesday, March 21, 2023

Tajuddin tolak PAS dan Bersatu, masih harap Umno terima rayuan penggantungan

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar - 21 Mar 2023

Bekas ahli MKT itu berkata dalam rayuannya beliau telah memohon maaf di atas kelantangan mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Tajuddin Abdul Rahman berkata beliau masih berharap agar penggantungan keahliannya selama enam tahun ditarik balik oleh Umno selepas rayuannya ditolak pada 5 Jan lalu.

PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman mengakui ditawarkan menyertai Bersatu dan PAS namun menolaknya kerana masih “menaruh harapan” penggantungan keahliannya selama enam tahun ditarik balik parti.

Digantung sejak Oktober, Tajuddin berkata dalam rayuannya beliau telah memohon maaf di atas kelantangan mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan tidak mahu meneruskan persengketaan kerana masih setia dengan Umno yang banyak berjasa kepadanya.

Katanya, kerana sayangkan Umno, beliau sanggup menolak tawaran daripada beberapa parti pada PRU15 selepas namanya digugurkan daripada mempertahankan Parlimen Pasir Salak, yang akhirnya dirampas Perikatan Nasional (PN) menerusi calonnya Jamaludin Yahya.

“Saya tolak kerana sayangkan parti…presiden pun kata begitu, jadi mari bekerjasama dan jangan sensitif sangat,” katanya kepada FMT.

“Orang lain yang tidak bercakap (kritik), (hanya) “yes sir yes sir” mereka tidak membantu pun presiden sebenarnya tetapi menjatuhkannya apabila kalah PRU, akhirnya siapa yang rugi?,” kata Tajuddin yang pernah menjadi ahli MKT Umno selama 15 tahun dan 18 tahun sebagai ketua Umno Pasir Salak.

Tajuddin berkata beliau tidak melihat dirinya bersama parti selain Umno walaupun melalui pelbagai liku dan kecaman beberapa tahun kebelakangan ini, – digantung keahlian, dipecat MKT, dikritik hebat dalam isu kemalangan dua tren transit aliran ringan (LRT) pada 2021 dan pengguguran pelantikan sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia.

“Apa faedah gantung saya?,” sambil menegaskan beliau telah memberi banyak sumbangan kepada Umno.

“Saya tak keluar dari Umno walaupun mempunyai banyak pilihan, nak masuk PAS ke atau Bersatu. Tawaran pun mereka bagi kepada saya.”

Baru-baru ini bertiup khabar angin di media sosial mendakwa beberapa bekas pemimpin utama Umno bakal menyertai PAS, antaranya Annuar Musa, Tajuddin dan Khairy Jamaluddin.

Tajuddin, ahli politik kontroversi digantung keahlian selama enam tahun pada Oktober lalu selepas beliau secara terbuka mengkritik Umno berikutan penyingkirannya sebagai ahli MKT pada Jun 2022.

Beliau juga menggesa Zahid meletakkan jawatan selepas penyingkirannya. Namun rayuannya ditolak MKT pada 5 Jan lalu.

Pada pemilihan Umno baru-baru ini, anaknya, Faizal, gagal menyambung legasi Tajuddin dalam parti itu apabila tewas di tangan Khairul Azwan Harun bagi jawatan ketua Umno Pasir Salak.

Saturday, March 18, 2023

Sombong, kata Tajuddin selepas dihalang masuk lokasi pemilihan

agendaily.com
18/03/2023
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dihalang memasuki lokasi pemilihan UMNO Bahagian Pasir Salak, di Dewan FELCRA Seberang Perak, Pasir Salak, hari ini (18 Mac 2023).

“Sombong… mantan Ketua Bahagian pun dihalang masuk. Ini tak pernah berlaku.”

Itu ungkapan yang terbit daripada bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dihalang memasuki lokasi pemilihan UMNO Bahagian Pasir Salak, di Dewan FELCRA Seberang Perak, Pasir Salak, hari ini (18 Mac 2023).

Difahamkan, Tajuddin yang hadir jam 9.50 pagi dihalang masuk oleh petugas keselamatan atas faktor keahliannya yang digantung parti sejak September lalu.

Beliau yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak akur dan kemudiannya menunggu di dalam keretanya di luar kawasan dewan seperti diarahkan petugas.

Sementara itu, Tajuddin ketika dihubungi berkata bahawa beliau menyayangi UMNO dan setia selama 50 tahun dalam parti itu.

Ditanya mengenai insiden dihalang masuk pagi tadi, Tajuddin menyifatkan tindakan tersebut tidak menghormati dirinya.

“Sombong… mantan Ketua Bahagian pun dihalang masuk. Ini tak pernah berlaku,” katanya menurut HM.

Pada pemilihan kali ini, anak sulungnya, Dr Faizal Tajuddin bertanding bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian yang juga ditandingi Pemangku Ketua UMNO Bahagian, Khairul Azwan Harun.

