Tuesday, July 26, 2022

Tukar peguam, cubaan saat akhir Najib untuk pertahankan diri

bharian.com
Oleh Farah Marshita Abdul Patah
farahmarshita@bh.com.my
 - Julai 26, 2022 @ 7:38pm

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (gambar) dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melantik pasukan baharu peguam untuk mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, dilihat sebagai cubaan saat akhir untuk mempertahankan diri.

Pengamal undang-undang, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, berkata tindakan menukar peguam pada saat akhir bukanlah perkara yang luar biasa, sebaliknya sering dilakukan oleh banyak pihak.

Beliau berkata, setiap individu yang datang ke mahkamah pasti akan cuba untuk mencari keadilan bagi diri sendiri.

"Setiap orang berhak untuk menerokai pilihan yang ada demi mencari keadilan untuk diri sendiri.

"Oleh itu, kita tidak boleh salahkan beliau (Najib) kerana beliau cuba mendapatkan hak yang dirasakan sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Najib memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) yang baharu dilantik Najib dalam suratnya dialamatkan kepada Pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, memaklumkan bekas Perdana Menteri itu melantik Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama dan Liew Teck Huat serta Rueben Mathiaravanam, sebagai peguam bersama.

Nizam Bashir berkata, apa-apa tindakan yang dilakukan masih bergantung kepada pertimbangan mahkamah.

"Dalam hal ini, mahkamah yang akan mendengar dan memberi pertimbangan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-