Showing posts with label beras. Show all posts
Showing posts with label beras. Show all posts

Friday, February 28, 2025

Isu beras: Kajian MARDI buktikan rakyat ditipu

harakahdaily.net
February 28, 2025
SHAH ALAM: Hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berkenaan percampuran antara beras tempatan dan beras import menunjukkan rakyat Malaysia telah ditipu dan dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, kerajaan didesak bersikap jujur dan agresif terhadap isu beras yang masih tidak selesai hingga ke saat ini.

“Apakah yang menjadi halangan untuk kerajaan bertindak dengan cekap bagi menangani masalah ini? Sampai bila rakyat perlu ditabur dengan harapan palsu? Hari ini, rakyat terpaksa membeli beras import yang jauh lebih mahal berbanding harga beras tempatan yang dijual pada harga RM2.60 sekilogram.

“Secara logik, beras tempatan mustahil hilang begitu sahaja kerana padi masih tetap ditanam dan dituai. Malah beras tempatan sepatutnya mampu menampung permintaan lebih 60 peratus rakyat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan kerajaan yang dilihat lambat bertindak di dalam polemik beras tempatan yang ‘ghaib’ di pasaran tempatan selama lebih dua tahun walaupun mempunyai kuasa sejak awal isu ini berlaku.

“Hasil percampuran beras ini dipercayai dilakukan oleh pengilang yang sengaja mahu mengaut keuntungan lebih apabila dapat menjual campuran beras ini pada harga yang lebih mahal.

“Namun, tindakan ini seakan direstui Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sendiri apabila mencadangkan pada Januari lepas berkenaan percampuran beras untuk mencukupkan bekalan beras.

“Idea ini seolah-olah mahu memperbodohkan rakyat dan mahu menormalisasikan manipulasi beras yang sedang dilakukan,” ujarnya.

Justeru, beliau memaklumkan pihaknya dengan tegas menggesa kerajaan untuk mengambil serius dalam isu berkenaan.

“Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan tetapi mahu melihat tindakan. Semoga pengumuman penjualan beras tempatan RM26 untuk kampit 10 kilogram mulai 1 Mac ini bukanlah suatu janji palsu,” katanya.

 – HARAKAHDAILY 28/2/2025

Tanam padi lima kali dua tahun sedang direalisasi

harakahdaily.net
February 28, 2025
Tampung keperluan negara, kurangkan import beras


JERLUN: Projek penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun adalah sangat penting untuk masa depan negara, bagi menampung keperluan makanan penduduk yang semakin meningkat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selain itu kerajaan juga terpaksa menanggung kos yang sangat tinggi untuk mengimport beras iaitu RM2,800 bagi setiap tan metrik.

Berbanding katanya, kos yang lebih rendah iaitu hanya RM1,500 untuk satu tan metrik beras tempatan.

Beliau juga menggesa Kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan
projek Jeniang Transfer, bagi menangani masalah bekalan air yang dijangka serius akibat fenomena cuaca dan iklim bermula tahun ini hingga 2035.

“Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) juga, pada masa ini hanya dapat menggunakan 35 peratus sahaja bekalan air daripada sistem pengairan yang sedia ada.

“Oleh itu projek Jeniang Transfer ini diharapkan segera mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan untuk membantu mengatasi masalah bekalan air akibat fenomena tersebut,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima kali dua tahun di kawasan Muda fasa 1, Kampung Pida 4, Ayer Hitam, semalam.

Program tersebut dihadiri Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu

Dalam pada itu Sanusi juga menegaskan, Kerajaan Persekutuan perlu bertindak tuntas untuk memastikan matlamat dan dasar-dasar yang akan dilaksanakan, dapat dicapai.

Apatah lagi ujarnya, berkaitan masalah dihadapi oleh kilang-kilang beras milik Bumiputera yang terpaksa ‘gulung tikar’ disebabkan beberapa faktor tertentu.

“Contohnya Kilang Beras Dibuk di Perlis yang terpaksa ‘gulung tikar’ selepas 57 tahun beroperasi, sudah tentu amat menyedihkan bagi kita semua.

“Isu-isu seperti ini diharapkan mendapat perhatian yang serius oleh pihak kementerian berkaitan dan tindakan sewajarnya perlu diambil,” tambahnya.

Selain itu tegas beliau, Kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian kepada isu tanah jerlus yang membelenggu para petani sehingga menyebabkan mereka menanggung kerugian besar.

Di kawasan MADA sahaja, jelasnya, lebih 2,000 hektar sawah berisiko menghadapi masalah itu, sementara 800 hektar sudah dikenal pasti.

“Masalah tanah jerlus ini akan menyebabkan padi tidak dapat dituai walaupun kerja-kerja penanaman dan penjagaan semua sudah selesai. Hal ini menyebabkan para petani rugi besar.

“Sedangkan mereka telah mengeluarkan kos yang tinggi serta berpenat lelah membanting tulang di tengah bendang. Namun tidak dapat menuai hasil apabila tiba waktunya,” ujarnya lagi.

Kata Sanusi, beliau difahamkan punca utama masalah ini ialah penggunaan mesin besar dan berat sejak puluhan tahun lalu, menyebabkan struktur tanah tidak cukup kuat untuk menampung beban.

Sekali gus katanya, menghalang jentera menuai masuk ke kawasan jerlus tersebut, malah masalah tanah jerlus ini juga tambahnya, menyebabkan berlaku tumpahan padi kira-kira 20 peratus pada setiap musim.

“Oleh itu, saya mohon perhatian agensi-agensi di bawah Kerajaan Persekutuan yang berkaitan dapat mengambil langkah yang bersepadu dan berkesan bagi menangani masalah ini yang didapati semakin serius.

“Kita bimbang jika langkah yang dilaksanakan pada masa ini masih kurang menampakkan hasil, ia akan menimbulkan masalah keyakinan para petani untuk terlibat dalam projek penanaman padi lima kali dua tahun yang sedang diusahakan ini,” tegas beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, juga menyarankan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan agar mengambil kesempatan itu untuk meninjau masalah para pesawah.

Isu padi benih katanya, antara yang menjadi rungutan para pesawah kerana pihak mereka sering memperolehi benih tidak berkualiti dan menjejaskan hasil padi mereka.

“Saya bukanlah nak mengajar, tetapi apabila kerap sangat mendengar rungutan yang sama, maka saya nak minta Abang Mat kita dapat memberikan perhatian untuk masalah ini.

“Pastikan benih yang dibekalkan kepada petani hanya dari petak khusus untuk benih yang terjamin kualitinya, jangan asal ada atau tangkap muat,” kata Sanusi lagi.

Tegasnya, masalah yang membelenggu para petani ini wajar diusahakan jalan penyelesaiannya kerana projek penanaman padi lima musim dua tahun ini adalah langkah pertama bagi satu transformasi besar-besaran khususnya di Kedah ini.

Malah, pihaknya juga amat berbesar hati kerana memilih kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam ini untuk pelaksanaan projek.

Selain itu, Sanusi juga menarik perhatian pemimpin Kerajaan Persekutuan itu agar baja yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), dapat diperluaskan penggunaannya kepada para petani di seluruh negara.