Terdahulu, anak perempuan Tajuddin, Datin Sri Rahayu Tajuddin memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak apabila berjaya menewaskan penyandang, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin yang juga Ketua Wanita UMNO Perak.

Monday, February 13, 2023

Zahid terpengaruh, dengar orang yang suka ‘cucuk’ - Tajuddin

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 13, 2023 9:30 AM
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tajuddin Abdul Rahman berpandangan penggantungannya selama enam tahun oleh parti adalah kerana tindakan oleh mereka yang berkepentingan.

Sambil mengakui dia mempunyai kesilapan, katanya, dia telah memohon maaf dan mahu terus kekal bersama Umno.

“Saya takkan tinggalkan Umno, Umno sudah banyak jasa pada saya. Walaupun saya telah digantung (enam tahun oleh) Umno, saya tetap bersama dengan Umno untuk dapatkan kedudukan sebagai ahli yang tidak digantung.

“Saya akan cari jalan supaya saya kembali menjadi ahli Umno yang aktif. Jangankan enam tahun, enam bulan pun saya takkan tunggu (daripada dibiarkan digantung keahlian).

“Tetapi mungkin pada waktu itu, tindakan saya agak keras sikit. Untuk setakat ini, saya akan tunggu sampai pemilihan,” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia, hari ini.

Dalam wawancara itu, bekas ahli Parlimen Pasir Salak tersebut menjelaskan bahawa terdapat pemimpin Umno lain yang sudah digantung mahupun dipecat yang mengajaknya bersama untuk mengatur strategi lain, tetapi dia tidak berjumpa dengan mereka.

Tegasnya, dia akan kekal bersama dengan Umno.

“Saya akan fight (lawan) dengan apa cara sekalipun supaya keputusan penggantungan itu ditarik balik, supaya saya dapat menjadi ahli aktif seperti biasa,” katanya.

Tajuddin berkata, dia sudah menghantar surat penolakan keputusan penggantungan yang dibuat MKT Umno pada 12 Januari lalu dan menjelaskan yang keputusan itu tidak mengikut peraturan, ada kecacatan dan melanggar peraturan.

“Saya kalau boleh nak selesaikan dengan cara baik. Saya sudah buat salah, saya pun sudah minta maaf.

“Paling kuat salah saya adalah tegur Presiden. Salahkah? Tidak salah, cuma teguran itu dikatakan salah sebab dibuat di luar mesyuarat MKT, bukan dalam mesyuarat MT, “ katanya.

Ditanya jika dia ada memohon maaf, kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengenai kesilapannya itu, Tajuddin menjelaskan dia telah berbuat demikian.
“ Saya pergi ke Bagan Datuk dan salam dengan beliau. Waktu itu saya masih ketua bahagian. Pada saya, saya ada salah, dia pun ada salah, tetapi kita tidak mahu berlanjutan.

“Masalahnya mungkin presiden terpengaruh dan mendengar orang yang suka ‘mencucuk.’

“Siapa yang ‘cucuk’, biasanya ada kepentingan diri, mungkin di peringkat bahagian atau di peringkat nasional,” katanya.

Sunday, December 25, 2022

UMNO tetap tak percaya DAP walau sudah ‘berkahwin’, kata Tajuddin

agendaily.com
25/12/2022
Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengingatkan ahli UMNO supaya berhati-hati dengan jarum halus DAP, walaupun kini telah menjadi rakan kongsi.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman masih tidak percaya kepada DAP, walaupun kedua-dua parti itu sudah bekerjasama membentuk kerajaan PH-BN pada peringkat Persekutuan.

Malah, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu juga mengingatkan ahli-ahli parti supaya berhati-hati dengan tindak tanduk DAP, khususnya apabila menggunakan jarum halus mereka.

“Sebagai pemimpin, hanya sebagai Ketua Bahagian, saya memperingatkan supaya hati-hati dengan DAP. Saya bukan marah DAP sebab mereka Cina dan sebagainya. Tetapi sebab polisi dan dasarnya yang bertentangan dengan kita. Itu yang menjadi masalahnya.

“Hati-hati dengan jarum halus mereka, dulu mungkin sekarang mereka tidak tunjuk belang lagi. Dahulu selepas PRU-14, mereka dah tunjuk belang, dan mereka dah buat silap.

“Tetapi jangan ambil mudah kerana bagi saya, mereka (DAP) tetap dengan perjuangan mereka,” kata Tajuddin yang digugurkan daripada mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, dalam temu bual eksklusif bersama Sinar yang disiarkan hari ini (25 Disember 2022).

Akibat menggugurkan Tajuddin selain kebangkitan gelombang rakyat menolak UMNO dan BN, kerusi Parlimen Pasir Salak dirampas Perikatan Nasional yang meletakkan Ustaz Jamaludin Yahya.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata DAP kini sudah menerima UMNO selepas berada bersama-sama dalam kerajaan campuran PH-BN.

