Diterbitkan: Jul 4, 2022 10:45 AM
Kerajaan perlu mengambil alih pemilikan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk memastikan beras untuk negara ini mencukupi dan menstabilkan harga bekalan makanan asas itu.
Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Yee Kew berkata kerajaan tidak boleh lagi mengharapkan Bernas - yang kini milik swasta sepenuhnya - untuk membantu menambah simpanan dan pengeluaran beras tempatan.
"Bernas adalah sebuah syarikat swasta sepenuhnya. Ironinya Bernas yang mengaut keuntungan besar dengan memonopoli import beras ditugaskan untuk membantu menggalakkan pengeluaran beras tempatan.
"Hakikatnya semakin rendah beras tempatan, semakin banyak Bernas boleh mengimport, dan semakin besar keuntungan mereka.
"Oleh itu, kita tidak boleh mengharapkan Bernas dengan pemilikannya sekarang untuk membantu mempromosikan pengeluaran beras tempatan," katanya.
Menurut Tan pada ketika ini harga bagi beras - sama ada import atau tempatan - hampir ditentukan sepenuhnya oleh Bernas, iaitu sebuah syarikat yang mementingkan keuntungan.
"Jika kerajaan bersungguh-sungguh dalam soal sara diri beras dan mengawal kenaikan harga bahan itu, Putrajaya mesti mendapatkan semula kawalan ke atas beras import, mengambil alih pengurusan subsidi kepada petani daripada Bernas dan perolehan beras daripada petani," katanya.
Ahli parlimen PKR itu berkata Malaysia mungkin akan menghadapi kekurangan beras - sekali gus kenaikan harga - susulan harga bahan makanan ruji itu meningkat berturut-turut untuk bulan kelima pada Mei tahun ini.
Katanya, menurut All-Rice Index dari Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, harga eksport beras meningkat akibat daripada kekurangan petroleum, baja, gandum dan makanan yang disebabkan perang Ukraine-Rusia.
"Apabila perang berlarutan, harga dijangka meningkat. Negara-negara yang bergantung kepada import beras bagi menambah pengeluaran tempatan mereka hampir pasti akan menghadapi kekurangan bekalan dan kenaikan harga.
"Keperluan tahunan beras bagi rakyat Malaysia ialah 2.5 juta tan metrik. Pengeluaran beras negara pula sekitar 70 peratus manakala bakinya bergantung kepada import.
"Apabila perang berlarutan, kita bukan saja perlu menghadapi kenaikan harga beras tetapi juga kekurangan bekalan di pasaran," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.