Hasil lawatannya ke Kilang Baja Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd, iaitu syarikat milik NAFAS di Gurun, mendapati baja yang dihasilkan oleh kilang itu sangat baik dan bermutu tinggi. 

– HARAKAHDAILY 28/2/2025

Saturday, February 15, 2025

PeSAWAH dakwa kos perkhidmatan naik cecah 55 peratus

bharian.com.my
Oleh Saadiah Ismail 
saadiah_ismail@bh.com.my
- Februari 15, 2025 @ 2:29pm
Foto hiasan - FAIL NSTP

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendakwa masih menanggung kerugian kerana menanggung kos perkhidmatan sehingga 55 peratus, walaupun harga lantai belian padi diselaras.

Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob, berkata ia susulan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran iaitu peningkatan RM1.20.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan kumpulan petani menanggung kos kejenteraan, pembajakan, penuaian mesin padi yang disifatkan naik terlalu mendadak.

Katanya, harga penyedia perkhidmatan berbeza di setiap kawasan dan tidak menentu.

Sebagai contoh, katanya, harga sewa mesin padi di Kedah bagi satu relung sebelum ini ialah RM120 dan kini dinaikkan mencecah RM230.

"Ini tidak dikawal kerajaan dan menyebabkan petani terpaksa menanggung kos perkhidmatan keseluruhan.

"Tujuh bulan berlalu, tiada tindakan daripada kerajaan untuk memberi 'fleet card' atau insentif kesan daripada pengumuman itu," katanya kepada BH, hari ini.

Khamis lalu, kerajaan mengumumkan harga lantai belian padi akan diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa esok.

Seiring penyelarasan baharu harga lantai padi itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mengumumkan harga beras putih tempatan di pasaran kekal RM2.60 sekilogram.

Susulan pengekalan harga itu, kerajaan perlu menanggung kos pengeluaran berjumlah RM150 juta bagi tempoh enam bulan ini.

Abdul Rashid berkata, sekiranya kerajaan mampu memberi subsidi RM150 juta kepada pengilang, tiada masalah untuk subsidi kepada petani ditambah.

"Tanaman padi ini di bawah Akta 522 yang dikawal rapi yang mana harga padi dan beras dikawal. Bila kedua-duanya dikawal, kerajaan perlu berikan subsidi kepada petani.

"Bila kerajaan nak kekalkan harga beras murah, kena tambah subsidi sebab kos meningkat.

"Bagi mengelak masalah ini berterusan, kami harap kerajaan menghasilkan model baharu untuk industri padi," katanya.

Thursday, February 13, 2025

Kelantan buka kilang beras di Pasir Mas, dijangka beroperasi tahun ini

bharian.com.my
Oleh BERNAMA 
- Februari 13, 2025 @ 10:14pm
Kilang Beras Darul Naim akan menjimatkan kos dan membantu meningkatkan ekonomi padi pesawah-pesawah tempatan - NSTP/WAN NABIL NASIR

MACHANG: Kilang Beras Darul Naim yang akan dibuka di negeri ini dijangka memperkukuh bekalan beras negara selain menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata kilang itu akan dibuka di Meranti, Pasir Mas bagi menyokong pengusaha padi tempatan dan memastikan hasil padi dapat dikilangkan sendiri di negeri ini.

"Pembukaan kilang beras ini adalah usaha untuk membantu pesawah-pesawah di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Memacu Kehidupan Selamat Tahun Baharu Cina, di Dewan Majlis Daerah Machang, di sini hari ini.

Sementara itu, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata kilang Beras Darul Naim dibina berkonsepkan kerjasama dengan pelabur luar dan agensi negeri ini.

Menurutnya, kilang berkenaan hampir siap dan sedang menunggu kelulusan untuk beroperasi, dijangka tahun ini.

"Kilang ini akan membeli hasil padi daripada pesawah-pesawah tempatan dengan harga yang baik dan kita akan menghasilkan beras untuk negara.

"Apabila kilang ini dibuka, ia akan menjimatkan kos dan membantu meningkatkan ekonomi padi pesawah-pesawah tempatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Yayasan PETRONAS dalam program hari ini menyantuni 100 keluarga dari Kota Bharu dan Machang dengan pemberian sumbangan berupa bekalan makanan asas.

Pengurus Besar Pejabat PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli, berkata program itu merupakan sebahagian daripada usaha yayasan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat khususnya golongan yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata, Yayasan PETRONAS menyasarkan sumbangan kepada 2,100 keluarga di seluruh Malaysia dengan jumlah keseluruhan RM420,000.

"Di Kelantan, 100 keluarga telah terpilih bagi menerima manfaat ini dan Yayasan PETRONAS komited untuk terus melaksanakan program kemasyarakatan melalui tiga teras utama iaitu pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti serta alam sekitar," katanya ketika berucap pada majlis itu.

-BERNAMA

Harga padi naik RM200, harga beras kekal RM2.60 sekilo

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali, Alyaa Alhadjri & Ili Aqilah
Diterbitkan: Feb 13, 2025 1:32 PM
PARLIMEN | Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mengumumkan kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai belian padi kepada RM1,500 per tan matrik.

Katanya, penyelarasan itu melibatkan kenaikan daripada harga belian asal iaitu RM1,300 per tan matrik berkuat kuasa Ahad ini.

“Penyelarasan ini dapat membantu para pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi dan seterusnya menambah pendapatan mereka,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Mohamad berkata pengguna juga mendapat berita gembira apabila kerajaan bersetuju mengekalkan harga jualan maksimum beras putih tempatan (BPT) RM2.60 sekilogram.

“Bagi mengekalkan harga jualan BPT, Kerajaan Madani akan memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh 6 bulan pertama tahun ini.

“Melalui inisiatif ini, 24 juta kampit BPT berat 10 kilogram (RM26.00) akan mula berada di pasaran secara berperingkat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini,” katanya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, walaupun industri padi dan beras negara sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran seperti ancaman perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik dunia, namun Kerajaan Madani sentiasa komited menjaga kebajikan pesawah dan kesejahteraan rakyat, dengan mengimbangi kepentingan semua pihak dalam industri padi dan beras negara.

“Pengumuman ini diharap dapat memberikan solusi ’menang-menang’ kepada pesawah, pengilang dan pengguna,” tambahnya.

Sementara itu ditanya penyelarasan harga lantai belian padi tidak mencapai sasaran RM1,800 seperti diharapkan pesawah, Mohamad menjelaskan perkara itu perlu dilihat kepada situasi pesawah.

“Kalau di sebelah Sekinchan, Sabak Bernam, Sungai Besar dan beberapa tempat lain, rungutan mereka agak kurang tentang harga itu.

“Yang paling penting kita lihat saya sebut tadi subsidi penanaman padi di Malaysia ini antara yang tertinggi di Asia ini.

“Oleh itu pesawah juga hendaklah bersama dengan kerajaan berusaha bagaimana untuk meningkatkan hasil mereka,” jelasnya.

Mohamad turut menegaskan penanaman ala Sekinchan dibuat di Kedah, Terengganu dan Kelantan mendatangkan hasilnya berlipat kali ganda.