Menurut Zahid sejak berada dalam kerajaan bersama dan mula mengenali satu sama lain, kini DAP sudah menerima UMNO sebagai rakan baik dan tidak lagi bermusuhan seperti dahulu.

Sebab itu, Tajuddin berkata beliau percaya bahawa UMNO keseluruhannya, termasuk yang tidak duduk di dalam kerajaan, sentiasa mengawasi dan memerhati, sekiranya DAP melebih-lebih.

Beliau memberi amaran sekiranya tindakan DAP tidak terkawal, UMNO tidak teragak-agak mendesak supaya BN keluar daripada kerajaan.

“Saya rasa pimpinan di atas pun sedar bahawa mereka kena kawal tindak-tanduk DAP,” katanya.

Mengulas perjuangan baharu UMNO yang dulunya bermusuh dengan PKR dan DAP tetapi sekarang menjadi rakan baik, selain laungan ‘NO Anwar, NO DAP’, Tajuddin bagaimanapun menjelaskan dalam politik tidak ada yang kekal, malah orang yang berbaik boleh berpecah, manakala seteru pula boleh menjadi kawan.

“Memang sebelum pilihan raya ini ‘No Anwar, No DAP’ sebab kita ingat UMNO ini dominan. Kita rasa UMNO ini boleh, tetapi keputusannya menunjukkan kita (sebaliknya), dapat 30 kerusi apa boleh buat.

“Ada yang kata elok masuk kerajaan, boleh dapat jawatan timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan sebagainya. Boleh juga bantu UMNO dan rakyat. Tetapi ada yang kata kita jadi pembangkang akan lebih bermaruah.

“Ini dua pandangan dan pucuk pimpinan memilih yang nombor satu tadi. Jadi itu hak pucuk kepimpinan yang buat keputusan. Kita sebagai pengikut boleh beri pandangan sahaja, boleh tegur. Pandangan saya lagi keras, tetapi apa nak buat, saya tidak ada kuasa,” katanya lagi.

Selain itu, Tajuddin juga berkata UMNO belum mati dan usaha memperbetulkan kesilapan dan kesalahan yang menyebabkan ahli berpaling tadah mengundi parti lain pada PRU-15 lalu, akan dilakukan.

Friday, November 4, 2022

Ibarat ‘kahwin diatur’, kata Tajuddin selepas digugur calon

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 4, 2022 7:30 PM
Penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman (tiga dari kiri) berkata beliau berterima kasih kepada Umno kerana memberinya banyak peluang sebelum ini. 
(Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang digugurkan sebagai calon dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) membandingkan situasi dihadapinya ibarat “perkahwinan yang diatur”.

Tajuddin yang menyandang kerusi itu selama tiga penggal berkata, walaupun beliau tidak gembira tetapi ia sesuatu yang perlu diterimanya, lapor Sin Chew.

“Ia seperti perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga. Anda mungkin tidak gembira tetapi apa boleh buat?

“Kita mesti taat pada ibu bapa. Kita juga taat pada parti dan menerima keputusan parti,” katanya dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, Tajuddin berkata, beliau kecewa kerana Umno Bahagian Pasir Salak tidak diendahkan.

Bahagian itu mencadangkan beberapa nama sebagai calon termasuk Tajuddin sendiri untuk kerusi DUN dan Parlimen.

Namun, hanya satu nama diterima iaitu, Wan Norashikin Wan Noordin untuk kerusi DUN Kampung Gajah. Norashikin adalah ketua Wanita bahagian itu.

Beliau turut menolak akan mempertahankan kerusi itu atas tiket parti lain seperti beberapa pemimpin BN yang lain selepas digugurkan.

Penyandang kerusi Parlimen Arau, Shahidan Kassim akan mempertahankan kerusi itu atas tiket Perikatan Nasional selepas namanya digugurkan.

Tajuddin berkata, semua ada alasan sendiri untuk berbuat demikian. Sama juga, beliau juga ada alasan sendiri untuk terus kekal setia kepada Umno.

“Saya menjadi ahli Umno selama 50 tahun. Saya diberi banyak peluang dan bersyukur dengan semua itu,” katanya.

Wednesday, November 2, 2022

'Terima kasih Zahid kerana hancurkan perpaduan Umno Pasir Salak'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 2, 2022 9:33 AM
PRU15 | Beberapa ahli Umno bahagian Pasir Salak mengecam keputusan menggugurkan Tajuddin Abdul Rahman sebagai calon parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperti yang diumumkan malam tadi.

Mereka secara terbuka menolak pencalonan Khairul Azwan Harun dan menyindir keputusan itu dengan mengucapkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi kerana didakwa menyebabkan perpecahan Umno Pasir Salak.

Naib Ketua Umno Pasir Salak, Dr Faizal Tajuddin, yang juga anak Tajuddin mendakwa cadangan meletakkan bapanya sebagai calon untuk penggal keempat telah ditolak presiden Umno.

