Tuesday, August 30, 2022

Desakan dalam perhimpunan dipanggil Zahid bukan suara akar umbi, kata Ketua Bahagian

agendaily.com
30/08/2022
Ahli-ahli UMNO hadir Taklimat Khas Presiden pada Sabtu lalu di Dewan Merdeka.

Tindakan mendesak dan menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa Taklimat Khas UMNO yang dipanggil Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lalu bukan cerminan suara akar umbi, kata beberapa Ketua Bahagian.

Selepas beberapa hari berlalu insiden di Dewan Merdeka yang menyaksikan Zahid mendesak supaya Ismail Sabri membubarkan Parlimen segera, beberapa Ketua Bahagian UMNO tampil mempertahankan Naib Presiden itu menyifatkan tindakan “boo” tersebut sebagai tidak wajar dan beradab.

“Kecewa dengan apa yang berlaku pada hari taklimat Presiden, UMNO dilihat buruk dan malu pada dunia luar.

“Tidak sepatutnya berlaku kejadian ‘boo’ sebab Perdana Menteri adalah daripada pemimpin UMNO sendiri,” kata Ketua Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail dalam satu kenyataan.

Yusof kecewa dengan layanan yang diberikan kepada Ismail Sabri semasa taklimat khas kerana UMNO sepatutnya menghormati institusi kehakiman dan tindakan Ismail Sabri tidak campur tangan dalam urusan mahkamah adalah tepat.

“Kasihan Perdana Menteri. Presiden dan Perdana Menteri seharusnya bersama-sama menguatkan parti bagi meraih undi atas pagar yang amat penting apatahlagi undi 18 tahun akan bermula pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Kita sepatutnya menyokong tindakan Perdana Menteri yang tidak masuk campur urusan mahkamah kerana platform yang betul ada dan boleh digunakan untuk membela diri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan pula berkata kejadian semasa taklimat khas pada Sabtu bukan cerminan sebenar suara akar umbi.

“Kena berpijak di bumi nyata. Apa yang terjadi di PWTC bukan suara sebenar akar umbi.

“Kita harus sedar bahawa undi popular tidak menyebelahi kita. Atas pagar sentiasa melihat dan akan menilai kelakuan UMNO. Sekiranya ini yang dipamerkan maka susah untuk kita memberi kepercayaan kepada atas pagar untuk mengundi kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zulkurnain lagi, budaya mengkritik dan mengutuk pemimpin sendiri tidak sepatutnya berlaku dalam UMNO.

“Kita kena kukuhkan parti dan dengan cara ini orang akan percaya. Senario politik masa kini bukan seperti dulu. Ini hakikat yang kita perlu terima.

“Kita juga kena belajar untuk menghormati pemimpin kerana itu adalah adab dan budaya umno. Kita tidak serang sesama sendiri. Kita tuding jari kepada parti lain yang berpecah tetapi tanpa sedar kita sendiri gagal memupuk perpaduan antara ahli,” katanya lagi.

Jika budaya ini berterusan, beliau juga tidak menolak ia akan menyebabkan UMNO akan dibenci oleh orang muda, ujarnya lagi.

“Sebab itu, jangn ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba melagakan Presiden dengan Perdana Menteri. Sikap ahli yang sebegini membuatkan UMNO dibenci oleh orang muda,” katanya.

Sementara itu Ketua Bahagian Bangi, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain turut meluahkan sentimen sama dengan insiden pada Sabtu dan kesal dengan tindakan segelintir ahli parti yang hanya akan menyebabkan perpecahan dalaman UMNO semakin buruk selepas ini.

“Selaku Ketua Bahagian UMNO Bangi saya ingin meluahkan rasa kesal di atas kejadian yang tidak diingini berlaku sewaktu perhimpunan Taklimat Presiden baru-baru ini kerana ia boleh menjurus kepada salah sangka dan perpecahan di kalangan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO.

“Tindakan segelintir mereka yang melaungkan ‘boo’ kepada Perdana Menteri sangatlah tidak wajar kerana YAB Perdana Menteri merupakan Naib Presiden UMNO yang diberi kepercayaan oleh parti kita untuk menerajui kerajaan pada waktu ini selain daripada ketetapan Majlis Tertinggi UMNO, yang sepakat mencalonkan beliau sebagai ‘poster boy’ untuk PRU-15,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-