“Oleh itu kaedah dan cara untuk tanaman padi perlu dipertingkatkan dengan mekanisme baru sedang kita usaha dengan giat,” katanya lagi.

Thursday, February 6, 2025

Reformasi menyeluruh selesaikan isu beras putih tempatan

hmetro.com.my
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sudah merombak strategi melalui pelaksanaan reformasi menyeluruh dalam industri padi dan beras bagi menyelesaikan isu beras putih tempatan (BPT).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan itu dilakukan secara berfasa sejak Oktober 2024 yang bertujuan untuk meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin bekalan beras negara.

"KPKM peka dan prihatin terhadap isu pembekalan BPT di pasaran yang mula timbul sejak pertengahan tahun 2023.

"Pelbagai pendekatan intervensi sudah dilaksanakan oleh KPKM bagi memastikan keberadaan bekalan BPT untuk memenuhi keperluan rakyat walaupun industri berdepan dengan pelbagai faktor yang mempengaruhi kos dan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara.

"Hasil daripada sesi libat urus dengan pemain industri, pengilang dan pemborong beras berdepan dengan kenaikan kos pengeluaran dan menghadapi kesukaran untuk menjual BPT pada harga kawalan maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan sejak tahun 2008, iaitu pada harga RM2.60 sekilogram," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai langkah kementerian bagi mengembalikan semula BPT ke pasaran tempatan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pada masa ini, perincian mengenai langkah yang bakal diambil mengenai BPT sedang dimuktamadkan dan akan dimaklumkan setelah mendapat persetujuan oleh kerajaan.

"KPKM turut membuat penilaian jangka pendek, sederhana dan panjang sekiranya langkah itu dilaksanakan bagi memastikan industri padi dan beras terus mampan dan berdaya saing.

"Justeru, KPKM memerlukan sedikit masa lagi sebelum satu penyelesaian tuntas dapat diumumkan kepada semua pihak.

"Diharapkan segala usaha yang sedang dilaksanakan mendapat sokongan daripada semua pihak demi kebaikan serta masa depan industri padi dan beras negara," katanya.

Disiarkan pada: Februari 6, 2025 @ 10:16am

Tuesday, February 4, 2025

RM1 bilion untuk Mada tingkat hasil padi hingga 70%, kata Anwar

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
04 Feb 2025, 01:20 PM
Perdana menteri berkata program merancakkan produktiviti pengeluaran padi di Kedah akan dilancarkan akhir bulan ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata peruntukan RM1 bilion untuk Mada bertujuan meningkatkan pengeluaran padi di Kedah daripada kira-kira 56% ketika ini kepada 70%. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim mengumumkan Putrajaya meluluskan RM1 bilion kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) untuk program merancakkan produktiviti pengeluaran padi di Kedah yang akan dilancarkan akhir bulan ini.

“Ia supaya kawasan sawah yang ada penambahan RM1 bilion itu boleh menjamin penambahan produktiviti.

“Sekurang-kurangnya usaha itu dapat memenuhi daripada sekitar 56% keperluan tempatan sekarang kepada 70%,” katanya menurut Berita Harian pada sesi waktu pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat.

Perdana menteri menjawab soalan Ronald Kiandee (PN-Beluran) adakah kerajaan bercadang mengkaji semula dasar sedia ada penghasilan 70% beras tempatan dan pengimportan 30% beras luar untuk kegunaan rakyat tempatan.

Sementara itu, Anwar menafikan kerajaan tidak mengambil tindakan bagi menangani kenaikan kos input pertanian seperti baja, racun dan jentera secara drastik sehingga menekan petani.

Katanya kerajaan perpaduan menambah bantuan khas dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024.

“Seperti kita tahu, tidak ada langkah yang tegas dan pernah dibuat sebelum ini untuk menaikkan (bantuan) termasuk pada 2020, 2021 dan 2022. Tidak ada yang drastik.

“Hanya setelah kerajaan Madani naik, barulah bantuan khas, sumbangan tunai ditambah RM228 juta pada 2023 dan ditambah pada 2024 RM600 setahun bagi setiap pesawah. Ia belum dibuat sebelum ini.

“Bantuan khas Bernas (Padiberas Nasional Berhad) memang dipertikai, tetapi Bernas ini…Kontrak itu diperbaharui pada 2021 untuk 10 tahun. Cuma saya boleh minta tolong bagilah bantuan sikit. Maka, dibagi RM60 juta bantuan khas Bernas kepada pesawah terkesan di utara.”

Beliau berkata Putrajaya turut memperkenalkan Skim Takaful Tanaman Padi dengan peruntukan awal RM50 juta awal tahun lalu, manakala lebih RM400 juta disalurkan kepada Sabah dan Sarawak bagi menampung harga beras terlalu tinggi di dua negeri itu.

“Jadi, untuk 2023 dan 2024, kita salurkan peruntukan khas kali pertama sebanyak RM420 juta di Sabah dan Sarawak untuk menampung dan menukarkan harga supaya tidak melambung terlalu tinggi.”

Saturday, February 1, 2025

Sanusi gesa Putrajaya beri negeri kuasa urus beras, padi

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
01 Feb 2025, 11:30 AM

Menteri besar Kedah itu berkata isu kekurangan bekalan tidak akan selesai selagi tidak ada kesungguhan dalam membanteras kegiatan didalangi kartel.
Sanusi Nor berkata kegiatan kartel padi perlu dibanteras sepenuhnya, sekiranya kerajaan benar-benar mahu membela nasib petani dan rakyat.

PETALING JAYA: Sanusi Nor menggesa agar kuasa menguruskan tanaman dan industri padi diberikan kepada kerajaan negeri dalam menangani dan memulihkan isu kekurangan bekalan beras tempatan.

Menteri besar Kedah itu berkata isu beras padi tidak akan selesai selagi tidak ada kesungguhan daripada agensi berkaitan, terutama dalam membanteras kegiatan didalangi kartel.

Beliau turut mendakwa berlakunya kegiatan menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import menyebabkan bekalan beras tempatan tiada di pasaran sehingga kini.

“Mereka kata Menteri Besar buat apa beras hilang kerana padi tanam di Kedah? Cuba mereka bagi kuasa beras pada saya kerana kerajaan negeri tidak ada kuasa pada beras. Apabila ditubuhkan Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) pada 70-an, agensi ini mengawal kawasan tanaman padi.

“Ada macam-macam agensi kawal industri pula, lesen beli padi, lesen simpan padi, lesen kilang padi kemudian ada lesen simpan dan jual beras, semua ada lesen di bawah kementerian.

“Isu benih tak selesai, saya biasa kata ada kartel kawal industri padi, mereka marah kata saya tak betul. Selagi tak dipecahkan kartel, tak ada kesungguhan keberanian untuk menghadapi kartel ini, isu beras padi tak akan selesai,” katanya pada satu majlis di Alor Setar, malam tadi, menurut Harian Metro.

Sanusi berkata kegiatan kartel padi perlu dibanteras sepenuhnya, sekiranya kerajaan benar-benar mahu membela nasib petani dan rakyat.