Katanya, keputusan itu dibuat walaupun mereka telah mendapatkan hampir tiga ribu tandatangan daripada ahli akar umbi bagi memohon sokongan kepada penyandang ahli parimen berkenaan.

Petisyen itu yang dilihat oleh Malaysiakini, ditujukan kepada Zahid; Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dan Mahdzir Khalid dan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad.

“Kami mengumpul (tandatangan) dalam masa 24 jam. Kalau kami ada lebih banyak masa, kami boleh mengumpulkan semua tandatangan daripada ahli.

"Tetapi masih lagi nama Tajuddin ditolak sebagai (calon) ahli parlimen. Sekali lagi, terima kasih presiden,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur selepas pengumuman calon BN malam tadi.

Kumpulan itu juga mengangkat sepanduk bertulis “Terima kasih presiden kerana hancur perpaduan Umno Pasir Salak”.

"Tidakkah mustahil untuk mengatakan bahawa mengumuman sebentar tadi, apa yang akan berlaku adalah perpecahan dalam sekelip mata Umno bahagian Pasir Salak.

"Jadi adakah top 5 atau presiden faham bahawa ini boleh berlaku?" soalnya.

Faizal berkata Tajuddin merupakan satu-satunya calon yang dicadangkan kepada pemimpin parti bagi mewakili Pasir Salak, manakala Khairul yang lebih dikenali sebagai Azwan Bro dicadangkan untuk kerusi Sungai Manik.

Selain mempersoalkan strategi parti, Faizal juga membidas Khairul kerana menerima pencalonan bagi kerusi parlimen berkenaan, dengan mendakwa jika Khairul adalah "pemain pasukan" dia akan menghormati keputusan bahagian.

Faizal bagaimanapun mengakui bapanya tidak digemari di kalangan rakan-rakannya, dengan mendakwa sekiranya Tajuddin tidak lantang dalam isu-isu tertentu dia akan kekal sebagai ahli majlis tertinggi Umno dan calon BN di Pasir Salak.

Bagaimanapun, bagi Faizal, isu peribadi tidak seharusnya menghalang Tajuddin untuk dicalonkan semula memandangkan pengorbanan dan pencapaian yang telah dilakukan penyandang ahli parlimen itu.

“Kami tidak dapat menggambarkan betapa kecewa dan kesalnya kami semua. Ia masih belum dapat dilihat sama ada pertukaran pencalonan akan memberi kesan besar kepada Pasir Salak.

“Kita akan lihat sama ada keputusan itu merupakan keputusan yang baik atau merugikan parti,” katanya.

Tajuddin sebelum ini beberapa kali secara terbuka menentang Zahid termasuk menggelar Zahid sebagai liabiliti terhadap Umno dan menunjukkan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Tuesday, October 18, 2022

Di sebalik penggantungan, Tajuddin hadir acara Zahid di Bagan Datuk

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 18, 2022 12:14 PM
Di sebalik penggantungan, anggota parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman hadir acara perdana BN melibatkan presiden Umno dan perdana menteri sementara di Bagan Datuk, Perak semalam.

Dia malah bersalam dan beramah mesra dengan pemimpin nombor satu Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan penggantungan keanggotaannya selama enam tahun pada awal bulan ini.

Zahid sebelum ini mengumumkan tindakan keras Umno terhadap beberapa pemimpinnya.

Media melaporkan Tajuddin dan Ketua Umno Bahagian Alor Setar Mohd Yusof Ismail digantung keanggotaan parti selama enam tahun manakala Zaharin Mohd Yasin dipecat.

Katanya, keputusan itu dibuat terdapat “anasir dalaman” yang berusaha memburuk-burukkan institusi kepimpinan parti dan memecah-belahkan parti.

Friday, September 23, 2022

Ahli UMNO Pasir Salak seratus peratus sokong saya kekal calon: Tajuddin

agendaily.com
23/09/2022
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa ahli-ahli UMNO diperingkat akar umbi menyokongnya seratus peratus untuk kekal dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen, Pasir Salak.

Tajuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak berkata tidak mahu mengangkat bakul diri sendiri tetapi sokongan seratus peratus ahli UMNO terhadapnya adalah fakta kerana akar umbi masih menyokongnya untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Pasir salak seratus peratus sokong saya sebagai ahli parlimen dan jawatankuasa bahagian mencalonkan nama saya di mana cawangan-cawangan juga menyokong dengan majoriti besar masih sokong saya menjadi ahli parlimen.

“Saya tidak mahu dikatakan masuk bakul angkat sendiri tetapi anda boleh menilai dengan fakta di mana kelemahan saya sebagai ketua bahagian selama ini,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Menurut Tajuddin, beliau sentiasa bekerja keras dalam membantu UMNO mengukuhkan penguasaan di Pasir Salak walaupun digugurkan daripada Majlis Tertinggi (MT) dan juga Pengarah Pilihan Raya kerana kelantangannya mengkritik pemimpin atasan parti.

