Sunday, July 31, 2022

UMNO tolak tiga parti besar Melayu bergabung

agendaily.com
31/07/2022
 
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin bermesra dengan kumpulan nelayan pada satu majlis di di Pelabuhan LKIM Chendering, Terengganu (30 Julai 2022).

Gabungan tiga parti Melayu terbesar – Bersatu, PAS dan UMNO mampu menang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dengan selesa jika penubuhan Muafakat Nasional (MN) menjadi realiti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Bersatu berkata penubuhan MN pada masa ini seolah-olah kabur kerana penolakan UMNO meskipun jemputan menyertai gabungan berkenaan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Kata Muhyiddin, ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada 2020 susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), ada pemimpin tertinggi PAS dan UMNO bertemu dengannya untuk mencadangkan penyertaan Bersatu ke dalam MN yang disusuli surat jemputan ditandatangani Zahid serta Hadi.

“Jawapan saya dihantar ke pejabat Barisan Nasional (BN) dan PAS yang menyatakan kita bersedia sertai MN. Tetapi malangnya, sampai hari ini kami tidak dijemput mana-mana. Baguslah PAS hendak bersama UMNO dan kami juga mahu bersama dengan semua parti.

“Saya pasti kalau kita berdepan pilihan raya, gabungan tiga parti ini mampu cemerlang dengan menang dua pertiga sekiranya kerjasama ini menjadi realiti. Tetapi malangnya sudah sampai setahun atau lebih, UMNO menolak kami. Perhimpunan Agung UMON buat keputusan tak terima kami, tak terima tak apalah,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Terengganu, di Marang.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga pengerusi PN menegaskan, tanpa kerjasama dengan UMNO, Bersatu ketika ini sudah pun kuat dengan kehadiran PAS dalam gabungan itu.

“Kita ada PAS, abah PAS ada di sini (merujuk kehadiran Hadi pada majlis itu), kita dengan niat sama boleh perkukuhkan kerjasama,” katanya.

Pada 21 Jun, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mendakwa parti itu tidak pernah menolak agenda perpaduan ummah atau membatalkan surat untuk menerima masuk MN selepas keluar daripada Pakatan Harapan.

“Ini hakikatnya, tetapi mananya MN yang jemput kita masuk? Siapa sebenarnya yang tolak perpaduan?” soalnya dalam satu ceramah PN.

Pendedahan itu menyusul beberapa insiden yang menyaksikan pemimpin UMNO dan PAS bercanggah pendapat mengenai masa depan MN dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini menyifatkan kerjasama perpaduan ummah antara dua parti itu sudah “sampai ke surah terakhir”. – Artikel kredit WartaRakyat

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-