Katanya, petani yang menanam padi dibelenggu masalah apabila ‘diikat’ kilang padi melalui sistem kunca sejak dahulu lagi menyebabkan mereka terus mengalami kesempitan hidup.

“Ada kartel kawal benih, ada kartel kawal harga belian padi dan jualan beras, menipu petani tetapi mereka marah kata saya tak betul. Sekarang jadi apa? Sekarang mereka duduk bersama kartel.

“Mereka tahu tak puak ini tukar bungkusan beras tempatan kepada beras import? Takkan mereka tak tahu kerana kita pun tahu. Orang duduk kampung pun tahu.

“Pada biji beras tak ada ditulis beras import atau tempatan, tulisan ada di kampit. Dia tukar bungkusan dari harga RM23 boleh jual RM43. Itu saja mereka buat, pergi cari periksa,” katanya.

Thursday, October 24, 2024

Aduan: Pagi hantar padi ke kilang, petang jual beras import

harakahdaily.net
October 24, 2024
Mohd Misbahul Munir Masduki

KUALA LUMPUR: Kebimbangan rakyat berkenaan isu beras tempatan yang didakwa hilang sebaik sahaja dihantar ke kilang dibangkitkan oleh Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar).

Beliau mendakwa, ada pesawah mengadu bahawa selepas menghantar padi ke kilang pada waktu pagi, apabila mereka ingin membeli beras pada petang, hanya beras import yang dijual.

“Mengapa ini berlaku? Adakah kerajaan memantau kilang-kilang pengeluar padi seluruh negara bagi mengesan ke mana hilangnya padi-padi tempatan yang hari ini di hantar petang sudah jadi beras import, kalau ini berlaku apa tindakan yang kerajaan mesti buat keatas kilang-kilang padi tersebut.

“Kalau tak berlaku ke mana perginya beras tempatan,” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, siasatan terperinci akan dijalankan dengan pemantauan ke kilang padi di seluruh negara.

“Yang pertama kita kena siasat dahulu minta kawal selia padi beras melawat ke kilang-kilang, adakah betul bahawa tuduhan itu ada campuran di atas beras tempatan dan import.

“Sekiranya berlaku kita perlu wujudkan peraturan baru untuk memastikan bahawa beras putih tempatan itu mesti ada bekalan akses untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia,” katanya.

Misbahul dalam soalan asal meminta kementerian menyatakan sebab-sebab beras tempatan masih sukar untuk diperoleh di kedal-kedai runcit mahupun pasar raya dan apakah usaha bagi mengatasi permasalahan ini.

 – HARAKAHDAILY 24/10/2024

Wednesday, October 16, 2024

Harga maksimun beras putih tempatan tak berubah sejak 2008

bharian.com.my
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bh.com.my
 - Oktober 16, 2024 @ 10:39am
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Harga siling beras tempatan perlu disemak semula dengan mengambil kira kos pengeluaran semasa, unjuran kos pada masa hadapan dan pergerakan harga beras putih dunia, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata harga maksimum beras putih tempatan (BPT) ditetapkan pada kadar RM2.60 sekilogram sejak 2008 lagi bagi memastikan rakyat mendapat harga berpatutan susulan peningkatan mendadak harga makanan itu di pasaran global.

Namun, katanya, selepas 16 tahun, harga maksimum beras berkenaan belum lagi disemak walhal harga jualan BPT adalah berkait langsung dengan harga belian padi.

"Sejak 2008, harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM750 per tan kepada RM1,200 per tan pada 2014 dan terkini pada kadar RM1,300 setiap tan manakala harga BPT masih kekal tidak berubah," katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) di Dewan Rakyat.

Mohamad berkata KPKM sudah pun menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi meneliti isu-isu berkaitan industri padi dan beras negara termasuk kajian daya saing struktur harga.

Di samping itu, katanya, kementeriannya juga sedang menunggu laporan hasil kajian terhadap industri padi dan beras yang bakal dikemukakan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak lama lagi.

"Dapatan hasil kajian tersebut akan dijadikan rujukan kepada KPKM untuk menambah baik industri padi beras melalui `task force' yang telah ditubuhkan.

"KPKM ingin memberi komitmen bahawa kebajikan pesawah akan terus diutamakan dan diberikan perhatian yang sewajarnya," katanya.

Akhir tahun lalu, Pengilang Beras Malaysia memberi jaminan mereka akan meningkatkan harga belian padi kepada RM1,500 per tan sekiranya harga siling BPT dapat dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram.

Ini adalah susulan langkah kerajaan yang akan meneliti semula harga siling BPT dinaikkan dalam usaha menjaga masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu terutama pesawah.

Saturday, April 6, 2024

Makan ubi kayu ganti beras tunggu isu BPT selesai, cadang Johari

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-06 Apr 2024, 04:30 PM

Ubi kayu dilihat mampu menjadi alternatif terbaik sebagai sumber karbohidrat, kata speaker Dewan Rakyat itu.
Johari Abdul berkata, langkah menggantikan beras dengan ubi kayu boleh menyelamatkan rakyat daripada terbelenggu dengan isu beras yang melanda negara ini.

PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mencadangkan rakyat menggantikan nasi dengan sumber karbohidrat lain seperti ubi kayu, sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai.

Beliau berkata, ubi kayu dilihat mampu menjadi alternatif terbaik sebagai sumber karbohidrat disebabkan khasiatnya yang lebih tinggi berbanding beras.

“Kalau beras menjadi isu, apa tujuan kita makan beras…untuk dapatkan karbohidrat. Saya rasa ada tak alternatif lain sementara kita nak selesaikan isu beras, iaitu makan ubi kayu.

“Saya pernah berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Sarawak, di negeri itu (Sarawak) tanam ubi kayu yang digunakan sebagai makanan tambahan, sebab khasiat ubi kayu hebat dibandingkan gula yang ada dalam beras,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana, Sungai Petani, bersama Ketua Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Katanya, langkah itu boleh menyelamatkan rakyat daripada terbelenggu dengan isu beras melanda negara.

Rakyat di negara ini, tambahnya, mempunyai potensi sangat besar untuk menghasilkan sumber makanan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada bekalan makanan import.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan peluang kepada rakyat untuk mengusahakan tanah terbiar bagi menanam pelbagai sumber makanan.

“Kadang-kadang kebergantungan kita kepada makanan dari luar negara ini amat hebat, kira-kira setahun lalu kita import dalam bajet hampir RM60 bilion…ini satu jumlah besar, tetapi baru-baru ini di Perak, terbukti kita boleh tanam bawang,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa BPT masih tidak tersedia di pasaran, walaupun setelah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkannya diedar ke seluruh negara.

Sementara itu, Syed Abu Hussin berkata, dalam tinjauannya ketiga pasar raya di Kota Kemuning, Shah Alam sebelum ini, didapati hanya beras putih import (BPI) yang dijual.