“Gugur tidak ada masalah, saya vokal sangat dan tidak disenangi dan digugurkan tetapi tiada masalah saya tidak kecewa dan saya masih dengan UMNO kerja keras jaga bahagian saya.

“Jangan lupa semak rekod saya 50 tahun dalam UMNO kerana tidak ramai tahu rekod karier politik saya dan kalau tahu anda akan punya persepsi berbeza.

“Pimpinan saya sebagai ketua bahagian solid tidak berpecah dan ada anda dengar kami berpecah? Tiada sebab, kami bersatu dan untuk pengetahuan semua pencalonan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah dan Sungai Manik 100 peratus tiada pertikaian,” katanya lagi.

Tajuddin turut mengesahkan Ketua Wanita UMNO Negeri Perak, Datuk Dr. Wan Noorashikin Wan Nordin dicalonkan UMNO bahagian untuk kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah pada PRU -15.

Katanya, Timbalan Ketua UMNO bahagian, Khairul Azwan Harun juga turut dicalonkan oleh UMNO bahagian untuk bertanding di kerusi DUN Sungai Manik.

“Bahagian mahu Dr. Wan sebagai calon Kampung Gajah kerana dia menjalankan kerja yang bagus, rakyat terima dia kenapa nak ganti dia sebab kita bertanding nak menang.

“Timbalan saya Azwan Bro (Khairul Azwan) juga dicalonkan di Sungai Manik dan tidak ada pertikaian saya sudah tanya semua cawangan dalam perjumpaan dan mereka semua setuju,” katanya. –

Saturday, June 25, 2022

Tidak wajar pecat-memecat berlaku dalam UMNO, kata Shahidan selepas Tajuddin disingkir

agendaily.com
25/06/2022

Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim kesal dengan budaya pecat memecat dalam UMNO.

Budaya tindakan pecat-memecat dalam UMNO tidak sepatutnya berlaku, kata Datuk Seri Shahidan Kassim selepas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman disingkir sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu agak kesal dengan budaya terbaharu yang sedang melanda parti itu apabila pemimpin yang mempunyai perbezaan pendapat dihukum dengan tindakan sedemikian tanpa dipanggil untuk memberi penjelasan.

“Tetapi kalau boleh, saya percaya kepada Presiden UMNO. Beliau juga akan meninggalkan sebuah legasi kerja yang menyatupadukan ummah.

“Bagi saya tidak wajar berlaku (pemecatan) di dalam UMNO. Saya sebagai orang yang pernah diberhentikan (Pengerusi UMNO Perlis) pada waktu dahulu, saya masih melihat ada ruang dan peluang untuk menyatupadukan ummah,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Shahidan terdahulu merasmikan kempen Self Defense Awareness (Sedar)@Jihad Dadah di Wangsa Walk Mall hari ini.

Menurut Shahidan, beliau melihat UMNO sebagai peneraju parti politik kepada perpaduan ummah yang akan mengetuai gabungan terbesar Melayu Islam di negara ini.

“Kalau boleh saya mahukan kepada penyatuan ummah. Apabila Melayu dan Islam itu bersatu, orang bukan Melayu dan Islam akan seronok nak sokong kita,” katanya lagi.

Menurut beliau, jalan yang paling penting adalah perpaduan dan tidak pernah perpecahan boleh menubuhkan empayar kerana tidak bertahan lama.

“Pemerintahan yang kukuh diasaskan kepada perpaduan dan kebudayaan seperti Tamadun Islam, Tamadun Cina dan India bertahan lama kerana diasaskan berdasarkan ilmu serta budaya,” katanya.

Tajuddin digugurkan daripada MT UMNO pada Khamis lalu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengguguran Tajuddin disebabkan tindak-tanduk beliau ketika mengkritik parti.

Saturday, May 21, 2022

Tajuddin: Saya dilayan solah-olah orang tepi jalan

malaysiakini.com

Diterbitkan: May 21, 2022 1:53 PM
Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan kritikan terhadapnya berhubung pelantikannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia sebagai tidak adil.

Oleh itu katanya, dia tidak mahu mengulas kritikan orang ramai terhadapnya dan mengambil pendekatan berdiam diri buat masa ini.

Namun, tegas Tajuddin dia bukanlah 'orang tepi jalan' yang perlu dilayan sedemikian rupa.

“Saya tidak mahu buat kenyataan menceceh sana sini dan cuma urut dada membaca macam-macam yang orang tulis. Sebahagiannya tidak adil kepada saya.

"Mereka tidak kenal saya, cuma tahu saya orang tua sedangkan saya sudah berkhidmat dengan kerajaan, negara dan rakyat lebih 45 tahun lalu sejak berusia 25 tahun lagi. Tetapi saya dilayan seolah-olah seperti saya ‘orang tepi jalan’," katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Pada 18 Mei lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang baru telah mendapat persetujuan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi).

