Diterbitkan: Jul 31, 2022 1:02 PM
Bekas perdana menteri Najib Razak berkata BN sudah "penat" menjadi pembangkang di Selangor dan boleh menamatkan siri kekalahan mereka sejak beberapa piihan raya umum lalu jika ia menggunakan pendekatan yang fleksibel.
Berucap pada Konvensyen BN Selangor yang berlangsung di Shah Alam hari ini, Najib berkata dia kecewa kerana negeri itu - yang diterajui Umno sehingga 2008 - diperintah oleh pentadbiran parti lain.
Bermula dengan Pakatan Rakyat pada 14 tahun lalu, pentadbiran negeri terbabit kemudian diteruskan oleh Pakatan Harapan (PH) selepas gabungan asal terkubur.
“Ahli BN dari akar umbi hinggalah kepada pucuk pimpinan, semua perlu bersedia dengan jentera untuk melawan parti dan rakyat.
"Ada cara yang kita boleh fleksibel supaya kita boleh menang.
"Dah tak lama lagi. Kita rasa ia sudah dekat," kata ahli parlimen Pekan itu menurut laporan The Star.
Bekas presiden Umno itu mendakwa pertumbuhan ekonomi di Selangor sejak Pakatan Harapan mengambil alih adalah lebih perlahan berbanding negeri lain.
Beberapa puak Umno dan PAS dikatakan mendesak agar BN dan PN bekerjasama di Selangor di sebalik hubungan tegang di antara kedua-dua gabungan tersebut di tempat lain.
Ia dianggap langkah yang akan memudahkan mereka mengetepikan PH.
Selangor adalah negeri termaju di Malaysia, namun pada masa sama mempunyai beberapa pemimpin kanan Umno yang tercemar dengan isu rasuah seperti bekas menteri besar, Harun Idris serta Mohd Khir Toyo.
Kedua-dua mereka menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah oleh mahkamah. Seorang lagi bekas menteri besar, Muhammad Muhammad Taib, pernah ditangkap pihak berkuasa Australia kerana cuba membawa sejumlah wang tunai berjumlah berjuta-juta ringgit ke negara itu.
Konvensyen BN hari ini bertemakan Bangkit Selangor dan akan ditutup oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi - yang kini dibicarakan kerana tuduhan rasuah.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.