Sunday, February 18, 2024

Kedah mahu keluarkan beras untuk pasaran sendiri - Sanusi

bharian.com.my
Oleh Norazura Abdul Rahman 
bhnews@bh.com.my
Februari 18, 2024 
Gambar hiasan - Sawah padi di Kedah

SUNGAI PETANI: Kerajaan negeri merancang mengeluarkan produk Beras Kedah untuk dijual pada harga lebih murah berbanding kadar pasaran makanan ruji itu ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya sedang merangka kaedah pengeluaran beras berkenaan bagi membolehkan rakyat negeri ini dapat membelinya pada harga lebih murah.

"Kita cuba cari jalan untuk wujudkan Beras Kedah untuk rakyat negeri ini seperti Kerajaan Terengganu wujudkan Beras Ganu untuk rakyat mereka," katanya.

Beliau ditemui selepas menyertai program Kayuhan Amal Menteri Besar dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di sini, semalam.

Muhammad Sanusi berkata, rakyat Kedah sepatutnya dapat membeli beras pada harga lebih murah berbanding pasaran kerana negeri itu menyumbang lebih 40 peratus pengeluaran beras negara.

"Sepatutnya perkara ini dapat dilaksanakan di Kedah sebab kita pengeluar beras, tetapi rakyat termasuk golongan petani yang mengusahakan sawah padi terpaksa beli beras pada harga mahal.

"Kalau nak laksanakan sekarang mungkin kementerian berkaitan tak benarkan, tetapi kita akan cuba juga cari jalan untuk laksanakan perkara ini," katanya.

Friday, February 16, 2024

Berbulan-bulan susah nak jumpa beras tempatan, alih-alih keluar Beras Madani

ismaweb.net
Ainul Illia
Kenapa RM30 untuk 10kg? Siapa pengilang Beras Putih Malaysia Madani?

BANGI, 6 Syabaan 1445H, Jumaat – Keputusan kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini, tidak diterima baik oleh rakyat.

Beras itu yang bakal menjadi kategori tunggal bagi beras putih menimbulkan pelbagai persoalan terutama daripada pihak pemain industri dan juga pembeli.

Hairan dengan isu ini, orang awam mula mempersoalkan ke mana perginya beras tempatan selama beberapa bulan lalu, sehingga menyebabkan mereka terpaksa membeli beras import pada harga yang lebih tinggi.

Lebih menambahkan persoalan, kerajaan membuat ‘kejutan’ dengan memperkenalkan Beras Putih Madani Malaysia dengan harga siling baharu.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. berkata, harga siling baharu bagi beras putih ditetapkan pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).

Ia akan mula berkuatkuasa pada Isnin (19 Februari) dan beras ini akan berada di pasaran pada 1 Mac.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani itu juga muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan pemanipulasian bekalan beras putih tempatan.

Ini kerana, katanya, segelintir pengeluar sebelum ini dikenal pasti mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import, bertujuan meraih keuntungan lebih.

Membidas kenyataan itu, salah seorang pengguna Facebook, Baba Panjang mempersoalkan harga siling baharu yang ditetapkan kerajaan campuran ini.

“Kenapa RM30? Kenapa tak RM28 ke, RM20 ke? Rasa macam idea kedai 1Malaysia. Dulu pun ada barang-barang 1Malaysia. Ishhh siapa lah pengilang beras madani ni.. Mesti kaya sangat,” katanya.

Shukrie Rieey yang turut tidak berpuas hati dengan pelaksanaan harga siling baharu ini berkata,” Puluhan tahun tak ada isu pun beras tempatan hilang di pasaran. Bila Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan menyusahkan rakyat.”

Manakala pengguna Facebook dengan nama Razaly Othman mempersoalkan ke mana perginya beras tempatan selama beberapa bulan ini.

“Yang hairannya mana perginya berss tempatan? Harga barang naik.. Ingat semakin turun…. Tunaikanlah janji janji semasa berkempen dulu,” katanya.

Sementara itu, Shafiq Hamzah berpandangan bahawa tidak logik beras import yang bernilai RM3,200 bagi setiap per tan metrik perlu dicampurkan dengan beras tempatan yang dikatakan hilang untuk mendapatkan harga jualan RM30 bagi 10kg.

“Kilang beras mana yang nak jual harga macam itu sedangkan mereka nikmati untung daripada harga beras import RM3,200/tan dan dijual pada harga rm40/10kg,” soalnya.

Rahimi Osman pula bimbang akan kesan-kesan yang bakal timbul jika semua beras dijual selaras dengan Harga Beras Putih Malaysia Madani, termasuk beras import.

“Saya risau pengeluar beras import tidak lagi mahu jual beras kerana tidak sepadan. Tinggal beras tempatan sahaja dalam pasaran dan akan timbul masalah lebih besar, tidak cukup beras langsung dalam negara. Rakyat kategori T20, M40 dan B40 akan berebut beli beras.

“Yang berduit boleh simpan bekalan beras banyak-banyak. Yang tiada duit mula tanam ubi kentang balik macam zaman Jepun,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Kerajaan gagal: Beras Madani lagi mahal dari beras SST

harakahdaily
February 16, 2024
Ir Ts Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR: PAS sangat terkilan dan bersimpati dengan nasib rakyat apabila harga siling beras 10 kilogram (kg) dinaikkan sebanyak 15 peratus daripada RM26 kepada RM30 tanpa memikirkan nasib golongan B40.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, Kerajaan Madani gagal dalam menangani isu ketiadaan beras Super Spesial Tempatan (SST) yang dimanipulasi oleh kartel beras.

“Sehingga menyebabkan kekurangan bekalan beras apabila berlakunya penukaran gred atau percampuran beras tempatan menjadi import sekali gus mengaut lebih keuntungan,” ujar beliau di dalam satu kenyataan pada hari ini.

Menurut beliau, kelemahan penguatkuasaan oleh Kerajaan Madani menurut melalui KPDNHEP dan KPKM dilihat gagal menyekat aktiviti yang bertujuan meraih keuntungan berlebihan iaitu mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import.

PAS tambah beliau, kesal dengan solusi mudah yang diambil Kerajaan Madani untuk menjenamakan SST kepada Beras Madani seterusnya menaikkan harga.

“Pengguna dan rakyat menjadi mangsa kerana terpaksa membeli Beras Madani pada harga yang lebih tinggi RM3.50 sekilogram berbanding harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan 5 peratus (SST5) di peringkat runcit iaitu RM2.60 sekilogram sebelum ini, seperti termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“Ini bertentangan dengan janji Perdana Menteri pada 19 September 2023 yang menjamin harga beras tempatan tidak naik, di kala pengguna menghadapi segala bentuk kenaikan kos hidup yang lain,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Jerantut.

Kerajaan tegas beliau, sepatutnya berada di pihak pengguna dengan membanteras aktiviti pemain industri beras yang mencampurkan beras putih tempatan dan beras putih import ini, bukan dengan merestui tindakan ini dan menjualnya dengan harga lebih tinggi.

“Pengumuman ini juga menimbulkan kekeliruan kepada pengguna sama ada selepas ini adakah jualan beras Super Spesial Tempatan dan Super Spesial Import akan diberhentikan sepenuhnya dan hanya ada beras putih Malaysia Madani yang boleh dijual pasaran?