Ismail Sabri berkata dia difahamkan Tajuddin telah mendapat surat daripada Presiden Indonesia yang bersetuju dengan pelantikan itu.

“Kita telah setuju lantik (Tajuddin sebagai duta) dan Indonesia juga setuju," kata Ismail Sabri.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata dia akan bersuara apabila tiba masanya nanti.

“Sebab itu saya nak diam saja dan bercakap apabila sampai masanya,” katanya lagi.

Tajuddin berkata, dia dijangka berangkat ke Indonesia untuk memulakan tugasan baru itu pada minggu depan.

Ditanya adakah dia akan melembutkan nada komunikasinya sebaik saja berkhidmat di Indonesia, Tajuddin menegaskan isu berkenaan bukan perkara penting.

Sebaliknya yang utama ialah keikhlasan dan komitmen terhadap kerja.

"Saya nak turunkan nada dari segi apa? Seorang pejuang tidak sesekali akan menurunkan nada,” katanya lagi.

Wednesday, May 18, 2022

Dilantik jadi duta, adakah Tajuddin akan lepas jawatan ahli Parlimen, soal Maria

freemalaysiatoday.com
Reshna Reem Ganesan and Sean Augustin
-May 18, 2022 8:30 AM
Maria Chin Abdullah berkata, Tajuddin Abdul Rahman tidak memandang jauh jika tidak memikirkan pengundinya, terutama memandangkan peruntukan diterimanya daripada kerajaan.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen PKR mempersoalkan sama ada duta besar ke Indonesia yang baharu, Tajuddin Abdul Rahman akan melepaskan jawatannya sebagai ahli Parlimen Pasir Salak.

“Saya rasa beliau (Tajuddin) perlu menjelaskan keputusan kepada pengundinya dan negara, sama ada akan melepaskan jawatan sebagai ahli Parlimen untuk menggalas tugas itu. Ini perbuatan tidak bertanggungjawab,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Tambahnya, Tajuddin tidak memandang jauh jika tidak memikirkan pengundinya, terutama memandangkan peruntukan diterimanya daripada kerajaan.

“Beliau wajib melaksanakan tanggungjawabnya dan mengutamakan keperluan rakyat. Beliau tidak boleh sekadar lepas tangan,” katanya kepada FMT.

Noor Farida Mohd Ariffin daripada kumpulan G25 turut berkongsi sentimen serupa dan tertanya-tanya sama ada kerajaan memikirkan secara mendalam sebelum mencalonkan Tajuddin sebagai duta besar kepada kerajaan Indonesia.

“Apabila dilantik sebagai duta. beliau akan tinggal di luar Malaysia, seterusnya menyebabkan kawasannya tiada ahli Parlimen untuk mewakili kepentingan mereka di Parlimen,” kata Farida, yang juga bekas duta besar ke Belanda.

Beliau memberi sebagai contoh Ahli Parlimen Rompin Allahyarham Jamaluddin Jarjis dan bekas ahli Parlimen Ranau Bernard Dompok yang gagal melaksanakan tugas masing-masing selepas dilantik menjadi duta ke Amerika Syarikat dan Vatican City.

Tajuddin semalam mengesahkan beliau dilantik sebagai duta besar ke Indonesia yang baharu, mengisi jawatan yang dibiarkan kosong sejak Zainal Abidin Bakar bersara pada 4 April 2021.

Ahli Parlimen berkontroversi itu disingkirkan daripada jawatannya sebagai pengerusi Prasarana Mei lepas, hanya beberapa hari selepas sidang medianya yang mendapat kecaman susulan pelanggaran dua tren LRT.

Pelantikannya itu mencetuskan kritikan ahli Parlimen pembangkang dan bekas diplomat.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menyifatkannya sebagai “pelantikan kroni” selain mempertikai latar belakang Tajuddin yang melayakkannya untuk jawatan diplomat.

“Lantikan politik seperti ini memang sudah lama wujud, namun mestilah dibuat demi kepentingan negara,” katanya.

Beliau mendakwa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob cuba menggunakan pelantikan Tajuddin sebagai pengaruh politik.

Tuesday, May 17, 2022

MP Pasir Salak sahkan dilantik jadi duta ke Indonesia

malaysiakini.com
Diterbitkan: May 17, 2022 3:36 PM
Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan pelantikannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia seterusnya yang berpangkalan di Jakarta.

“Memang benar,” kata pemimpin Umno itu dalam pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Portal dalam talian Malaysia Now awal hari ini memetik sumber diplomatik yang mendedahkan bahawa pelantikan Tajuddin telah mendapat kelulusan daripada kerajaan Indonesia di bawah Presiden Joko Widodo.

Pelantikan Tajuddin bagi menggantikan diplomat Zainal Abidin Bakar akan menyaksikan ahli politik menjawat semula jawatan itu.