“PAS juga melihat kecelaruan yang berlaku dalam Kerajaan Madani apabila berlakunya pertembungan kepentingan di antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Pengerusi Task Force Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL).

“Kerana mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, perkara berkaitan harga dan kawalan beras hanya boleh dibuat oleh Menteri bertanggungjawab.

“Janganlah hanya kerana hendak menunjukkan kebolehan sendiri selepas dilantik oleh Perdana Menteri, tatacara, bidang kuasa serta urus tadbir negara ini menjadi cacamerba,” ujar beliau. 

HARAKAHDAILY 16/2/2024

SUMBER   Oleh ZAID ADHAR

Sunday, October 29, 2023

'Penduduk proses sendiri padi untuk dapatkan beras'

bharian.com.my
Ole M Hifzuddin Ikhsan 
hifzuddin@bh.com.my
October 29, 2023 @ 10:23am
Zabidi menunjukkan beras yang dihasilkan daripada padi yang diproses menggunakan mesin mudah alih di rumahnya dekat Alor Berhala, Pendang.

PENDANG: Ketika penduduk bandar sukar mendapatkan bekalan beras tempatan, keluarga petani di luar bandar pula mempunyai pilihan bagi memproses padi untuk mendapatkan beras bagi kegunaan keluarga sendiri.

Penduduk Alor Berhala, Mohamad Zabidi Abdullah, 57, berkata tradisi menumbuk padi sememangnya biasa dilakukan di kampung itu, terutama keluarga pesawah suatu masa dahulu.

Namun selari peredaran zaman katanya, tradisi itu tidak lagi dilakukan dan kebanyakan penduduk hanya membeli beras atau menghantar padi ke kilang untuk diproses bagi mendapatkan beras.

"Dahulu setiap keluarga yang mengusahakan sawah mesti ada lesung padi, tapi kebanyakan lesung dan kayu uli sudah 'ghaib' ketika ini. Ketika saya kecil masih ada lagi orang menumbuk padi di kampung, tapi lama kelamaan tidak ada lagi.

"Sekitar 2018 saya bersama abang ipar, Zainol Hassan, 71, mula menanam pokok padi pulut. Jadi untuk proses beras pulut, kami beli mesin memproses beras di Thailand pada harga RM1,700 dan bawa pulang ke kampung," katanya ketika ditemui BH di sini.

Mohamad Zabidi berkata, memproses beras menggunakan mesin tidak sukar dan hanya mengambil masa kira-kira 15 minit sahaja bagi seguni padi seberat 20 kilogram (kg).

Katanya, bagi setiap 20kg padi, maka hasil beras yang boleh diperoleh adalah kira-kira 14 kg dan selebihnya adalah beras hancur yang boleh diguna untuk membuat ikan pekasam pula.

"Padi yang diproses paling elok adalah yang sudah disimpan selama satu musim atau kira-kira enam bulan di dalam jelapang untuk membolehkannya kering sepenuhnya berbanding padi baharu dituai yang selalunya masih basah.

"Berkemungkinan besar, hanya kami di daerah ini ada mesin memproses padi bagi mendapatkan beras, tapi tujuan kami bukan untuk menjual beras, hanya proses untuk kegunaan keluarga dan diberikan kepada jiran sahaja," katanya.

Bagi Zainol pula, beras yang diproses sendiri mempunyai kualiti sama seperti beras import dari segi saiz, selain rasanya lebih enak berbanding beras diproses di kilang.

"Beras kampung biasanya mempunyai kanji yang banyak, jadi rasa nasi yang dimasak akan lebih manis dan berlemak berbanding beras kilang yang selalunya dibuang kanji ketika proses wap.

"Bagi yang sudah merasai keenakan beras kampung, mereka mesti berasa beras kilang kurang enak dan akan mencari beras kampung. Paling sedap nasi beras kampung dimakan panas-panas bersama ikan lampam pekasam," katanya.

Sunday, October 8, 2023

Harga padi turun RM500, adakah pihak berkuasa tunduk kepada kartel?

bharian.com.my
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my
Oktober 8, 2023 @ 2:25pm
Hampir 200 pesawah berkumpul di Kampung Lahar Budi, Alor Setar bagi mengadakan bantahan aman mendesak kerajaan campur tangan agar harga belian padi musim ini dikekalkan pada harga RM1,700 setan. - Foto NSTP/Ahmad Mukhsein Mukhtar

ALOR SETAR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendakwa kemungkinan berlaku campur tangan kartel dalam menentukan harga belian padi sehingga menyebabkan harga turun kepada RM1,200 satu tan ketika ini.

Pengerusi PeSAWAH, Mohd Fuad Yaacob, berkata adalah mengejutkan apabila harga belian padi di kilang pada RM1,700 setan secara tiba-tiba diarahkan turun kepada RM1,200 mulai 3 Oktober lalu.

Jelasnya, perkara itu adalah bertentangan kenyataan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood pada September lalu, yang mengarahkan pihak Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) membeli padi pada harga RM1,600 setan.

"Dalam pertemuan Azman bersama wakil peladang, pengilang, wakil BERNAS, petani, pengeluar benih padi sah dan agensi pertanian di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), beliau mengarahkan BERNAS beli padi pada harga RM1,600 setan.

"Disebabkan itu kami berpendapat penurunan harga padi kepada RM1,200 ini berkemungkinan arahan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras. ...adakah ini menunjukkan pihak berkuasa itu tunduk kepada kartel padi?" katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu hampir 200 pesawah berkumpul di Kampung Lahar Budi di sini, bagi mengadakan bantahan aman mendesak kerajaan campur tangan agar harga belian padi musim ini dikekalkan pada harga RM1,700 setan.

Mengulas lanjut, Mohd Fuad berkata, harga belian itu harus dikekalkan pada musim menuai tahun ini bagi mengelak ada pesawah berasa teraniaya kerana ada antara mereka sempat menjual pada harga RM1,700 sedangkan ada yang belum sempat menuai tanaman.

Selepas musim ini, kerajaan mungkin boleh menetapkan harga lantai belian padi pada harga sekurang-kurangnya RM1,500 dan mengelak berlakunya permainan harga yang dikatakan dikawal pihak tertentu.

"Suatu kajian mengenai harga siling beras tempatan yang ditetapkan pada RM26 sekilogram perlu dibuat kerana harga itu ditetapkan 10 tahun lalu dan tidak lagi sesuai digunakan mengikut keadaan semasa ketika ini.

"Begitu juga harga belian padi RM1,200 akan kekal 10 tahun lagi sedangkan kos pengeluaran padi semakin naik. Disebabkan itu saya merayu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berbincang bersama pemegang taruh dan berunding demi masa depan pesawah," katanya.

Sementara itu, EXCO Tugas Tugas Khas PeSAWAH, Abdul Rashid Yob, berkata majoriti pesawah kecewa dengan kecelaruan dalam industri padi dan beras negara yang dianggap mencapai tahap kronik serta gila ketika ini.

Katanya, belum lagi selesai isu 'kehilangan' beras putih tempatan (BPT) di pasaran akibat eksploitasi di peringkat kilang dan borong, harga belian padi pula jatuh mendadak daripada sekitar RM1,700 beberapa bulan lalu, kepada harga minimum RM1,200 dalam masa beberapa hari.

"Ini jelas menunjukkan keadaan bekalan beras dan harga padi yang tidak normal atau wujud campur tangan kartel? Pesawah semakin tersepit apabila semua kos untuk menanam padi naik sejak kenaikan harga padi seperti harga benih, jentera dan sewaan bendang.

"Maka penurunan harga padi sudah tentu menyebabkan kerugian besar tanpa diduga. Punca utama masalah ini ialah mekanisme harga kawalan yang sudah tidak sesuai kerana tidak dikaji sejak 2008.

Sudah tiba masanya harga siling BPT dinaikkan daripada RM2.60 sekilo kepada RM3.50 dan harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM1,200 setan kepada RM1,500.
Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jerlun, Mohs Sobri Osman, 60, (tengah ) melahirkan rasa tidak puas hati dengan penurunan drastik harga padi daripada RM1,700 per tan kepada RM1,250 per tan di Kampung Kuar Jawa, Jerlun, semalam. - foto BERNAMA
Pada 4 Oktober lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pesawah masih mendapat RM1,700 setan bagi harga jualan padi memandangkan kerajaan kekal memberikan subsidi RM500 bagi setiap tan padi.

Insentif Skim Subsidi Harga Padi sebanyak RM500 setan kepada pesawah tetap diteruskan dan kerajaan hanya meletakkan harga lantai belian padi oleh pengilang, iaitu pada kadar RM1,200 setan sejak 2014.

"Ini bermakna pihak kerajaan hanya meletakkan harga minimum belian padi, manakala pihak pengilang bebas untuk meletakkan harga belian mereka sendiri tetapi mestilah tidak kurang daripada harga lantai yang ditetapkan.

"Namun begitu, kerajaan masih memberi insentif Skim Subsidi Harga Padi sebanyak RM500 satu tan kepada pesawah dan menjadikan setiap pesawah akan mendapat RM1,700 satu tan walaupun pengilang meletakkan harga padi pada kadar harga lantai," katanya.

Orang Asli dakwa beras dijual mahal di pedalaman

freemalaysiatoday.com
08 Oct 2023


Orang Asli Gua Musang berkata ubi kayu juga sudah tiada kerana kawasan kebun sudah menjadi ladang Musang King.
Orang Asli suku kaum Temiar, Anglah Angah, 41 mendakwa beras 10kg dijual lebih RM50, berbanding beras berat sama, RM39, jika di bandar Gua Musang.

GUA MUSANG:
Penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman di daerah ini mendakwa terpaksa membeli beras pada harga tinggi seperti ditetapkan oleh peruncit.

Orang Asli suku kaum Temiar Anglah Angah, 41, yang tinggal di Kampung Kelaik, Pos Blau berkata beliau antara penduduk terkesan dengan harga barangan mahal dikenakan kepada pembeli di kawasan pedalaman.

Anglah berkata, disebabkan tidak tahan dengan harga tinggi, adakalanya beliau terpaksa keluar ke bandar untuk mendapatkan bekalan makanan asas.

“Di kampung harga 10kg beras mencecah sehingga RM50 lebih, beras 5kg dijual dengan harga mencecah RM20, manakala sepeket gula pula dijual pada harga RM5.

“Ahli keluarga saya seramai lapan orang jadi 10kg beras hanya boleh tahan untuk seminggu sahaja. Hari ini saya menempuh perjalanan hampir 100km dengan motosikal untuk datang ke bandar Gua Musang mendapatkan beras yang lebih murah hanya RM39 untuk 10 kg,” katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Baru.

Menurut seorang lagi penduduk, Along Uda, 30, penduduk yang majoriti bekerja kampung dan mencari hasil hutan semakin tertekan dengan harga barangan yang semakin meningkat akhir-akhir ini.

“Kebanyakan penduduk di kampung ini menjual buluh di Blue Valley, Tanah Tinggi Cameron (Pahang) dengan harga RM0.50 sebatang. Harga buluh semakin murah tetapi harga beras dan makanan lain semakin naik.

“Kita memang terhimpit dengan keadaan sekarang kerana kami bergantung makanan asas dengan beras kerana ubi kayu sudah tiada sebab kawasan kebun sekarang sudah menjadi ladang Musang King,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersama Gerakan Pengguna Daerah Gua Musang, Zamzani Harun berkata pihaknya telah mendapat aduan secara lisan dari penduduk Orang Asli yang rata-ratanya tinggal di kawasan pedalaman mengenai harga barangan tinggi di penempatan mereka.

“Mereka mengadu harga beras naik mendadak dan penduduk yang tinggal di pedalaman ini meminta Gerakan Pengguna supaya memantau harga di kawasan terbabit.

“Kita telah memaklumkan perkara ini kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya melakukan lawatan dan penyiasatan.

“Saya harap kenaikan harga makanan asas ini tidak berpanjangan dan kerajaan dapat menangani isu ini untuk membolehkan pihak pemborong dan peruncit memberi harga berpatutan kepada pengguna,” katanya.

Wednesday, October 4, 2023

Langkah bodoh suruh Fama urus beras - Muhyiddin

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Oct 4, 2023 9:50 AM
Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin membidas kegagalan kerajaan menangani krisis kekurangan beras serta menangani kenaikan harga barang ketika ini.

Jelas Muhyiddin kekurangan kekurangan beras, telur dan kekosongan jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup membuktikan kecelaruan kerajaan pimpinan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Tapi hari ini dibaca berita Haji Mat Sabu (Mohamad Sabu) menteri apa?

“Menteri naik lembu?...memberitahu perdana menteri dia sedang menguruskan bekalan (beras) ini menerusi Fama. Dan tak ada kenyataan perdana menteri (Anwar Ibrahim) kata tak betul.
"Kalau saya jadi perdana menteri...saya sudah kata tak betul sebab ini bukan kerja Fama.

"...Sekarang saya nak tanya, siapa menteri perdagangan dan hal ehwal pengguna? Yang baru meninggal Datuk Seri Salahuddin Ayub, tapi sampai sekarang tidak diisi.

"Ini krisis, takkan perdana menteri nak memangku jawatan itu, lantiklah ahli-ahli Parlimen yang layak dan sesuai," katanya ketika ceramah di Felda Chemomoi, dekat Bentong, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tambah Muhyiddin lagi, jika Fama menguruskan beras, pihak mana yang akan mengambil alih tugas untuk memasasrkan sayur daripada pekebun tempatan.

"Saya sebutkan itu...itu satu langkah bodoh, jarang saya cakap orang bodoh," katanya lagi.

Jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara Hidup kosong setelah Salahuddin meninggal dunia pada Jul.

Sehingga kini jawatan itu masih belum diisi, namun tugas itu dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Armizan Mohd. Ali.
Sebelum ini, perdana menteri, berkata dia belum mempunyai keputusan berhubung rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya akan membawa perkara itu kepada pengetahuan Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, tidak pernah dalam sejarah negara Fama menghantar beras.

Katanya lagi, meskipun bersifat sementara ia adalah sesuatu yang tidak kena.