Zainal dilantik pada 2018 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) ketika itu bagi menggantikan bekas ahli parlimen PKR yang kemudian menyertai Umno, Zahrain Mohd Hashim, yang berkhidmat dari 2013.

Sebelum pengesahan Tajuddin, agensi berita Indonesia Antara telah melaporkan mengenai pelantikannya yang dikhabarkan sejak Oktober lalu, kemudian didorong oleh kehadirannya semasa lawatan rasmi Menteri Luar Saifuddin Abdullah ke Jakarta pada November.

Ahli politik berusia 74 tahun itu sebelum ini dipecat daripada jawatannya sebagai pengerusi Prasarana berikutan kenyataan yang dianggap tidak sensitif selepas insiden perlanggaran LRT di Kuala Lumpur yang menyebabkan berpuluh-puluh penumpang cedera.

Awal bulan lepas, bekas diplomat Dennis Ignatius menyatakan bahawa kekosongan jawatan yang tidak diisi untuk jawatan tertinggi dalam perwakilan Malaysia di luar negara telah menimbulkan persoalan mengenai hal ehwal domestik di Kementerian Luar.

Sunday, March 6, 2022

Zahid tegur Tajuddin: Jangan bincang isu dalaman parti di parlimen

malaysiakini.com

Diterbitkan: Mar 6, 2022 8:41 PM

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu dalaman parti itu tidak seharusnya dijadikan bahan perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Beliau berkata pentas terbaik untuk membincangkan isu dalaman Umno ialah mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu.

“Biarpun saya menghormati pandangan peribadi tetapi pendirian parti harus dihormati.

"Parti belum membuat pendirian dan tentunya pendirian ini akan dibincangkan apabila ada waktu yang sesuai,” katanya kepada pemberita di Pusat Daerah Mengundi Parit Keroma yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani hari ini.

Ahmad Zahid mengulas ucapan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Dewan Rakyat baru-baru ini yang dikatakan membidas Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan berhubung isu tarikh Pilihan Raya Umum ke-15.
Beliau berkata walaupun Ahli Parlimen mempunyai imuniti untuk bercakap mengenai pelbagai perkara di Dewan Rakyat tetapi isu dalaman parti sepatutnya dibincangkan di pentas yang bersesuaian.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu melahirkan keyakinan terhadap kemampuan gabungan tersebut memenangi jumlah kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Ahmad Zahid juga berharap pengundi Johor tidak mudah terpengaruh dengan ‘serangan bertubi-tubi’ yang sedang disasarkan terhadap BN dan calonnya.

“Kita tahu serangan bertubi-tubi sedang menghala, bukan sahaja kepada produk kita iaitu calon BN tetapi isu nasional dibawa untuk mencemarkan nama baik kita.

“Kita menjangkakan itu semua namun kita yakin dengan kebijaksanaan pengundi di Johor,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian PRN Johor dan undi awal pada 8 Mac ini.

- Bernama

Wednesday, March 2, 2022

Tajuddin bidas Timbalan Presiden Umno ‘tekan’ PM adakan PRU15

freemalaysiatoday.com
Dineskumar Ragu
-March 2, 2022 5:13 PM
Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman kesal kerana Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan ‘menekan’ Perdana Menteri yang berusaha dengan pelbagai inisiatif untuk kepentingan rakyat.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) membidas “kata dua” Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang mendesak PRU diadakan secepat mungkin.

Menurut Tajuddin, Mohamad memberikan kata dua kepada Ismail agar meletak jawatan sekiranya gagal meyakinkan Yang di-Pertuan Agong membuka laluan kepada PRU15, sedangkan kerjasama parti politik sedia ada membolehkan kerajaan Keluarga Malaysia yang stabil.

“Apa punya kenyataan ini? Kenyataan ini seolah-olah menekan Perdana Menteri. Saya merasa kesal kerana ia datang daripada salah seorang pemimpin besar parti saya sendiri,” katanya pada perbahasan di Dewan Rakyat.

Katanya, kenyataan yang dibuat begitu “menjejaskan” dan “menggugat” kestabilan kerajaan.

“Kalau kita tekan Perdana Menteri macam mana lah kerajaan nak terus berusaha dengan pelbagai inisiatif dan usaha untuk kepentingan rakyat?”

Tajuddin mahu Mohamad tidak mengulangi kenyataan seperti itu, sambil mengingatkan para wakil rakyat bahawa mereka mempunyai agenda yang lebih besar iaitu menyelesaikan masalah rakyat.

“Sudahlah, hentikanlah. Maaflah saya ‘orang kecil’ dalam parti, dalam Dewan ini, terpaksa bersuara.”

Mohamad pada November meminta Ismail mempertimbangkan untuk segerakan PRU15, susulan kemenangan bergaya gabungan itu pada PRN Melaka.

Pertimbangan itu mengambil kira sentimen rakyat yang ketika ini dilihat bersama Barisan Nasional.

Mohamad turut mengingatkan perjanjian persefahaman kerajaan dan pembangkang “sampai Julai”.