“Mana ada kerja Fama bekal beras? Tuan-tuan ada dengar tak? Kalau bekal sayur, kelapa ada, tapi tidak pernah masuk senarai beras. Beras adalah makanan ruji.

"Tapi tidak pernah menjadi masalah sebab sistem penghantaran sudah lama, bukan setahun tapi 30-40 tahun.

“Nanti (Fama) tidak boleh hantar sayur sebab nak hantar beras. Jadi masalah kepada petani lain, siapa nak bekal dan urus bekalan daripada petani," dakwa Muhyiddin.

Wednesday, September 20, 2023

Beras tempatan di Kelantan tak terjejas, beras Siam pilihan utama

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali
Diterbitkan: Sep 20, 2023 
Ketika isu kekurangan bekalan beras tempatan di negeri-negeri lain, situasi sedemikian didapati tidak berlaku di Kelantan.

Ia susulan permintaan terhadap bekalan beras tempatan di negeri Cik Siti Wan Kembang kurang memberangsangkan kerana kebanyakan penduduk lebih sinonim menggunakan beras Siam.

Malah bekalan beras yang di seludup dari negara jiran mudah didapati di kedai-kedai runcit termasuk di kawasan kampung.

Tinjauan Malaysiakini mendapati di beberapa pasar raya utama, bekalan beras tempatan mencukupi dan kurang mendapat sambutan.

Walaupun harga ditawarkan sekampit beras Siam lima kilogram lebih mahal berbanding harga beras putih tempatan, boleh dikatakan majoriti pengguna di Kelantan lebih memilih beras Siam.

“Beras tempatan orang beli juga tapi jualannya tak laju sangat, jadi bekalan sentiasa cukup setakat ini.

“Mungkin sebab orang Kelantan lebih suka beli beras Siam,” kata seorang pekerja pasar raya yang enggan disiarkan namanya.
Harga beras putih tempatan dijual dengan harga RM13 bagi kampit lima kilogram (kg) hingga RM26 bagi kampit 10kg.

Harga bagi lima beras Siam pula antara RM20 hingga RM30 sekampit berbanding harga beras tempatan sekitar RM13 hingga RM15 bagi sukatan sama.

Beras Siam kampit 10kg pula jarang dijual lebih kurang RM40 tetapi penawarannya amat kurang berbanding kampit 5kg.

Seorang peniaga kedai runcit mahu dikenali sebagai Helmi, 35, berkata dia memilih untuk menjual beras Siam sepenuhnya kerana permintaan tinggi daripada pengguna.

“Kalau di kawasan kampung ini orang tak beli beras Malaysia (tempatan), orang cari beras Siam belaka. Kalau saya jual beras Malaysia pun payah laku.

“Orang di sini beli beras Malaysia kalau tak ada pilihan, apabila beras Siam tiada stok jadi terpaksa beli yang mana ada.

“Harga beras Siam lebih mahal tetapi mungkin jadi pilihan sebab kualiti lebih bagus,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Kota Bharu.

‘Nasi lambat basi’

Sementara itu seorang peniaga restoran Suraini Mustapha, 48, berkata dia juga menggunakan beras Siam untuk menyediakan nasi yang dijual di kedainya.

Katanya, sebagai peniaga mereka mengutamakan kualiti nasi yang baik untuk dihidang kepada pelanggan.

“Beras Siam ini lebih berkualiti misalnya nasi susah basi, lebih kembang, lembut dan rasa lebih sedap.

“Kebanyakan peniaga nasi di Kelantan memang akan guna beras Siam. Ia lebih mudahkan kita untuk memasak,” katanya yang juga pemilik restoran Su Tomyam di Kubang Kerian.
Rosli Zakaria
Seorang pengguna Rosli Zakaria, 42, berkata dia sekeluarga menggunakan beras Siam sejak sekian lama kerana kualiti yang lebih baik.

“Saya memang guna beras Siam sebab lebih berkualiti, jadi isu bekalan beras tempatan berkurang kita tak ambil kisah sangat.

“Kita di sini tak terasa sangatlah (beras tempatan kurang),” katanya yang juga seorang tukang jahit.

Sunday, September 17, 2023

B40: Terpaksa catu makanan, kami tiada pilihan lain - Suri rumah

mediaprima.com.my
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@mediaprima.com.my
HARGA beras naik mendadak di pasar raya. FOTO Fathil Asri

Kuala Lumpur: Kenaikan mendadak harga beras membebankan bukan sahaja golongan B40 malah hampir keseluruhan rakyat Malaysia yang terus dihimpit peningkatan kos sara hidup, seolah-olah tiada berpenghujung.

Isu terbabit dilihat terus menjadi masalah utama membelenggu masyarakat meskipun kerajaan menyatakan akan mengambil tindakan segera.

Pengguna, Rohani Omar, 50, meluahkan kekecewaannya kerana harga beras tempatan jenama Nagasari yang sebelum ini dibeli pada harga RM25 bagi 10 kilogram (kg), sekarang naik sehingga RM40.

Katanya, dia hanya suri rumah dan suami bekerja sebagai tukang kebun berpendapatan RM1,500 sebulan terpaksa mencatu makanan kerana kenaikan harga beras yang mendadak.

"Kami tiada pilihan lain kerana sebelum ini kami hanya mampu membeli beras yang paling murah. Sekarang naik melampau, itu baru beras, belum lagi harga ayam dan telur sama naik," katanya kepada Harian Metro.

Bagi Mustafa Rusdi, 48, dia yang membeli beras wangi import turut merasakan kenaikan ketara kos perbelanjaan bulanannya.

Menurutnya, peningkatan itu sangat membebankan kerana beras adalah makanan utama rakyat negara ini.

"Saya terkejut apabila hendak membeli beras, kalau sebelum ini harga beras import wangi yang paling murah antara RM40 ke RM42 (10 kg), sekarang harga mencecah RM60 hingga RM70 dan stok beras memang selalu tiada.

"Susah nak dapat beras yang harga murah, mahu tak mahu terpaksa beli. Kalau tunggu pasar raya buat promosi pun harga beras masih tinggi berbanding sebelum ini.

"Pernah sampai satu tahap, saya terpaksa pergi ke setiap pasar raya berdekatan untuk membuat perbandingan harga beras yang lebih murah," katanya.

Sementara itu, peniaga runcit, Mohammad Afif, 34, berkata, stok beras di kedainya selalu habis dan hanya mendapat jumlah beras yang terhad dari pembekal.

Sebagai peniaga runcit, pihaknya hanya mampu menjual beras tempatan lima kilogram kerana perlu membeli bekalan secara tunai dan memerlukan modal yang besar.

"Baru hari ini, kami dapat 20 pek beras tempatan Faizah (5 kg) itu pun selepas tunggu lama," katanya.

Mohammad berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat memberi subsidi beras sama seperti minyak masak dan tidak membenarkan warga asing menikmati kemudahan subsidi berkenaan.

Menurutnya, Malaysia perlu tegas terhadap warga asing yang turut menikmati barangan subsidi.

Disiarkan pada: September 17, 2023 @ 1:46pm

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-