“Suka atau tidak, PRU bulan Julai,” katanya.

Tuesday, September 21, 2021

Tajuddin sedia lawan Zahid, rebut kerusi Presiden UMNO

agendadaily.com
21/9/2021
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menawarkan diri bertanding jawatan presiden UMNO berdepan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menawarkan dirinya untuk bertanding tiga kerusi teratas, termasuk jawatan presiden, bagi memperbetulkan semula perjalanan parti itu.

Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini, Ahli Parlimen (MP) Pasir Salak itu berkata beliau telah diminta oleh ahli-ahli UMNO supaya bertanding salah satu daripada tiga jawatan tertinggi parti pada pemilihan akan datang.

Tajuddin yang dipecat daripada jawatan Pengarah Pilihan Raya UMNO oleh presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berkata, ahli parti itu yakin kemampuannya untuk melakukan perubahan serta memberi khidmat yang dikehendaki mereka.

“Saya menawarkan diri untuk jawatan top 3. Ada yang ingin melihat saya untuk memberikan khidmat kepada parti. Ada yang kata kalau saya bertanding Naib Presiden, insya-Allah boleh menang. Ada yang kata, kenapa bertanding yang susah-susah? Cari tempat yang boleh menang sahaja.

“Ada yang kata mungkin Timbalan Presiden. Jadi sama ada Presiden, Timbalan Presiden atau Naib Presiden. Saya bukan nak kejar jawatan, tetapi yang saya kejar adalah perkhidmatan kepada parti dan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Tajuddin menyokong supaya pemilihan parti itu dipercepatkan untuk membina semula kesatuan dalam kalangan parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, jika ada yang mendakwa bahawa pemilihan akan menyebabkan perpecahan parti, maka perkara itu harus diselesaikan dengan cepat supaya tidak lagi menjadi kebimbangan ahli UMNO itu sendiri.

“Sekarang parti tidak sekata, pelan tindakan, strategi perbincangan pun tidak ada. Perbincangan dalam kalangan kepemimpinan sama ada peringkat pusat, negeri, peringkat bahagian pun tidak ada, perbincangan ke arah pilihan raya, apa perlu dilakukan untuk mengukuhkan jentera parti?

“Kepemimpinan UMNO tidak menunjukkan bahawa parti UMNO di semua peringkat faham dari segi hala tuju. Ini menunjukkan kelemahan dalaman parti,” katanya.

Wednesday, August 11, 2021

Umno perlu segerakan pemilihan, perbetul organisasi - Tajuddin

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan 10 Aug 2021

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Tajuddin Abdul Rahman menggesa partinya mengadakan pemilihan seperti disarankan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi memperbetulkan kembali organisasi itu.

Jelas ahli parlimen Pasir Salak itu, barisan kepemimpinan Umno yang ada kini tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, seperti dinyatakan ROS.

"Umno kena dibetulkan balik organisasi, kena perbetulkan. Setiausaha agung Umno asyik sibuk hal lain.

"Sampai tahap pengurusan parti terlepas pandang," katanya kepada Malaysiakini, ketika dihubungi, hari ini.

Tajuddin mengulangi pandangan yang mengatakan bahawa barisan kepemimpinan Umno yang ada kini hanya "caretaker" sehingga pemilihan parti itu diadakan semula.

Oleh itu barisan kepemimpinan yang ada kini tidak mampunyai kuasa untuk membuat keputusan.

"Mengikut ROS selepas 30 Jun tak ada MT, presiden lagi. Jadi, kena adakan pemilihan semula seperti mana saranan ROS.

"Jadi, apa saja keputusan selepas 30 Jun tidak terpakai," kata Tajuddin lagi.

Terdahulu, media melaporkan kepemimpinan MT Umno ketika ini hanya boleh berfungsi sebagai caretaker sehingga selesai pemilihan dan mesyuarat Agung Umno 2021, kata ROS.

Ketua Pengarah ROS, Jasri Kasim berkata, MT yang diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hanya boleh menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti.

“Pada masa ini (kepemimpinan Umno) seperti caretaker sahaja, hanya boleh buat pengurusan administrative atau pentadbiran biasa parti.

“Dari segi pelaksanaan (atau segala) keputusan dasar kena bawa ke perhimpunan agung dahulu kerana dia (kepemimpinan sedia ada) lebih kepada caretaker sahaja,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Mengulas lanjut Tajuddin berkata atas sebab itu jugalah ahli parlimen Umno tidak menjawab surat setiausaha agung parti itu yang meminta supaya mereka menyatakan kesediaan untuk menarik sokongan terhadap perdana menteri atau sebaliknya.

"Tiap-tiap ahli parlimen perlu jawab sama ada setuju atau tak setuju desakan supaya menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Tiada siapa jawab setahu saya, sebab dia tiada kuasa lagi. Kalau ikut surat mesti jawab dalam masa 48 jam," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-